Bag charms atau perhiasan beg sebenarnya bukanlah fenomena baru.
Sejarahnya bermula sejak abad ke-19 apabila aksesori kecil seperti kunci dan loceng dijadikan hiasan untuk beg tangan.
Namun, ia mula mendapat perhatian meluas apabila jenama mewah seperti Louis Vuitton dan Chanel memperkenalkan versi moden yang berkilauan dan elegan.
Sejak itu, perhiasan ini menjadi aksesori fesyen wajib dimilik dan digemari oleh selebriti serta ikon fesyen seperti Chiara Ferragni, Kendall Jenner dan Neelofa.
Mereka menggunakan aksesori ini untuk menambahkan keperibadian dan elemen ‘wow’ pada beg tangan mereka, menjadikan ia lebih menarik dan unik.
Minggu ini, saya ingin memperkenalkan jenama tempatan Oh Dayang dan koleksi Batik Bag Charms mereka yang memukau.
Koleksi ini meraikan keindahan seni tradisional batik sarung, dengan setiap charm yang diilhamkan daripada motif bunga-bungaan batik yang kaya dengan warna.
Rekaannya yang ceria memberikan sentuhan moden pada tradisi sekali gus menjadikannya aksesori sempurna untuk wanita Malaysia yang ingin menonjolkan gaya berwarna-warni dan berkarakter.
Bagi peminat gaya elegan dan bergaya, beg tangan tote kulit dengan rona warna neutral seperti hitam, beige atau coklat gelap adalah pilihan sempurna.
Untuk memberikan sentuhan menarik, tambahkan bag charm Oh Dayang berwarna merah jambu terang atau biru firus sepert Veda Bag Charms atau Avni Bag Charms.
Kontras warna ini sesuai untuk dirimu yang menggemari gaya minimalis tetapi tetap ingin menonjolkan sisi feminin.
Gayakan tote ini bersama baju kurung moden dalam warna pastel seperti merah jambu pucat (dusty pink) atau biru lembut (baby blue).
Lengkapkan penampilan dengan selendang satin dan kasut tumit tinggi dalam warna nude untuk menghadiri acara semi-formal atau mesyuarat kerja, di mana dirimu ingin tampil anggun dan profesional.
Jika dirimu lebih suka gaya santai dan praktikal, beg sandang kanvas adalah pilihan ideal.
Beg dalam warna putih, kelabu atau hijau zaitun memberikan asas yang versatil dan anda boleh menambahkan bag charm bercorak bunga seperti Sakti Large Batik Charms untuk memberikan sentuhan segar.
Pasangkan beg sandang ini dengan jumpsuit denim atau baju oversized bersama seluar jogger.
Padanan ini kelihatan kasual tetapi bergaya, sesuai untuk hujung minggu santai atau keluar minum kopi bersama rakan-rakan.
Lengkapkan penampilan dengan sneakers putih dan aksesori ringkas seperti gelang rantai untuk sentuhan akhir.
Bagi yang menggemari gaya chic dan moden, mini beg galas dalam warna pastel seperti lavender, mint atau biru lembut adalah pilihan yang menarik.
Untuk menyerlahkan lagi keunikan beg ini tambahkan beberapa bag charm dalam warna lembut seperti putih krim, merah jambu lembut atau corak bunga pastel seperti Shree Bag Charms.
Gaya ini sangat feminin dan manis, sesuai untuk dipadankan dengan dress sifon bercorak bunga yang flowy.
Tambahkan sneakers platform untuk keselesaan dan topi jerami serta cermin mata hitam untuk gaya yang sempurna ketika bercuti atau menghadiri aktiviti luar yang santai.
Jadi, jangan takut untuk tampil berani dengan mengayakan di mana sahaja dirimu pergi.









