Tamatkan derita 15 tahun bersama suami baran

Tamatkan derita 15 tahun bersama suami baran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai wanita memilih untuk bertahan hidup dalam perkahwinan dengan lelaki panas baran dan kaki pukul demi anak-anak.

Walaupun ramai menyedari kehadiran lelaki seperti itu lebih memudaratkan, jauh di sudut hati seorang ibu tidak mahu anak-anak membesar tanpa seorang bapa.

Dalam derita, sentiasa cuba menyakinkan diri bahawa anak-anak perlukan seorang bapa, walaupun sosok itulah yang melukakan hati ibu mereka.

Persoalannya, adakah dengan keputusan itu mereka sedang melindungi atau merosakkan anak-anak?

Minggu ini saya kongsikan kisah Nurlina, (bukan nama sebenar) yang hidup selama 15 tahun dalam sebuah perkahwinan yang penuh toksik dan ketakutan.

Selama bertahun-tahun menahan derita, akhirnya pada penghujung November 2022, dia membuat keputusan sukar dalam hidupnya.

Nurlina melaporkan keganasan yang berlaku dalam rumah tangga kepada pihak berkuasa dan memilih untuk bercerai.

“Apa yang saya lakukan bukan untuk diri tetapi demi masa depan anak-anak. Alhamdulilah, setelah dua tahun berlalu, kini hidup kami lebih bahagia dan tenang,” ujarnya ketika menghubungi saya baru-baru ini.

Menyingkap kisah lalu, kata Nurlina, sebelum ini dia berfikir cinta boleh mengubah segalanya.

Namun seiring masa berlalu, dia mula sedar cinta tidak mampu meredakan sikap suami yang panas baran .

“Sejujurnya saya bertahan demi anak-anak dan sentiasa berharap suatu hari suami akan berubah. Setiap kali dia naik tangan, hati saya hancur tetapi saya terus berdiam kerana memikirkan anak-anak yang ketika itu masih kecil,’’ ujarnya .

Menurut Nurlina, sebelum itu dia pernah meminta cerai beberapa kali ketika kesabarannya sudah sampai ke penghujung, tetapi lelaki itu berjaya memujuk, merayu dan berjanji akan berubah.

Menurut Nurlina, kerana cinta yang masih ada dan memikirkan dua anaknya, Danish dan Sally, (bukan nama sebenar) dia setuju untuk rujuk kembali.

Namun, kata wanita berusia pertengahan 30 an itu, janji tinggal janji. Sikap bekas suami semakin teruk.

Anak-anak mula terkesan dengan sikap panas baran bapa mereka.

“Anak-anak sering menjadi saksi apa yang dilakukan bekas suami kepada saya. Bila suami marah, kaki tangan atau apa sahaja yang berada di tangannya menjadi alat untuk melampiaskan kemarahan.

“Lebam di badan, luka di wajah, sakit di mata tidak mampu diungkap dengan kata-kata,” imbasnya.

Kata Nurlina, sepanjang tempoh perkahwinan itu juga dia diasingkan dari keluarga dan rakan-rakan kerana bekas suami tidak suka dia berhubung dengan dunia luar.

Kata Nurlina, segala perlakuan bekas suami menjadi rahsia.

“Jika ada sesekali perjumpaan melibatkan keluarga atau kawan-kawan pelbagai alasan saya beri kepada yang bertanya.

“Saya terjatuh, terlanggar pintu dan sebagainya. Namun, sebenarnya saya hanya cuba menutup perbuatan orang yang sepatutnya melindungi diri saya,” ujarnya.

Sebelum itu, Nurlina bekerja di salah sebuah syarikat perbankan di ibu negara, namun selepas berkahwin bekas suami memintanya berhenti kerja.

Kata Nurlina, dunianya hanya suami dan anak-anak.

Menguruskan hal-hal rumah tangga dari celik mata awal pagi hingga lewat malam.

Bercerita lanjut tentang sikap buruk bekas suami kata Nurlina, ia sukar diduga.

“Bekas suami akan marah-marah atau menyerang saya walaupun atas perkara kecil sahaja.

“Makanan yang saya masak terkurang atau terlebih garam, pakaian tidak digosok sempurna atau anak-anak membuat bising pasti menjadi kemarahannya,” ujarnya lagi.

Sepanjang tempoh 15 tahun perkahwinan itu juga, dia dan anak-anak hidup dalam ketakutan.

Dia cuba untuk tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mencetuskan kemarahan bekas suami.

Namun, tiada apa yang boleh membuatkan lelaki itu untuk tidak marah-marah walaupun sehari.

Menurut Nurlina, bukan sahaja kaki tangan hinggap ke tubuh, tetapi bekas suami turut melemparkan kata-kata kesat.

“Perkataan bodoh, perempuan tak guna dan menyesal berkahwin dengan saya bagai mainan kepadanya.

“Hati saya benar-benar remuk setiap kali kata-kata itu keluar dari mulut lelaki yang sebelum ini berjanji sehidup semati dengan saya,” katanya.

Menurut Nurlina, ketika itu dia bertahan kerana bimbang dipersalahkan, takut dilabel isteri derhaka atau lebih takut sekiranya bekas suami mengalihkan kemarahan kepada anak-anak.

Anak-anak sering berasa takut, menangis dan sering bertanya kenapa bapa mereka sering marah-marah dan memukul ibu mereka.

Namun ketika itu dia masih bertahan dan masih cuba menyembunyikan apa yang berlaku kepada anak-anak.

Kemuncak kepada kesabaran Nurlina apabila pada suatu hari, bekas suami menendang perutnya yang ketika itu hamil empat bulan.

Saat itu, dia benar-benar sedar, jika terus bertahan dia sebenarnya sedang merosakkan hidup anak-anak dan diri sendiri.

“Tanpa saya sedari, sikap untuk memilih bertahan telah menumbuhkan ketakutan kepada anak-anak terutama Danish.

“Sejak usia dua tahun dia melihat layanan buruk seorang bapa yang panas baran terhadap seorang ibu.

“Berbanding Sally, Danish lebih mengalami kesan emosi yang mendalam dan berpanjangan. Dia sering berada dalam ketakutan, keliru, marah dan sedih,” ujarnya yang berjaya mengumpul kekuatan melaporkan keganasan rumah tangga kepada pihak berkuasa.

Kata Nurlina, keputusan untuk menoktahkan perkahwinan toksik itu juga kerana dia enggan anak-anak membesar dengan melihat dan mempraktikkan bahawa keganasan rumah tangga adalah perkara biasa.

Walaupun keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, tetapi demi kebahagiaan dan ketenangan anak-anak, ia perlu dilakukan.

“Alhamdulilah, Danish dan Sally membesar dengan suasana yang lebih bahagia.

“Sekurang-kurangnya kami bebas daripada penderitaan yang telah lama terpaksa ditanggung,” ujarnya.

Mengakhiri perbualan, kata Nurlina, semua orang berhak untuk bahagia.

Oleh itu, jangan takut untuk mengambil langkah keluar dari perkahwinan toksik demi kebaikan diri dan masa depan anak-anak.

Sesungguhnya, perceraian adalah perbuatan halal tetapi dibenci Allah Taala.

Ia adalah pilihan terakhir yang diambil jika tidak ada cara lain untuk menyelamatkan rumah tangga.

‘Dan jika mereka berketetapan hati hendak menceraikan, maka sungguh Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.” (Al- Baqarah : 227).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN