MELIHAT kefasihan penterjemah sastera dan pengkaji budaya ini bertutur dalam bahasa Melayu membuatkan saya hampir terlupa asal-usul keturunannya.
Di mata saya, wanita kacukan Cina (Malaysia) dan Serani (Singapura) ini sudah lengkap ciri-ciri kemelayuan, ditambah dengan penampilan anggun serta sopannya berkebaya rona merah.
Ujarnya, busana tradisi Melayu itu umpama pakaian seragam harian sama ada ketika bekerja atau bersantai.
Malah, Pauline Fan, 46, yang dilahirkan di bumi England turut pandai ‘kecek’ Kelantan dek hubungan akrabnya dengan komuniti makyung dan main puteri sejak lebih dua dekad lalu.
Menceritakan pengalaman ‘bermesra’ dengan bahasa Melayu, katanya, proses itu berjalan lancar hasil didikan mendiang bapa, Fan Yew Teng yang merupakan bekas Ahli Parlimen Menglembu dan Kampar, Perak.
Sejak kecil, beliau dan kakak kembar, Lilianne sudah didedahkan dengan istilah-istilah mudah seperti terima kasih, apa khabar dan jenis-jenis makanan.
Anehnya, walaupun daripada leluhur Tionghoa, namun, bapa tidak pernah sesekali menekankan kepentingan bahasa Mandarin kepada mereka.
Bahkan, sekembalinya ke tanah air ketika berusia enam tahun, pasangan kembar ini turut ‘dilarang’ memasuki sekolah antarabangsa atau Cina.
Sebaliknya, bapa mahu mereka menuntut ilmu di sekolah kebangsaan dan menghayati keindahan bahasa Melayu.
“Ayah memang fasih cakap Melayu disebabkan latar belakangnya sebagai bekas guru dan ahli politik di samping dikelilingi ramai sahabat Melayu termasuk daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Pas.
“Baginya, tiada alasan untuk rakyat Malaysia tidak pandai berbahasa Melayu kerana ia adalah bahasa kebangsaan yang menyatukan kita semua.
“Berkat didikan ayah, lidah saya dan kakak tidak janggal untuk bercakap Melayu apabila balik serta bersekolah di tanah air, malah ia merupakan bahasa kedua kami di rumah,” katanya kepada Seri.

Tambah Profesor Adjung di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini, bahasa Melayu amat istimewa kerana sifatnya yang ‘mengalir’, lembut dan cantik, jauh beza dengan bahasa-bahasa lain yang teknikal serta ‘keras’.
Malah, ia juga sangat dekat dengan alam semula jadi dan mampu menterjemahkan ‘rasa’ menerusi penggunaan elemen metafora yang indah.
Minat terhadap bahasa Melayu turut membawanya meneroka bahan bacaan berunsur sastera pula.
Sebelum ini, beliau cuma membaca naskhah sastera klasik Inggeris daripada rak buku bapa yang melibatkan penulis seperti Franz Kafka, Thomas Mann, Albert Camus, George Orwell, WB Yeats dan DH Lawrence.
“Pertama kali menekuni sastera Melayu ketika di tingkatan dua menerusi novel Srengenge, nukilan Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad lantas menyedarkan saya tentang kehebatan luar biasa karya itu.
“Saya mungkin tidak faham 100 peratus isinya pada masa itu kerana penggunaan istilah yang ‘tinggi’ tetapi gambaran dicipta penulis seolah-olah ‘memanggil-manggil’ saya untuk masuk ke ‘alam’ tersebut,” katanya.
Aktif terjemah sastera Jerman
Sejak itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni, Sastera dan Sejarah Asia Tenggara dari Universiti New York ini mula berdamping dengan sastera Melayu.
Bahkan, beliau turut terjun ke dalam dunia penterjemahan buku bagi membolehkannya lebih akrab dengan sesebuah teks di samping mengasah bakat berbahasa.
Menariknya, karya terjemahan pertama anak bongsu ini bukan daripada bahasa Inggeris ke Melayu sebaliknya Jerman ke Melayu menerusi Dendang Cinta nukilan penyair agung, Bertolt Brecht.
Katanya, kemahiran dalam bahasa asing itu dimiliki selepas empat tahun mempelajarinya di Goethe-Institut Kuala Lumpur di samping mengikuti sarjana di Universiti Oxford.
Empat buku lain terjemahannya ialah Apa itu Pencerahan oleh Immanuel Kant; Nathan yang Bijak (G.E. Lessing), Surat Kepada Penyair Muda (Rainer Maria Rilke) dan Luka Kenangan — 50 Sajak oleh Paul Celan.
“Kegiatan menterjemah melibatkan daya kreatif serta intelektual dan dalam masa sama membuka ruang untuk saya meneroka kedua-dua bahasa secara serentak.
“Paling saya tertarik adalah falsafah dalam buku Surat Kepada Penyair Muda yang menasihati penyair muda supaya tidak bergantung kepada penilaian ramai untuk membuktikan kemampuan atau potensi diri.
“Rilke menyifatkan yang setiap kejayaan datang daripada motivasi individu itu sendiri dan bukan dengan kata-kata orang,” katanya.

Selain itu, beliau turut menterjemah dua karya sastera Melayu ke dalam bahasa Inggeris dengan terbaharu, An Ordinary Tale About Women and Other Stories, yang menghimpunkan 10 cerpen penulis prolifik, Fatimah Busu.
Katanya, proses menyiapkan naskhah itu mengambil masa selama lapan bulan kerana berdepan cabaran untuk mengumpulkan teks.
“Kebanyakan cerpen Fatimah sudah tidak dicetak lagi dan sukar dicari, tetapi dengan bantuan kawan-kawan yang menjual buku-buku terpakai, saya dapat menjejaki semula teks itu.
“Saya himpunkan cerpen terbaik dalam semua era dari 60-an hingga ke 90-an untuk tatapan pembaca,” katanya.
Karya lainnya ialah Tell Me, Kenyalang yang diterjemah daripada puisi penyair Sarawak, Kulleh Grasi dan turut disenarai pendek untuk anugerah National Translation Award in Poetry 2020 di Amerika Syarikat (AS).
Ketika ditanya tips menterjemah, beliau berpegang kepada prinsip mengekalkan perkataan-perkataan lokal tertentu.
Ia penting agar maksud yang disampaikan penulis asal tidak hilang dan gambaran sebenar yang dicipta masih dapat dirasai pembaca.
“Ada kalanya saya perlu baca sehingga tiga kali tetapi pernah juga hanya baca sekali dan terus masuk ke dalam jiwa. Semuanya bergantung kepada ‘angin’ atau mood kita pada masa itu,” katanya yang gemar bekerja lewat malam untuk lebih fokus.
Rindu kedai buku Berlin
Sebagai pencinta bahasa dan sastera, Pauline berkongsi rutinnya yang gemar berkunjung ke kedai-kedai buku setiap kali melancong ke luar negara.
Antara destinasi kesukaannya ialah sebuah premis buku lama di Berlin, Jerman yang kali terakhir dilawati sebelum pandemik Covid-19.
Malah, rutin itu tetap diteruskan ketika bercuti ke Jepun bersama ibunya, Dr, Noeleen Heyzer, baru-baru ini.
“Walaupun kebanyakan buku dalam bahasa Jepun tetapi ia tidak menjadi masalah kerana melalui kunjungan itu, saya dapat mendekati budaya orang tempatan.
“Selain kedai buku lama, saya juga suka ke premis moden kerana setiap satunya memiliki suasana serta nostalgia tersendiri,” katanya.
Begitupun, Pauline mengakui sukar untuknya mengkhatamkan karya-karya sastera kini dek kekangan masa dan kesibukan kerja.
“Membaca merupakan amalan yang mulia tetapi tidak semestinya kita perlu membaca semua buku sekali gus.
“Bagi saya, yang paling penting adalah mendalami sesuatu bidang atau perkara yang diminati. Misalnya, tugasan lain saya yang perlu menyelaras festival bahasa dan sastera juga sebahagian pendekatan untuk saya ‘kenal’ sastera,” katanya.
Pauline turut berkongsi rancangannya untuk menulis buku tentang sejarah keluarga pada masa depan.
Katanya, misinya untuk menjejaki susur galur keluarga di sebelah ibu yang berasal dari Sri Lanka dan di Kolkata (India) serta Yangon (Myanmar).
Tarian klasik Burma
Selain mahir menulis, Pauline dan kakaknya turut berbakat dalam tarian klasik Burma yang dikenali sebagai Zat Pwe.
Tarian itu mula dipelajari pasangan kembar ini ketika mereka berusia 17 tahun setelah berhijrah ke New York dari Malaysia.
Di peringkat awal, aktiviti itu sekadar untuk mengisi masa terluang dengan mengikuti kelas yang dikendalikan guru, U Win Maung.
“Cikgu saya merupakan anak kepada pengasas kumpulan Zat Pwe yang tersohor di Burma, Shwe Man Thabin.
“Sehingga kini, saya dan kakak masih lagi aktif menari dan turut membuat persembahan sempena festival DiverseCity KL pada 2015,” katanya menutup bicara.- UTUSAN










