Dalam dunia fesyen tempatan, jenama ANAABU kembali mencuri perhatian dengan koleksi terbaharunya, Kongsi Masa. Koleksi ini mengangkat keindahan perpaduan budaya melalui rekaan yang penuh makna, melambangkan masa yang dikongsi bersama.
Kongsi Masa ialah simbolik kepada keharmonian hati yang melangkaui latar belakang dan adat, dengan rekaan yang diinspirasikan oleh unsur-unsur alam seperti matahari, bulan dan ikon budaya seperti cempedak dan kucing.
Setiap rekaan dalam Kongsi Masa menceritakan kisah unik tentang perjalanan masa. Daripada buah cempedak yang melambangkan kekayaan dan ilmu, hingga si kucing yang sinonim dengan sifat ingin tahu dan ketabahan hidup, setiap elemen mencerminkan kisah yang mendalam.
Koleksi ini mengambil inspirasi daripada sistem solar seperti matahari dan bulan, memberikan sentuhan metafora tentang kesinambungan dan perubahan.
Tiān Kebaya Top, sebagai contoh, memaparkan sulaman cempedak di bahagian bawah kiri baju dengan potongan moden.
Cempedak bukan sekadar motif, tetapi juga simbol kepada pengetahuan yang melangkaui batas masa.
Untuk gayamu yang anggun, suai padankan kebaya ini dengan Tiān Pencil Skirt yang serasi.
Jika mahukan gaya kasual tetapi tetap bergaya, gabungkan kebaya ini dengan seluar jeans yang sesuai. Voila, sentuhan tradisional yang moden dan penuh gaya.
Satu lagi rekaan kegemaran saya ialah Yuè Kebarung Top yang menggabungkan elemen bulan sabit dengan gaya kebarung kontemporari.
Sulaman kucing di bahagian badan melambangkan rasa ingin tahu, sesuai dengan tema eksplorasi malam. Butang hiasan berbentuk sabit pula menyerlahkan sentuhan unik pada baju ini. Koleksi ini hadir dalam warna sand dan sunset red, yang menawarkan pilihan warna elegan.
Untuk gaya yang sempurna, padankan Yuè Kebarung Top dengan Yuè Pleated Skirt untuk siluet yang lembut dan alunan yang memukau.
Alternatif lain adalah meninggalkan kebarung tidak berkancing dan melapiskannya dengan tank top untuk mencipta garisan vertikal yang memberikan ilusi tubuh yang lebih langsing.
Lengkapkan penampilan dengan kasut tumit tajam untuk gaya yang lebih formal atau sepatu rata untuk keselesaanmu. Kongsi Masa turut memperkenalkan Kait Qipao dan Purnama Tang Suit, dua rekaan tradisional yang diberi sentuhan moden.
Dengan sulaman unik dan fabrik yang dipilih dengan teliti, setiap helai pakaian ini mencerminkan perjalanan masa yang penuh makna. Qipao yang berbentuk lebih lembut ini sangat versatil, sesuai untuk digayakan dalam acara tradisional mahupun santai.
Koleksi Kongsi Masa luar biasa kerana versatiliti dan falsafahnya. Rekaan seperti Tàiyáng Boxy Top dengan sulaman yang memancar seperti sinaran matahari, serta skirt pelbagai gaya seperti
Tàiyáng Pleated Skirt, direka untuk memenuhi keperluan wanita moden yang berubah sepanjang hari.
Koleksi ini meraikan wanita Malaysia dalam keindahan pelbagai budaya. Ia bukan sahaja menawarkan gaya yang anggun tetapi juga membawa mesej inspirasi bahawa kita semua berkongsi masa yang sama, tidak kira di bawah suria atau purnama.
ANAABU mengajak wanita di seluruh negara untuk menyarung koleksi ini sebagai simbol keyakinan dan identiti diri yang kukuh. Jadilah sebahagian daripada cerita masa ini dengan Kongsi Masa, kerana masa yang dikongsi adalah kenangan yang abadi.-UTUSAN










