Narqes tidak perlu kontroversi untuk cipta nama

Narqes tidak perlu kontroversi untuk cipta nama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Diam-diam ubi berisi.’ Ini peribahasa yang saya rasa sesuai untuk menggambarkan figura ini.

Sepanjang pengetahuan saya, Datin Narqes Mohd. Raimi tidak pernah sekalipun terpalit dengan kontroversi apatah lagi mencipta kontroversi demi mengejar tular yang menjadi trend ketika ini.

Begitupun, empayar kesihatan dan kecantikan yang diasaskan sejak 2016, Narqes Holdings Sdn. Bhd. dan Narqes Group of Companies tidak pernah berhenti meniti kejayaan demi kejayaan, malah kian berkembang ke segmen perniagaan yang lain.

Bermula dengan hanya sebuah pusat kecantikan di Ampang, Kuala Lumpur, Narqes terus melebarkan sayap dengan menubuhkan kilang kosmetik sendiri, kilang makanan kesihatan dan pusat penjagaan selepas bersalin.

Disebabkan itu, saya rasa terpanggil untuk bersua muka dengan wanita hebat ini untuk membicarakan bagaimana beliau teguh berpegang kepada prinsip untuk tidak hanyut dalam arus bad marketing is a good marketing yang banyak diamalkan ketika ini.

Narqes yang menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi berkata, perniagaan yang diasaskan bersama suami, Datuk Radziq Jalaludin, 42, sentiasa berpegang kepada pepatah ‘biar lambat asal selamat’.

Beliau dan suami mengambil pendekatan untuk berkembang secara organik dan bersengkang mata menaikkan perniagaan dengan cara yang sihat untuk meraih kepercayaan pelanggan.

“Kami berkembang secara perlahan-lahan tetapi kami bina jenama ini dengan asas dan kredibiliti yang kuat.

“Pada saya, yang penting adalah untuk menyakinkan pelanggan dan dapatkan kepercayaan mereka. Sebab itu kami masih ada pelanggan setia yang bersama hingga kini.

“Saya tidak mahu tular tetapi sekali sahaja orang datang cuba. Biarlah perkhidmatan yang ditawarkan itu berkualiti dan beretika supaya pelanggan akan sentiasa menyokong dan kembali,” katanya yang sudah memiliki 23 cawangan pusat estetik di seluruh Malaysia.

Jaga wanita berpantang
Figura berusia 42 tahun ini sentiasa aktif meneroka peluang perniagaan.

Beliau sentiasa peka dengan keperluan wanita masa kini dan mencuba untuk menawarkan perkhidmatan yang membantu wanita.

Misalnya, pusat penjagaan selepas bersalin yang ditubuhkan sejak tahun lalu.

Beliau berani menceburi perniagaan itu yang sebelum ini dipelopori oleh masyarakat bukan islam selepas melihat keperluan untuk mewujudkan pusat penjagaan selepas bersalin yang diasaskan oleh Muslim dan berstatus halal.

Kewujudan pusat berpantang di Kuala Lumpur itu secara tidak langsung memberi lebih pilihan kepada pengguna Islam untuk mendapatkan penjagaan lepas bersalin daripada pakar-pakar perbidanan dan penjagaan wanita.

Wanita yang baru lepas bersalin boleh diibaratkan seperti baru pulang daripada medan perang, sekali gus memerlukan penjagaan dan rawatan yang teliti.

“Zaman sekarang saya lihat ramai wanita yang sudah berkahwin hidup merantau, jauh daripada ibu bapa dan bila mereka bersalin kadangkala terpaksa menguruskan diri dan bayi sendirian.

“Jadi, keperluan itu ada kerana pusat penjagaan ini dapat membantu proses pemulihan ibu dan dalam masa sama membantu menguruskan bayi sekali gus memudahkan wanita terutama yang baharu bergelar ibu,” jelasnya.

Tambahnya, keperluan pusat penjagaan selepas bersalin juga dilihat semakin penting selepas menerima beberapa kes di mana ramai wanita yang mengalami depresi kerana terlalu letih menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

“Selepas bersalin, badan perlu masa untuk pulih dan kita memang perlukan orang untuk membantu tidak kira lah ibu atau suami.

“Jika tiada yang membantu itu yang akan menyebabkan wanita rasa letih dan kemudian memberi kesan kepada mental mereka. Dalam bahasa mudahnya kita sebut meroyanlah,” jelasnya yang dalam perancangan untuk menambah cawangan tidak lama lagi.

Jual rumah demi berniaga
Kejayaan hari ini tidak datang bergolek. Sebaliknya, banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan sebelum mengambil langkah drastik untuk terjun dalam dunia perniagaan.

Bekas ahli farmasi ini terpaksa melepaskan jawatannya di sebuah agensi kerajaan dan menjual rumah yang dibeli dengan hasil titik peluh sendiri bernilai RM200,000 semata-mata untuk memulakan perniagaan.

Katanya, pengorbanan itu dibuat bagi mengelakkan dirinya terpaksa berhutang dengan jumlah yang besar.

Beliau tidak menyarankan individu yang berminat memulakan perniagaan untuk berhutang atau melakukan pinjaman yang besar.

“Untuk memulakan perniagaan jangan semberono terutama dari segi kewangan. Pastikan ada sumber kewangan yang kukuh, misalnya isteri berhenti kerja untuk fokus pada perniagaan tetapi suami masih lagi bekerja dan ada pendapatan tetap.

“Pastikan guna duit sendiri sebab kita akan rasa lebih bersemangat dan fokus.

“Kedua, urus duit dengan bijak untuk pusingan modal dan pastikan ada sistem sokongan terbaik daripada orang sekeliling untuk kekalkan motivasi,” jelasnya.

Amal gaya hidup sihat
Sebagai usahawan yang mengusahakan pusat kesihatan dan kecantikan, sudah tentulah ibu kepada lima cahaya mata ini mementingkan soal penjagaan kesihatan diri.

Walaupun sibuk menguruskan perniagaan dan rumah tangga, Narqes tetap mencuri masa untuk beriadah dan bersenam.

“Bila bersenam, badan akan rasa cergas dan bantu saya untuk sentiasa rasa bertenaga.

“Sekarang ini, saya rajin juga sertai acara larian pada hujung minggu untuk kekal aktif dan menghilangkan tekanan kerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN