TRUONG My Lan, seorang taikun hartanah terkenal Vietnam, kini dikenali sebagai dalang di sebalik penipuan bank terbesar di dunia.
Lan dijatuhi hukuman mati pada Oktober lalu kerana peranannya dalam penipuan kewangan terbesar di negara itu.
Dia dan rakan subahatnya yang lain didapati bersalah menggelapkan dana milik Saigon Commercial Bank dan menyebabkan kerugian berbilion dolar selama lebih sedekad.
April lalu, mahkamah mendapati Lan secara rahsia mengawal Saigon Commercial Bank, bank kelima terbesar di negara itu dan mengambil pinjaman serta sejumlah wang selama lebih 10 tahun melalui rangkaian syarikat palsu dengan jumlah keseluruhan AS$44 bilion (RM196 bilion).
Pendakwa raya berkata, sebanyak AS$27 bilion (RM120 bilion) diselewengkan, manakala AS$12 bilion (RM53 bilion) telah digelapkan, menjadikannya jenayah kewangan paling serius yang menyebabkan Lan dijatuhi hukuman mati.
Ia merupakan keputusan yang jarang berlaku dan mengejutkan apabila Lan adalah salah seorang daripada segelintir wanita di Vietnam yang dijatuhkan hukuman mati kerana jenayah kolar putih.
Wanita berusia 68 tahun itu kini berlumba dengan waktu, kerana undang-undang Vietnam memberi peluang untuk hukuman matinya diringankan kepada penjara seumur hidup, jika dia berjaya membayar semula 75 peratus daripada jumlah yang diambil.
MALU JADI BEBAN NEGARA
Awal bulan ini, mahkamah memutuskan tiada asas untuk mengurangkan hukuman mati Lan.
Bagaimanapun, dia masih boleh mengelak hukuman itu jika mampu mengembalikan AS$9 bilion (RM40 bilion), iaitu tiga perempat daripada AS$12 bilion yang digelapkan.
Peguam mewakili Lan mengemukakan hujah agar hakim memberi kelonggaran daripada segi kewangan.
Mereka menegaskan, meskipun beliau dijatuhi hukuman mati, sukar untuknya merundingkan harga terbaik bagi menjual aset dan pelaburan, menjadikannya lebih sukar untuk mengumpul AS$9 bilion.
Peguam berpendapat, sekiranya Lan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, dia pasti boleh melaksanakan pemulangan wang diambil dengan lebih baik.
Keputusan itu bukan rayuan terakhir, sebaliknya beliau masih boleh memohon pengampunan kepada Presiden.
Sepanjang perbicaraan, Lan kadang kala bersikap tegas, tetapi dalam sesi rayuan terbaharu, wanita tersebut mula menunjukkan rasa kesal.
Beliau mendakwa dirinya malu kerana menjadi beban kepada negara dan menegaskan mahu membayar kembali wang yang diambil.
Bank Negara Vietnam dipercayai membelanjakan berbilion dolar untuk menyuntik semula modal ke dalam Saigon Commercial Bank bagi mengelakkan panik perbankan yang lebih meluas.
ASAL PENJUAL KOSMETIK
Dilahirkan dalam keluar Sino-Vietnam di Ho Chi Minh City, Lan memulakan perjalanannya sebagai penjual kosmetik di gerai pasar bersama ibu.
Selepas Parti Komunis memperkenalkan reformasi ekonomi pada 1986, beliau mula membeli hartanah dan memiliki hotel serta restoran menjelang 1990-an.
Lan dan keluarganya menubuhkan syarikat Van Thinh Phat (VTP) pada 1992, ketika Vietnam meninggalkan ekonomi yang dikendalikan kerajaan dan beralih kepada ekonomi berorientasikan pasaran terbuka kepada pelabur asing.
Sejak itu, VTP berkembang pesat menjadi salah satu firma hartanah terkaya di Vietnam.
Hari ini, syarikat itu dikaitkan dengan beberapa hartanah paling bernilai di pusat bandar Ho Chi Minh, termasuk bangunan 39 tingkat Times Square Saigon, Hotel Windsor Plaza bertaraf lima bintang, bangunan pejabat Capital Place setinggi 37 tingkat dan Sherwood Residence, hotel lima bintang yang menjadi tempat tinggal Lan sehingga ditangkap.
Lan bertemu dengan suaminya, pelabur Hong Kong, Eric Chu Nap-kee pada 1992 dan mereka dikurniakan dua anak perempuan.
Selain Lan, 85 tertuduh lain turut disabitkan kesalahan. Empat daripadanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.










