Tidak sukar jaga kucing buta

Tidak sukar jaga kucing buta

Najwa Abdul Nasir bersama si manja kesayangannya, Shadow.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATINYA tersentuh melihat nasib kucing buta yang terbiar di jalanan menerusi ciapan di laman sosial.

Sejak itu, Najwa Abdul Nasir, 29, terdetik untuk mengambil kucing tersebut sebagai haiwan peliharaannya.

Menurut Najwa, dia nekad untuk menjaga kucing tersebut meskipun pada waktu itu sedang berdepan dengan isu kesihatan dan perlu menjalani pembedahan.

“Pertemuan dengan Shadow bermula daripada sebuah ciapan yang dikongsikan oleh individu bernama Syahirah pada September 2024, yang menceritakan kisah seekor kucing buta ditemui di Terengganu.

“Kali pertama melihatnya, saya merasakan Shadow sangat istimewa. Saya tidak sampai hati membiarkannya terus hidup sebagai kucing jalanan, lebih-lebih lagi dengan keadaannya yang buta,” katanya.

Namun, disebabkan masalah kesihatan, Najwa hanya berpeluang bertemu Shadow pada Disember 2024.

RUANG SELAMAT

Shadow mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan tidak sukar untuk mengajarnya untuk menghafal keadaan rumah.

Najwa melatih Shadow untuk menghafal jalan ke sangkar dan tandas kucing serta menaiki tangga bagi memastikan dia dapat bergerak dengan selesa walaupun dalam keadaan buta.

“Shadow sangat suka bersantai di mana-mana sahaja, asalkan mempunyai ruang selamat tanpa objek tajam atau bahaya.

“Saya juga melatih Shadow untuk mengenali kawasan rumah, termasuk menaiki tangga. Dalam masa yang singkat, dia sudah boleh ingat kawasan dalam rumah,” katanya.

PELBAGAI RAGAM

Berkongsi tentang ragam si manja ini, katanya, Shadow teman yang setia, sopan serta bijak.

Shadow sentiasa menemani Najwa ketika bekerja dari rumah, bahkan ketika sedang memasak, akan setia menunggu di bucu dapur.

“Dia tahu dapur adalah tempat saya bergerak aktif, jadi dia hanya menunggu sehingga saya selesai masak, supaya tidak mengganggu.

“Shadow sangat manja dan suka peluk tangan saya ketika membelainya. Dia sering bersandar pada saya dan suami semasa menonton televisyen,” ujarnya yang merupakan Pengasas Pestana Beauty.

Shadow gemar diajak berbual dan memberi perhatian seolah-olah memahami setiap yang diucapkan.

Kehadiran Shadow bukan sahaja memberi keselesaan, tetapi membantu mengurangkan rasa kegelisahan dan tekanan semasa bekerja.

“Kadang-kadang, semasa saya merasa cemas atau tertekan, Shadow akan datang dekat dan duduk di sisi saya, seolah-olah memberi saya sokongan tanpa perlu berkata apa-apa,” katanya.

Shadow sangat mudah dijaga dan percayakan semua orang yang mengendalikannya.

“Bagi saya, dia adalah kucing yang sempurna tanpa cacat cela. Walaupun dia buta, Shadow boleh tidur di mana-mana sahaja dan kelakuannya yang lucu sentiasa mencuri perhatian.

“Doktor haiwan atau kawan-kawan yang datang berkunjung pasti akan jatuh hati padanya, malah Shadow pernah mendapat pujian sebagai kucing yang paling baik dan sopan semasa rawatan,” katanya.

Shadow memiliki tabiat dengan melambung makanannya sebelum menikmati hidangan, seolah-olah memakannya seperti burung.

“Mungkin disebabkan oleh struktur tengkorak mukanya yang tirus, membuatkan dia sukar untuk menggigit makanan.

“Shadow juga memiliki gaya tidur yang lucu. Kakinya akan terbuka atau terpacak ke atas, membuatkan dia kelihatan semakin comel setiap kali dia tidur,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×