Kasih sayang seorang anak terhadap ibu adalah sesuatu yang tiada nilai bandingan dan tanpa syarat.
Ia tidak dapat diukur dengan harta benda mahupun wang ringgit.
Tentu sekali anak ingin melihat kebahagiaan si ibu, terutama setelah bertahun-tahun menjadi ibu tunggal.
Namun, kebahagiaan ibu dengan lelaki yang sudah berkahwin menimbulkan dilema kepada anak-anak.
Minggu ini, saya kongsikan dilema seorang anak yang tidak mahu melukakan hati ibu, tetapi dalam masa sama enggan membiarkan ibu meneruskan hubungan yang mungkin membawa masalah di masa hadapan.
Nadia, (bukan nama sebenar) memberitahu walaupun memahami keperluan ibu untuk disayangi seseorang lelaki, namun dia kurang bersetuju dengan hubungan itu kerana melibatkan suami orang.
“Saya melihat hubungan ibu sebagai sesuatu yang tidak adil kepada isteri dan anak-anak lelaki itu.
“Lebih menakutkan saya, mungkin ibu akan menjadi mangsa dipergunakan sekali lagi oleh lelaki bergelar suami,” kata Nadia pada pertemuan bersama saya baru-baru ini.
Membuka kisah keluarganya, kata Nadia, pada pandangan luar nampak sempurna.
Mereka sekeluarga sering menjadi perhatian kerana keakraban yang ditunjukkan di depan orang ramai.
Bapanya, Zain (bukan nama sebenar) kelihatan seperti suami dan bapa penyayang, sentiasa mahu menunjukkan kepada orang lain bahawa mereka adalah keluarga bahagia.
Namun rahsia di sebaliknya, bapa adalah seorang lelaki yang kasar, panas baran, tidak bertanggungjawab dan membiarkan ibu menyara keluarga sendirian.
Bapanya tidak mempunyai pekerjaan tetap, sementara ibunya seorang penjawat awam yang menerima gaji bulanan.
Bertahun-tahun ibunya menyembunyikan kesedihan.
“Semasa kecil saya tidak faham tentang apa yang dilalui dalam perkahwinan ibu dan ayah. Namun, semakin meningkat dewasa, saya mulai memahami kehidupan berumahtangga.
Kata Nadia, sepanjang tempoh 25 tahun perkahwinan kedua ibu bapanya, dia banyak melihat pertengkaran antara mereka.
Kadang kala pertengkaran kedua ibu bapa menjadi ‘panas’ sehingga dia terpaksa membawa adik-adik keluar dari rumah untuk mengelak mereka mendengar.
Menurut Nadia, ibu memutuskan untuk berpisah dengan bapa selepas adik perempuannya, Mira (bukan nama sebenar) melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun lalu.
“Majlis itu adalah hari yang sangat bermakna dalam hidup kami, tetapi juga hari yang penuh emosi dan air mata.
Ini kerana keputusan besar yang diambil ibu untuk berpisah dengan ayah selepas majlis akad nikah adik,” imbas Nadia.
Beberapa minggu selepas majlis perkahwinan, ibu memfailkan perceraian dengan bapa.
Sebagai anak, tidak mudah untuk mereka lima beradik menerima perpisahan ibu dan bapa.
Namun, Nadia melihat itu sahaja cara ibu membebaskan diri daripada hubungan yang hanya membawa derita.
“Ayah tetap ayah. Kami tetap menghormatinya,’’ ujar Nadia.
Menurut Nadia, selepas beberapa bulan ibu dan bapa bercerai, hidup ibu perlahan-lahan berubah.
Nadia dapat melihat bebanan emosi ibunya terasa lebih ringan.
Sebagai anak dia berasa lega dan gembira melihat ibunya kembali tenang dan tersenyum.
Namun kata Nadia, segalanya berubah pada Mei lalu apabila ibunya menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki berstatus suami orang.
Akui Nadia, pertama kali dia menyedari perkara itu apabila dia melihat mesej romantik antara ibu dan lelaki itu secara tidak sengaja.
“Saya benar-benar terkejut. Sebagai anak sulung saya cuba bercakap dengan ibu tentang perasaan saya dan adik-adik. Tentang kebimbangan kami terhadap lelaki itu yang didakwa seorang kontraktor kelas A. Namun, ibu tetap mempertahankan lelaki itu.
“Ibu berkali-kali menegaskan lelaki itu buat ibu bahagia dan lelaki itu berjanji akan menjaga ibu dan kami adik-beradik,” kata Nadia.
Jawapan itu membuatkan Nadia semakin keliru.
Bagi Nadia, kebahagiaan ibu tidak seharusnya dibina atas air mata wanita lain.
Dia berasa kesal kerana keputusan ibu mahu meneruskan hubungan dengan lelaki itu.
Menambahkan rasa malu dan serba salah Nadia, apabila kisah cinta ibu dengan lelaki itu mula tersebar di kalangan jiran-jiran dan kawan-kawan ibu.
Mereka mula mencemuh dan berbisik di belakang .
Nadia berasa tertekan.
Menurut Nadia, sekiranya ibu ingin berkahwin lagi dia dan adik-adik tidak menghalang.
Namun bukan dengan suami orang yang mempunyai seorang anak berusia dua tahun itu.
“Pada pandangan saya, lelaki yang disukai ibu bukan lelaki baik. Semasa berbual dengan ibu dia sering mengadu dan memburuk-burukkan tentang isterinya.
“Lelaki itu menyatakan bahawa dia tidak menerima layanan baik daripada isteri,” kata Nadia.
Menurut Nadia, kalau lelaki itu memburukkan isterinya di depan ibu, apa jaminan dia tidak akan melakukan perkara sama kepada ibu suatu hari nanti.
“Saya pernah memberanikan diri untuk berbincang secara serius dengan ibu mengenai perkara itu.
“Sebagai anak sulung saya berasa bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan atau melindungi ibu daripada dilukai lelaki buat kali kedua.
“Cukuplah ibu menderita dalam perkahwinan pertamanya,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata Nadia, ibu tetap kekal dengan keputusan untuk berkahwin dengan lelaki itu dan merancang untuk berkahwin di Thailand awal Februari tahun depan.
Keputusan ibu untuk terus menjalinkan hubungan dengan lelaki itu menyebabkan hubungan adik-adiknya dan ibu semakin tegang.
Di pihak Nadia sendiri, dia tidak berputus asa memujuk dan berusaha mengingatkan ibunya tentang implikasi hubungan tersebut.
“Saya tidak mahu ibu dipandang rendah atau menjadi punca keretakan rumah tangga orang lain,’’ katanya.
Kata Nadia, sebagai anak dia tetap menunjukkan kasih sayang kepada ibunya walaupun tidak bersetuju dengan pilihan ibu.
Sebelum mengakhiri perbualan lewat petang itu, Nadia sempat mempersoalkan, adakah dia bersalah jika menyokong ibu yang terjebak dalam hubungan yang melibatkan kebahagiaan orang lain?
Atau adakah dia dikategori sebagai anak yang derhaka jika membantah?
Sesungguhnya, Islam mewajibkan anak-anak berbuat baik kepada ibu bapa walaupun mereka tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran.- UTUSAN









