10 tempat wajib dikunjungi jika ke Perlis

10 tempat wajib dikunjungi jika ke Perlis

Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar dengan panorama indah Timah Tasoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK beberapa tahun kebelakangan, Perlis menjadi fenomena dan mula menjadi tumpuan pelancong dari seluruh negara yang menjadikan negeri ini sebagai lokasi percutian khususnya pada musim cuti sekolah dan hujung minggu.

Jika dahulu, Perlis hanya sinonim sebagai transit untuk ke Pulau Langkawi namun kini, menjadi antara lokasi pelancongan paling popular di Malaysia yang menyaksikan negeri ini penuh sesak dengan pengunjung setiap kali cuti.

Malah, bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025, Perlis terus giat dan rancak menyajikan pelbagai aktiviti serta acara pelancongan yang berjaya menarik kehadiran jutaan pengunjung.

Negeri paling hujung di utara tanah air ini menawarkan keunikan dan keindahan alam semula jadi tidak pernah diteroka selain sawah padi menghijau dan bukit batu kapur berusia jutaan tahun.

Negeri ini juga terkenal sebagai ‘syurga’ makanan yang menyajikan hidangan enak selain harga berpatutan yang menjadi satu lagi tarikan pelancong ke Perlis.

Timah Tasoh

Pertama, lokasi yang wajib dikunjungi adalah Timah Tasoh di kilometer 17, Jalan Kaki Bukit.

Ia terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kangar yang menyajikan pemandangan cukup indah atau lokasi healing paling popular.

Pelbagai aktiviti disediakan seperti kayak, katamaran, khemah, santuari ikan air tawar selain bot ronda yang akan membawa pengunjung melihat keindahan alam semula jadi di situ.

Tarikan lain termasuk pulau burung dan kawasan yang wujudnya beberapa tumbuhan air seperti semalu air (water mimosa), rumput ekor kucing (Pennisetum polystachion) dan kangkung kerbau (Enydra fluctuans).

Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai

Kedua, lokasi yang wajib dikunjungi adalah Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Pemandangan di sini cukup indah selepas melalui proses transformasi daripada perkampungan nelayan biasa ke produk pelancongan paling popular ketika ini.

Bukan itu sahaja, pengunjung dapat menyaksikan keceriaan setiap rumah penduduk yang berwarna-warni serta lorong-lorong yang dihias cantik.
Keunikan lain adalah di Jambatan Tuanku Syed Putra.

Malah, pengunjung juga boleh meronda di tujuh buah kampung tersebut dengan menaiki choley yang akan singgah di lokasi-lokasi tertentu untuk bergambar atau membeli produk tempatan.

Terusan Kampung Wai

Seolah-olah berada di Grand Canyon, Arizona, Amerika Syarikat (AS) apabila menjejakkan kaki ke lokasi yang cukup memukau ini.

Di terusan Kampung Wai, Kuala Perlis, pengunjung dapat menyaksikan keindahan bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun serta air yang kehijauan.

Terusan berkenaan yang menghubungkan sehingga empangan Timah Tasoh sejauh 22 kilometer termasuk melalui sebuah terowong sepanjang 765 meter di Bukit Tebing Tinggi, Bintong itu juga menyediakan pelbagai aktiviti antaranya seperti berkayak dan bot ronda.

Selain menjadi lokasi menikmati pemandangan indah, ia juga menjadi tumpuan aktiviti berkayak menelusuri terowong di terusan berkenaan yang menyajikan 1,001 pengalaman cukup berharga.

View Point Wang Kelian

Ketinggian 304 meter dari aras laut, destinasi keempat yang wajib dikunjungi ialah View Point Wang Kelian.

Perjalanan ke Wang Kelian mengambil masa sekitar 30 minit dari bandar Kangar yang melalui beberapa pekan dan perkampungan dengan suasana mendamaikan.

Di situ, pengunjung dapat melihat keindahan panorama dan menikmati ‘awan permaidani’ pada waktu pagi.

Selain itu, keindahan pemandangan tanah pamah dari dataran yang tinggi serta berpeluang melihat habitat semula jadi beruk kentoi, lutong dan burung hantu busut antara menarik perhatian di kawasan tersebut.

Arked niaga Padang Besar

Tidak lengkap kunjungan ke Perlis jika tidak singgah ke arked niaga Padang Besar untuk membeli-belah khususnya pelbagai barangan dari Thailand.

Di situ juga terdapat Padang Besar Street yang baharu beroperasi sejak tahun lalu. Ia berkonsepkan street mall dengan susunan lot kedai yang cantik dengan pelbagai aneka barangan seperti cadar, toto, periuk, pakaian wanita dan kanak-kanak, jersi, makanan kering dan pelbagai lagi selain kemudahan medan selera.

Sementara itu, bagi tempat makan pula, penulis kongsikan lima destinasi restoran dan kafe popular yang wajib dikunjungi untuk menikmati keenakan sajian tradisi negeri ini.

Ikan bakar Kuala Perlis

Pertama, yang wajib dikunjungi adalah ikan bakar di Kuala Perlis.

Banyak kedai ikan bakar di Kuala Perlis yang mempunyai keistimewaan tersendiri dan antara yang sering menjadi pilihan seperti Nyiru Klasik Ikan Bakar, Mona Ikan Bakar dan Api-Api Ikan Bakar.

Warung Tepi Sawah

Kedua, khususnya untuk lokasi bersarapan yang wajib dikunjungi adalah Warung Tepi Sawah yang terletak di Jalan Wang Ulu, Bintong. Sambil menikmati pelbagai makanan khususnya tradisional, pengunjung dapat menikmati keindahan sawah padi dan bukit.

Bunker Cafe

Lokasi ketiga antara kedai makan menyajikan hidangan sangat sedap dan sentiasa penuh dengan pelanggan yang wajib dikunjungi adalah Bunker Cafe, terletak di Batas Liku, Arau.

Kafe berdekorasi gabungan moden dan tradisional yang menyajikan makanan Barat dan tradisional seperti nasi lemak, dan lontong.

Menu menarik yang lain seperti moi berlauk, roti arab, roti bakar kaya, roti telur keju, roti bakar ayam keping dan roti titab tidak pernah mengecewakan para pelanggan yang datang.

Meskipun, lokasinya agak ‘tersorok’ di bawah jejambat dalam kawasan kampung, namun disebabkan menu yang enak, kafe yang beroperasi dari pukul 7.30 pagi sehingga 12 tengahari itu sentiasa dicari.

Gunung Medan Glamping dan kafe

Lokasi keempat yang bagi penulis cukup menarik perhatian ialah Gunung Medan Glamping dan kafe iaitu sebuah kafe kaca yang cukup unik di atas bukit.

Kafe kaca dua tingkat yang berkonsepkan ala Barat dengan tema berwarna putih itu juga menyajikan pelbagai hidangan sambil menikmati panorama indah.

Untuk sampai ke puncak tersebut, pengunjung perlu melalui laluan mendaki sepanjang kira-kira 500 meter sama ada berjalan kaki atau menaiki kenderaan

Di puncak tersebut, pengunjung dapat menikmati keindahan pemandangan berlatarbelakangkan pekan Kangar yang cukup mempesona.

Dusun Nakawan

Lokasi kelima makan-makan yang wajib dikunjungi adalah Dusun Nakawan di Jalan Bukit Ayer.

Lokasi ini menyajikan pelbagai jenis makanan dengan suasana di dalam dusun mendamaikan.

Sambil menikmati pelbagai jenis hidangan, pengunjung akan menikmati ketenangan dalam suasana kampung yang jauh daripada hiruk-pikuk kota.

Jadi, tidak hairanlah Dusun Nakawan menjadi antara lokasi yang sering menjadi tumpuan khususnya pengunjung-pengunjung dari luar negeri ini.

Selain daripada lokasi-lokasi tersebut, masih banyak lagi tempat-tempat menarik lain yang wajib ‘diterjah’ apabila berkunjung ke Perlis Indera Kayangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×