Suami sakit lupa diri selepas sembuh

Suami sakit lupa diri selepas sembuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam perkahwinan, cinta bukan segalanya.

Ia mungkin permulaan kepada sebuah hubungan, tetapi yang mengekalkan adalah tanggungjawab, kesetiaan dan kesediaan untuk sama-sama mengharungi ujian.

Perkahwinan diuji sebenarnya bukan hanya ketika pasangan sihat dan gembira, tetapi saat susah dan sakit melanda.

Jika hanya cinta menjadi sandaran, mana mungkin sesebuah perkahwinan mampu bertahan.

Ada yang berubah ketika diuji dan cuba menghindar ketika pasangan memerlukan perhatian.

Minggu ini, saya kongsikan kisah yang sering berlaku dalam dalam kehidupan rumah tangga.

Seorang isteri sanggup berkorban demi suaminya, tetapi apabila diri sendiri diuji, suami tidak menunjukkan keprihatinan sama.

Maria (bukan nama sebenar), dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini menulis dia tidak berhasrat membuka aib keluarga sendiri, tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada suami atau isteri di luar sana.

Tulis Maria, apa yang berlaku dalam rumah tangga kakaknya, Zarina (bukan nama sebenar), telah membuktikan kepercayaannya bahawa jika hanya cinta jadi sandaran, ia boleh pudar dan hilang apabila kesusahan melanda.

Kata Maria, kakaknya dan suami, Mokhtar (bukan nama sebenar), sudah berkahwin selama hampir 15 tahun.

Rumah tangga mereka penuh kasih sayang. Kakaknya seorang wanita berkerjaya, ibu dan isteri yang setia dan penyayang.

Rumah tangga Zarina diuji selepas suaminya jatuh sakit pada penghujung Ogos 2006 dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Doktor mengesahkan Mokhtar diserang jangkitan kuman pada paru-paru dan memerlukan rawatan panjang.

Tanpa ragu dan meletakkan diri sebagai isteri di sisi suami dalam susah senang, Zarina mengorbankan masa, tenaga dan emosinya untuk menjaga suami.

Zarina dengan penuh kesabaran menjaga suaminya, menguruskan makan minum, pengambilan ubat serta menemani ke hospital.

Sebagai isteri setia, Maria melihat kakaknya menjaga suami tanpa penat lelah.

Sanggup berjaga malam, memastikan keperluan suami seperti pengambilan ubat-ubatan tepat pada masanya.

Malah kakaknya sanggup mengambil cuti sebulan tanpa gaji untuk memberi tumpuan kepada suami.

“Walaupun kakak sering keletihan kerana terpaksa bekerja pada masa sama menguruskan suami yang sakit dan juga menguruskan anak-anak, saya tidak pernah melihat kakak mengeluh.

“Kakak tetap mengukir senyuman dan melayan suami dan anak-anak seperti biasa,” tulis Maria.

Tambahnya, kakak tetap melayan suami dengan penuh kasih sayang dan sentiasa mendoakan kesembuhan.

Hari berganti minggu, minggu beralih bulan sehinggalah memasuki setahun, berkat usaha dan doa seluruh ahli keluarga, abang iparnya kembali sembuh.

Menurut Maria, kakak adalah orang paling gembira selepas abang ipar disahkan kembali sembuh. Kehidupan mereka kembali seperti biasa .

Abang iparnya kembali bekerja dan meneruskan rutin harian seperti dahulu.

Namun, enam bulan selepas itu rumah tangga Zarina diuji lagi. Kali ini Zarina pula jatuh sakit. Dia disahkan oleh doktor menghidap sakit buah pinggang.

“Ketika itu hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan kakak. Takut, cemas tetapi di dalam hati kakak, dia berharap dan yakin suami akan berada di samping.

“Setia menemani dan menjaga sebagaimana dia menjaga suami dahulu,” tulisnya.

Keadaan Zarina lemah dan memerlukan rehat yang secukupnya. Ketika itu Zarina benar-benar berharap suami akan menjaga dan menyokong sebagaimana dia lakukan dahulu.

Malangnya, Mokhtar seolah-olah tidak peduli. Dia tetap meneruskan kehidupannya seperti biasa, seolah-olah apa yang berlaku kepada isteri hanyalah perkara kecil.

Mokhtar terus sibuk bekerja tanpa menghiraukan keadaan kesihatan Zarina yang semakin merosot.

Di rumah pula, Mokhtar sibuk dengan telefon dan pada hujung minggu ada sahaja aktiviti sosialnya.

Mokhtar juga dilihat tidak sabar melayan isteri yang sakit. Jika dahulu Zarina sanggup berjaga malam untuknya, sikap Mokhtar sebaliknya,

Zarina terpaksa menguruskan diri sendiri walaupun tubuhnya masih lemah.

“Saya hanya berkesempatan menemani kakak ke hospital sekali-sekala sahaja memandangkan jadual saya sebagai penuntut universiti cukup padat. “Manakala, anak-anak kakak juga terikat dengan jadual persekolahan dan tidak dapat menemani ibu mereka selalu,” katanya.

Dalam emel itu juga, Maria menulis dia dapat melihat emosi dan mental kakaknya memang terkesan dan terganggu.

“Saya cuba meyakinkan diri kakak bahawa mungkin suaminya tidak tahu menjaga orang sakit.

“Namun, lama kelamaan saya sedar abang ipar bukan tidak tahu, tetapi tidak mahu.

“Saya sendiri melihat di depan mata, bagaimana abang ipar melayan kakak. Setiap kali kakak meminta bantuan, abang ipar akan mengeluh, menyuruh kakak berdikari dan paling membuatkan saya geram abang ipar menuduh kakak sengaja mahu bermanja-manja,” tulis Maria.

Tambahnya, sepanjang tempoh sakit, dia melihat betapa peritnya kakak berjuang sendirian.

Dia benar-benar sedih melihat keadaan kakaknya yang hanya mahukan perhatian daripada seorang suami.

Namun, abang iparnya itu seolah-olah lupa bagaimana kakak suatu ketika pernah hadir ketika dia bertarung antara hidup dan mati.

“Kakak pernah meluahkan kepada saya, dia bukan mahu dilayan seperti permaisuri, tetapi hanya sedikit perhatian dan kasih sayang.

“Saya bersimpati dengan nasib kakak, namun apa yang boleh saya lakukan membantu sekadar mampu dan mendoakan yang terbaik untuknya,” tulis Maria.

Dalam al- Quran sendiri menjelaskan tentang perkahwinan. Allah mencipta setiap makhluk di dunia ini berpasang- pasangan dan berkembang biak.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan jadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah
Ar-Rum 30, ayat 21).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×