Magis batik Raeesa

Magis batik Raeesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, saya dijemput ke pertunjukan fesyen eksklusif Raeesa sempena koleksi Aidilfitri 2025 yang bertajuk Galleria Raya.

Bertempat di showroom jenama itu di Shah Alam, acara ini adalah satu perayaan seni dan budaya yang merangkul keindahan batik dalam gaya yang penuh kemewahan dan moden.

Melangkah masuk ke showroom itu, seolah-olah berada di galeri seni yang penuh cerita. Setiap rekaan bukan sekadar pakaian, tetapi kanvas hidup yang memaparkan keindahan seni batik dalam setiap helaian, motif dan perinciannya.

Daripada warna-warna pastel lembut hingga tona berani yang memukau, Raeesa membuktikan yang batik mampu menjadi pilihan utama untuk mereka yang mahukan gaya yang tidak lapuk dek zaman.

Ini bukan sekadar koleksi tetapi manifestasi cinta terhadap seni dan warisan kita.

Antara kegemaran saya ialah set pery dalam motif Rossy dan top manik Camelia dengan pareo, Poppy 2.0. Chef’s kiss! Semua ini, digabungkan dengan gaya unik dan kehalusan fabrik sutera satin, benar-benar mencuri perhatian saya.

Set pery adalah pilihan ideal untuk dirimu yang mahukan gaya moden dengan sentuhan elegan. Untuk tubuh langsing, pilihlah warna pastel dalam koleksi ini bagi menambah dimensi pada penampilanmu.

Padankan dengan kasut tumit tinggi bertali untuk menonjolkan sisi feminin.

Buat si petite, pastikan hem skirt tidak terlalu panjang. Lipat sedikit untuk memberi ilusi ketinggian dan tambahkan aksesori seperti anting-anting chandelier untuk menyerlahkan wajah.

Bagi yang bertubuh curvy, pilih warna lebih gelap dalam motif Rossy untuk memberikan kesan langsing dan pastikan bahagian atas tidak terlalu ketat agar kelihatan bergaya tetapi tetap selesa.

Top Camelia dengan pareo, terutama dalam rona pink pasti memikat hati wanita di Malaysia. Warna pink yang lembut memang kegemaran ramai kaum hawa kerana ia melambangkan kelembutan dan keanggunan.

Untuk tubuh langsing, padankan dengan pareo yang diikat di depan bagi mencipta gaya bohemian santai. Tambahkan rantai panjang bagi lebih dramatik tetapi tetap minimalis.

Wanita bertubuh petite pula boleh memilih pareo yang diikat tinggi pada pinggang untuk mencipta ilusi kaki yang lebih panjang, dan padankan dengan kasut tumit kitten untuk gaya yang comel tetapi sofistikated.

Bagi si curvy, pilih pareo bermotif besar yang menyeimbangkan bentuk tubuhmu. Lengkapkan dengan beg tangan clutch dan subang kecil untuk menambah sentuhan elegan tanpa nampak terlalu sarat.

Inilah keajaiban batik Raeesa. Sebuah transformasi klasik yang membuat hatimu jatuh cinta, sekali lagi, dengan seni dan keindahan budaya kita sendiri.

Raeesa Galleria Raya 2025 bukan hanya koleksi. Ia adalah satu perasaan. Ia adalah cinta. Dan siapa yang tidak mahu jatuh cinta lagi?

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×