SANGGUP berulang-alik sejauh hampir 400 kilometer setiap minggu tidak menjadi masalah bagi wanita ini bagi melunaskan minatnya terhadap sukan frisbee atau cakera terbang.
Sukan yang berasal dari Eropah itu berjaya menambat hati Khadijah Mad. Isa, 39, untuk turun latihan di Selangor setiap minggu.
Khadijah berulang-alik dari kediaman di Melaka ke Shah Alam, selangor untuk menjalani rutin latihan mingguan.
“Biasanya saya bertolak sebelum solat Subuh dan tiba di destinasi kira-kira pukul 8.30 pagi.
“Sempatlah saya mengikuti latihan pagi sehingga pukul 12.30 tengah hari diikuti sesi berikutnya pada pukul 2.30 petang sehingga 6.30 petang, sebelum bergegas pulang,” katanya kepada Seri.
Menceritakan permulaan awal pembabitan dalam sukan itu, Khadijah mula aktif dalam sukan frisbee ketika menuntut di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, sejak 2007 lagi.
Pembabitannya hasil dorongan seorang rakan senior universiti, Mohd. Azraie Yusof yang tidak jemu-jemu mengajar dan meniupkan kata-kata semangat.
Kini, frisbee bukan sekadar hobi masa lapang, malah menjadi ruang pulih diri atau healing daripada kesibukan kerja hakikinya sebagai seorang penjawat awam.
Tambahan pula, ia menjanjikan kepuasan dan keseronokan berbeza berbanding hobi atau sukan lain, lantas membuatkannya jatuh cinta.
“Saya pernah bermain bola jaring dan sukan-sukan lain tetapi frisbee ada keistimewaan tersendiri.
“Saya pun tidak sangka masih setia dan komited dengan hobi ini setelah hampir dua dekad bermain,” katanya.
Menceritakan sejarah sukan itu, katanya, ia mula diperkenalkan oleh beberapa syarikat di Eropah seperti The Frisbie Pie Company, Walter Federick Morrison, The Pluto Platter dan Wham-O.
Di Malaysia pula, perkembangannya direkodkan sejak awal 2000 apabila dimainkan sekumpulan guru di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL).
“Mungkin tidak ramai tahu yang sukan frisbee makin popular di negara ini dan mempunyai komuniti tersendiri.
“Bahkan, ia turut mendapat tempat dalam kalangan orang muda,” katanya.
BEBAS, FLEKSIBEL, MURAH
Antara kelebihan frisbee yang menambat hati Khadijah ialah kebebasan yang diberikan kepada pemain.
Sukan ini fleksibel dan tidak mempunyai peraturan rumit.
“Pergerakan pemain tidak terbatas, ini bermakna mereka bebas melompat atau berlari,” katanya.
Paling istimewa, frisbee tidak memerlukan perbelanjaan tinggi dengan kos cakera yang bernilai kira-kira RM25 sahaja.
Cakera berbentuk bulat seperti piring leper itu diperbuat daripada plastik seberat 175 gram.
Menariknya, sukan ini dikatakan gabungan daripada tiga jenis sukan yang popular.
“Permainan ini adalah gabungan daripada tiga jenis sukan iaitu bola jaring, bola sepak dan ragbi.
“Paling penting, sukan ini tidak memerlukan ruang yang begitu luas dan sebarang peralatan lain,” kata bekas pemain bola jaring dan olahragawati ini.
PEMAIN WANITA
Pasti ramai menganggap frisbee hanya untuk lelaki, namun, telahan itu silap kerana ia juga sesuai disertai kaum hawa.
Menariknya, pemain mempunyai hak sama rata walaupun berlainan jantina.
“Di samping itu, frisbee tidak terhad pada usia tertentu asalkan sihat tubuh badan.
“Buktinya, saya yang hampir mencecah usia 40 tahun pun masih boleh bermain hingga kini,” katanya.
Menurutnya, individu yang mahu mencuba frisbee boleh bermula dengan rakan-rakan, dalam jumlah yang kecil.
Katanya, ia bukan seperti bola sepak atau ragbi yang memerlukan bilangan tertentu.
“Cukup dua atau tiga orang sebagai permulaan untuk mendapatkan rentak dan keseronokan itu terlebih dahulu,” kongsinya.
SERTAI 127 KEJOHANAN
Biarpun frisbee hanya sebagai hobi, namun lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan ini telah mempamerkan pencapaian membanggakan dalam sukan itu.
Secara keseluruhannya, Khadijah pernah menyertai sebanyak 127 kejohanan dalam dan luar negara.
Antaranya ialah US Ultimate Open; Boon Rockstar Cup; Shark Alam Open dan Manila Spirit.
Setiap satunya meninggalkan memori manis buat dirinya yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.
Paling diingati, ketika kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Minnesota pada 2018.
Ketika itu, dia merupakan satu-satunya atlet wanita bertudung di sana.
“Seperti orang Islam lain, saya juga berdepan detik sukar untuk melepasi AS yang memandang agama sebagai penghalang kepada wanita.
“Tetapi, suasana itu berubah pada hari kejohanan berlangsung kerana kalangan atlet tidak sedikit pun memandang rendah pada wanita berhijab.
“Sebaliknya, mereka terus menyokong dan menerapkan semangat kesukanan tinggi serta saling hormat-menghormati sepanjang kejohanan berlangsung,” jelasnya.
Sementara itu, Khadijah berkata, bergelar pemain frisbee menuntut pengorbanan dan latihan secara konsisten.
Apabila pertandingan semakin hampir, rutin latihan meningkat kepada dua kali seminggu.
“Pada hari biasa, saya mempersiapkan diri dengan berjoging atau melakukan aktiviti di gimnasium untuk mengekalkan kecergasan,” ujarnya.-UTUSAN










