Pertama kali melihat kediaman ini mata saya tertancap kepada bahagian dapur yang saya kira cukup menarik sekali.
Keseluruhan ruang dapur dilatari dengan rona merah jambu yang lembut sekali gus menjadikan ruang itu tampil nyaman dan tenang.
Rona itu membangkitkan suasana estetiknya yang tersendiri kerana pemilihan rona merah jambu lembut tidak terlalu mencolok mata berbanding merah jambu terang.
Pemilik kediaman, Ku Nadia Asilah Ku Mahizan,32, berkata, dapurnya itu berkonsepkan rumah ladang Inggeris dengan penataan dan susun atur banyak mengetengahkan gaya barat itu.

Begitu juga dengan bahagian ruang tamu yang turut mengetengahkan konsep sama namun dengan sedikit sentuhan moden agar lebih malar segar.
“Konsep rumah ini keseluruhannya boleh dikatakan rumah ladang moden dengan sedikit sentuhan Bohemian pada beberapa bahagian.
“Saya memang suka konsep sebegini kerana rumah ladang mewujudkan suasana damai dengan penggunaan warna yang keseluruhannya adalah rona lembut dan neutral,” katanya kepada Seri.
Unsur kayu
Elemen yang melengkapkan konsep rumah ladang pada kediaman berkeluasan 1,500 kaki persegi ini dapat dilihat pada pemilihan perabot dan aksesori yang berunsurkan kayu.
Antaranya kipas siling material kayu, aksesori dinding berasaskan kayu serta jam roman pada sudut dinding.

Selain itu, Ku Nadia juga bijak bermain dengan palet warna lembut untuk mengimbangi warna pada keseluruhan ruang.
Kediaman ini banyak menggunakan rona asas dan rona lembut sahaja seperti putih, coklat, keemasan dan merah jambu untuk penataan pada dinding.
Palet warna ini menyatu dengan baik pada ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur untuk membangkitkan suasana estetik pada keseluruhan ruang.
“Saya mengambil masa selama setahun lebih untuk melengkapkan gaya ini.
“Bagi saya penjagaannya tidak susah kerana dekorasi yang diterapkan adalah minimal. Daripada segi pemilihan warna pula, semua warna-warna yang digunakan adalah warna kegemaran saya,” katanya yang banyak mendapatkan inspirasi daripada laman dekorasi dalam talian.











