Syazwani bantu rakan senasib lahir tanpa rahim, vagina - Utusan Malaysia

Syazwani bantu rakan senasib lahir tanpa rahim, vagina

Nur Syazwani Abdul Rahim akktif memberi advokasi mengenai kesihatan seksual wanita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah lama saya mengikuti perkembangan wanita ini.

Tidak keterlaluan jika saya katakan beliau adalah sosok wanita kuat yang sangat yakin dan berani.

Tatkala wanita lain lebih gemar menutup rapat kekurangan diri, Nur Syazwani Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Wani Ardy dalam industri muzik indie tempatan tampil mendedahkan mengenai keadaan kesihatannya yang di luar kebiasaan.

Pemuisi dan Pemuzik wanita ini menggemparkan industri seni dan orang ramai ketika itu dengan mendedahkan keadaan kesihatan yang mengalami sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) di mana beliau lahir tanpa rahim dan vagina.

Ini menjadikan beliau antara satu dalam 5000 wanita yang mengalami sindrom ini.

Berkesempatan berbual bersamanya baru-baru ini, Wani menjelaskan tujuannya tampil mendedahkan perkara itu bukanlah untuk meraih perhatian apatah lagi simpati masyarakat.

Sebaliknya, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mahu memberi kesedaran dan motivasi kepada rakan senasib untuk bangun dan mencari penyelesaian kepada keadaan kesihatan dialami.

“Wanita mana yang hendak mengaku mereka dilahirkan tanpa vagina atau tanpa rahim? Perkara ini melibatkan sesuatu yang sensitif.

“Saya sendiri mengambil masa lebih 10 tahun sebelum membuat pendedahan ini kerana ia bukan mudah. Saya disahkan mengalami MRKH pada usia 17 tahun dan hanya pada usia 30 tahun saya bercakap mengenainya secara terbuka.

“Tetapi saya tahu setiap perkara yang berlaku pasti ada penyelesaiannya dan saya sendiri melakukan terapi untuk keadaan kesihatan saya ini. Jadi, saya mahu wanita yang senasib turut melakukan perkara yang sama dan tidak menyimpannya seorang diri,” katanya.

Disebabkan itu beliau tekad melawan tabu untuk bercakap mengenai keadaan seksual.

Baginya, tiada apa yang hendak dimalukan apabila berbicara soal seksual kerana ia juga adalah fitrah manusia kurniaan Ilahi.

Kembangkan advokasi

Meniti 10 tahun perjalanan sebagai konsultan dan jurulatih untuk sindrom MRKH membuka mata wanita ini lebih luas dalam isu kesihatan seksual.

Katanya, bukan wanita tanpa vagina sahaja yang mengalami masalah berhubungan intim bersama suami, malah wanita yang lahir dengan vagina turut mengalami masalah sama dikenali sebagai Vaginismus.

Vaginismus adalah keadaan di mana seorang wanita tidak dapat mengawal otot vagina mereka sehingga menyebabkan sukar untuk berhubungan intim.

Perkara ini juga amat jarang dibincangkan sehinggakan membuat wanita berusia 40 tahun ini terdetik untuk menyelami isu berkenaan dengan lebih lanjut.

“Jadi, fokus saya kini bukanlah lagi terhadap MRKH semata-mata tetapi juga Vaginismus di mana saya menganjurkan bengkel tentang terapi dilatasi untuk mereka yang mengalami gejala ini.

“Berbanding 10 tahun lepas semasa saya mula melibatkan diri dalam bidang ini, saya lihat kesedaran mengenai kesihatan seksual kini lebih baik dan terbuka.

“Malah, ada juga kes yang saya dapat, suami yang merujuk isteri mereka kepada saya untuk mendapatkan sokongan. Perkara ini buat saya gembira kerana suami memainkan peranan untuk membantu isteri dan bukan menjadikannya alasan untuk berpisah,” ulasnya.

Program advokasi yang dijalankan Wani bukan sahaja bertumpu di dalam negara sebaliknya ibu kepada dua anak ini sudah mula melebarkan sayap ke negara-negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.

Pengalaman hidup

Disebalik kesibukannya sebagai seorang pensyarah penulisan di sebuah kolej swasta, beliau tetap mencuri masa untuk program advokasi yang sudah dimulakan sejak 2014.

Bagi beliau, ini adalah tanggungjawab sosialnya untuk membantu wanita yang menghadapi masalah berkaitan seksual.

Beliau mahu menjadi ‘tempat selamat’ untuk wanita bercerita dan berkongsi masalah supaya dapat meredakan beban yang menggunung di bahu mereka selama ini.

Apatah lagi, program advokasi yang dijalankan bukanlah syok sendiri sebaliknya berdasarkan pengalaman hidupnya sebagai wanita MRKH dan mengalami kesulitan dalam perhubungan intim.

“Sekarang ini saya sudah mula fokus kepada topik baharu iaitu keselamatan psikoseksual yang mana ia membabitkan wanita sukar berhubungan intim dengan pasangan kerana trauma masa lalu.

“Contohnya, pernah dirogol atau dicabul sewaktu kecil sehingga mereka berasa trauma.

“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah saya ceritakan kepada umum iaitu saya juga adalah salah seorang mangsa gangguan seksual oleh orang terdekat. Bukan ahli keluarga tetapi orang saya kenal rapat dan dekat,” jelasnya.

Tidak boleh tidak, kejadian yang berlaku ketika usianya 20-an ketika itu sudah tentu merenggut ketenangan dalam diri sekali gus menjadikan beliau trauma untuk beberapa ketika.

Namun, berjaya bangkit dengan keazaman yang kuat, misinya kini terarah pula kepada wanita lain yang turut menjadi mangsa kerakusan lelaki.

“Ini yang saya rasa membezakan saya dengan jurulatih atau konsultan yang lain kerana saya bercakap atas pengalaman yang saya sendiri lalui.

“Saya tahu bagaimana perasaan itu dan berada dalam situasi itu. Kalau di luar negara terma ini disebut sebagai pakar pengalaman hidup (lived experience expert),” katanya yang juga yang juga Pengasas kumpulan sokongan, MRKH Malaysia.

PEMINDAHAN RAHIM

MRKH yang ditubuhkan sejak 2014 itu giat memperkasa golongan MRKH.

Malah, mereka juga sedang berjuang untuk merealisasikan pembedahan pemindahan rahim pertama di negara ini.

Inisiatif itu dijalankan dengan kerjasama daripada Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pakar bedah dari Sweden.

Ujar Wani, pembedahan seumpama itu bukan lagi asing di luar negara bagi membolehkan wanita MRKH mengandung dan memiliki zuriat sendiri.

“Cuma di Malaysia belum lagi diluluskan. Bagi tujuan itu, kami juga jalankan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapatkan kelulusan fatwa.

“Setakat ini Jakim dah beri kelulusan untuk kami buat kajian lanjut mengenai prosedur ini. Apabila kajian selesai kemudian baru akan dipertimbangkan daripada segi fatwa dan sebagainya,” jelasnya.

Kebanyakan kes di luar negara, ibu kepada penghidap MRKH sendiri yang mendermakan rahim kepada anak mereka.

Kebiasaannya ibu yang sudah tua dan menopaus mendermakan rahim kepada anak mereka.

Walaupun rahim tersebut sudah kecut dan si ibu sudah pun menopaus tetapi ia masih boleh dipindahkan kepada penerima dan rawatan akan diberikan untuk menyihatkan semula rahim tersebut.

Nur Syazwani (kanan) bekerjasama pakar pemindahan rahim dari Sweden, Prof. Mats Brannstrom untuk merealisasikan prosedur pemindahan rahim di negara ini.

Masih jiwa seni

Dalam kesibukannya memperkasa kesihatan seksual golongan wanita, puisi dan hasil seninya masih sahaja mengalir di pentas dan kertas.

Malah, baru-baru ini beliau baharu sahaja terbang ke Singapura untuk Singapore Writers Festival 2024.

“Buat persembahan sekali-sekala kerana kekangan masa sebagai pensyarah dan konsultan tetapi saya masih lagi menulis.

“Saya juga sedang menyiapkan manuskrip buku terbaharu saya. Jadi, boleh katakan aktiviti seni sudah sedikit berkurang tetapi masih ada,” jelas pelantun lagu Belajar ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN