Intan syafinas pilih untuk santuni warga emas

Intan syafinas pilih untuk santuni warga emas

INTAN Syafinas tampil manis dalam persalinan rona merah jambu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini, keluarganya pernah berdepan konflik dalam menjaga arwah datuk yang uzur.

Walaupun datuknya memiliki 12 zuriat, namun lelaki itu memilih untuk tinggal di rumah seorang anak sahaja, tanpa bergilir-bergilir ke kediaman lain.

Lama-kelamaan situasi itu menimbulkan rasa kurang senang pada ‘penjaga’ datuknya kerana pergerakan yang menjadi makin terbatas.

Lantas, ia menyuntik ilham buat Che Puan Intan Syafinas Ranjit untuk membuka pusat penjagaan warga emas, Laman Khaira pada 2017.

Tambahan pula, ketika itu, tidak banyak lagi pusat seumpamanya untuk muslim yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, pusat jagaan warga emas bukanlah seperti rumah kebajikan, sebaliknya umpama ‘nurseri’ untuk orang tua.

Ahli keluarga boleh menghantar ibu bapa atau pasangan mereka yang kurang sihat secara harian, mingguan atau bulanan.

Kewujudan pusat berkenaan sekali gus dapat memudahkan urusan pasangan di samping anak-anak untuk keluar bekerja atau melakukan rutin-rutin lain tanpa perlu bimbang keselamatan insan tersayang yang bersendirian di rumah.

Tambahan pula, pihaknya menawarkan penjagaan fleksibel demi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penghuni.

“Bagi orang Islam yang bekerjaya, tentulah kita mahukan pusat khas untuk Muslim bagi menjaga ibu bapa yang sakit.

“Tetapi tujuh tahun lalu, jumlah pusat ini boleh dikira dengan jari, lantas saya nekad untuk membukanya berikutan kepentingannya di samping bagi menyokong persediaan Malaysia menuju negara tua pada 2030,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Sepanjang operasinya, Laman Khaira sudah mengendalikan ratusan pesakit dengan yang terkini menempatkan lebih 40 warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Kebanyakan penghuninya mengalami demensia, alzheimer dan strok. Kongsi Intan Syafinas, berurusan dengan warga emas terutama yang sakit menuntut kesabaran, tanggungjawab, empati dan minat tinggi.

Tanpa kriteria itu, sukar untuk perniagaan tersebut berkembang dan kekal bertahan.

“Segelintir individu mungkin berhajat membuka pusat penjagaan warga emas semata-mata untuk berbangga dan mahu glamor.

“Tapi tugasan itu tidak semudah disangka kerana ia hadir bersama-sama dengan tanggungjawab berat untuk menjaga ibu bapa seseorang yang dianggap seperti darah daging sendiri selain perlu melayani ‘perangai’ mereka,” katanya.

Antara perangai penghuni demensia yang mencuit hati ialah gemar memakai baju Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) setiap hari.
pantau kesihatan

Selain menjaga kebajikan,, pusat itu turut memantau prestasi kesihatan penghuninya selama 24 jam.

Lebih 20 jururawat dan pekerja sosial terlatih ditugaskan mengikut tiga syif berbeza.

Malah, pihaknya menyediakan prosedur kejururawatan dan pemulihan seperti fisioterapi di samping khidmat pengiring ke hospital.

Inisiatif itu secara tidak langsung dapat membantu menyelamatkan nyawa penghuni sekiranya berlaku kecemasan.

“Antara kisah yang tidak dapat saya lupakan ialah tentang seorang penghuni bekas tentera berusia 70 tahun yang diramalkan doktor dapat hidup dalam dua bulan sahaja.

“Arwah mengalami strok seluruh badan dengan hanya matanya sahaja yang boleh bergerak, namun, hasil jagaan rapi di Laman Khaira dan izin Allah, jangka hayatnya bertambah sehingga ke setahun.

“Itu antara penghuni yang saya berpuas hati dapat dijaga di sini,” katanya.

Beliau tidak menafikan persepsi dan penerimaan masyarakat di bandar terhadap premis penjagaan warga emas makin berubah.

Kini, golongan itu sudah memahami peranan dan kepentingan pusat tersebut yang dianggap sebagai keperluan semasa.

“Orang sudah tidak melabel tindakan menghantar ibu bapa ke premis ini sebagai tidak sayang atau kenang budi.

“Mereka tahu, perkhidmatan itu sudah menjadi keperluan dan alternatif terbaik bagi membolehkan waris keluar bekerja dan menjana pendapatan keluarga,” katanya.

Misi besar Intan Syafinas adalah untuk menjadi perintis pusat jagaan warga emas muslim di Malaysia dan memiliki cawangan di seluruh negara.

Kini, pusatnya bertambah daripada satu unit kepada dua yang terletak bersebelahan di unit banglo di Presint 16, Putrajaya.

Beliau merancang untuk membuka satu lagi lokasi baharu Laman Khaira.

Cintakan ilmu

Mendirikan perkahwinan di usia seawal 21 tahun membataskan peluangnya untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi seperti rakan lain.

Apatah lagi setahun berikutnya, beliau disahkan hamil anak pertama, Ammar Fathullah dan diikuti dua tahun kemudian, Aisya.

Kedua-duanya yang kini berusia 20 dan 18 tahun itu merupakan penuntut Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Taylor dan Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Memandangkan permata hatinya makin menginjak dewasa, beliau memanfaatkan peluang itu untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Dulu, saya tidak dapat sambung belajar macam kawan-kawan lain kerana berkahwin awal dan perlu menjaga anak-anak.

“Kini, mereka sudah besar dan masa terluang dimanfaatkan dengan menambahkan lagi kemahiran serta ilmu pengetahuan,” katanya yang mengimpikan bergelar usahawan sejak kecil.

Suri hati kepada Dato’ Undang Luak Rembau ke-21, Allahyarham Dato’ Lela Maharaja, Datuk Muhamad Sharip Othman ini menyasarkan untuk menuntut ilmu hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Ikut jejak langkah ayah

Di sebalik keayuan dan kelembutannya, Intan Syafinas sebenarnya aktif bersukan termasuk menyertai acara kuda lasak dan golf.

Minat itu dipupuk sejak sekolah apabila memegang jawatan kapten pasukan hoki.

Bakatnya itu diwarisi daripada Allahyarham bapanya yang merupakan lagenda hoki negara suatu masa lalu.

“Pengalaman dalam hoki membantu saya bermain golf dengan baik.

“Bagi kuda lasak pula, sebelum ini saya pernah menyertai lima kejohanan termasuk 80 kilometer dalam Piala Sultan Mizan.

“Cuma sekarang saya kurang aktif menunggang kerana kuda peliharaan banyak digunakan anak sulung bagi latihan acara dressage,” katanya.

Kuda dinamakan Nava itu kini berusia belasan tahun.

Katanya, kuda lasak disifatkan sebagai sukan yang mencabar kerana bermula di awal pagi selain lokasinya yang bertempat di ladang kelapa sawit dan kawasan kuari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN