Jawa Barat tawar panorama indah, kaya tradisi dan budaya

Jawa Barat tawar panorama indah, kaya tradisi dan budaya

Persembahan muzik tradisional di Kampung Sunda Balong Dalem.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja Bandung, sudah semestinya kota metropolitan ini digambarkan sebagai syurga beli-belah oleh pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke Jawa Barat, Indonesia.

Sepanjang tiga malam di sini bagi memenuhi jemputan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang, penulis menyedari bahawa ibu kota yang mendapat jolokan ‘Parijs van Java’ (Paris Van Java) oleh Belanda itu sebenarnya bukan sekadar lokasi untuk berbelanja semata-mata, sebaliknya, ia turut menawarkan pelbagai keistimewaan menerusi keunikan kulinari dan destinasi ‘wisata’ yang ternyata mempesona.

Perjalanan menuju ke kota Bandung menerusi kereta api Whoosh dari Stesen Kereta Cepat Halim, Jakarta ke Stesen Kereta Cepat Padalarang, Bandung yang mengambil masa hanya 30 minit terasa singkat, apatah lagi dengan kelajuan maksimum 350 kilometer (km) sejam membantu menjimatkan masa pengguna perkhidmatan pengangkutan awam terbabit.

Pengarah Komunikasi Korporat Kereta Api Cepat Indonesia China (KACIC), Emir Monti berkata, sehingga Jun lalu, lebih 3.5 juta penumpang direkodkan menggunakan perkhidmatan Whoosh sejak pengangkutan awam itu mula beroperasi pada Oktober 2023.

“Kereta api ini mampu menampung seramai 601 penumpang malah laluan rel sepanjang 142 km itu ternyata memudahkan pelancong untuk sampai ke destinasi dengan segera tanpa perlu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Bayangkan, sebelum ini perjalanan ke kota menggunakan kereta boleh mengambil masa sehingga dua tiga jam, namun, perkhidmatan ini berjaya memendekkan tempoh perjalanan sekali gus membantu pelancong yang mengejar masa termasuklah penduduk tempatan yang mahu menjalankan urusan harian.

“Kita dapati kebanyakan pelancong dari Malaysia dan Singapura paling ramai yang mencuba perkhidmatan kereta api Whoosh ini,” katanya.

Sementara itu, penginapan yang terletak berhampiran Jalan Braga memudahkan penulis meneroka dan menyaksikan bagaimana pelancong dan penduduk setempat berlibur di waktu malam.

Suasana meriah apabila melihat kiri kanan jalan dipenuhi dengan pelbagai deretan restoran, kedai cenderamata, dan gerai-gerai makan tatkala menelusuri laluan pejalan kaki untuk mencari secangkir kopi sambil menyaksikan persembahan penghibur jalanan (buskers).

Sebelum itu, rombongan pengamal media dan pempengaruh telah dibawa ke Gedung Sate, iaitu bangunan bersejarah yang kini berfungsi sebagai Kantor Gubernur Jawa Barat untuk menghadiri majlis makan malam.

Bangunan ini direka mengikut reka bentuk yang menggabungkan elemen-elemen asli Indonesia oleh arkitek Belanda, J. Gerber yang siap sepenuhnya pada tahun 1924.

Ia mendapat julukan sate susulan bentuk puncak pusat bangunan itu yang menyerupai bentuk sate.

Difahamkan, puncak pusat tersebut terdiri daripada enam sfera yang mewakili enam juta ‘guilder’ (unit mata wang Belanda) yang dibiayai untuk pembinaan bangunan berkenaan.

Selain itu, pengalaman mengunjungi Keraton Kasepuhan di Cirebon tidak mungkin dapat dilupakan tatkala kami semua berpeluang melawat beberapa bahagian kediaman yang masih didiami kerabat istana.

Patih Sepuh Keraton Kasepuhan, Pangeran Raja Goemelar Soeryadiningrat dan Ratu Raja Alexandra Wuryaningrat yang menyambut kehadiran kami turut berbesar hati meluangkan masa beramah mesra dan bercerita serba sedikit mengenai sejarah istana terbabit.

Istana ini dibina pada tahun 1,447 manakala seni bina dalamannya terhasil dek gabungan gaya Sunda, Jawa, Islam, Cina dan Belanda.

Dalam kompleks istana sama, terdapat muzium yang menempatkan pelbagai artifak antaranya pakaian raja, lukisan dan peralatan senjata termasuklah Kereta Singa Barong, kereta kuda berlapis yang dibina pada tahun 1549 dan kali terakhir digunakan pada tahun 1942.

Boleh dikatakan istana ini menarik untuk diterokai, malah maklumat yang tertera di setiap sudut kawasan amat membantu pengunjung untuk memahami sejarah dengan lebih mendalam.

Usai menikmati makan tengah hari, kami berkunjung ke Batik Trusmi untuk menyaksikan pembuatan batik yang menjadi salah satu kraftangan ikonik di Cirebon.

Tidak cukup dengan itu, kami berpeluang menimba pengalaman sebagai pencanting batik yang masing-masing akhirnya menyedari bahawa perlu ada kehalusan dan berdaya kreatif untuk menghasilkan corak batik sempurna.

Difahamkan, motif Batik Trusmi ini terbahagi kepada dua kategori iaitu motif keraton yang berinspirasikan unsur bangunan istana dan motif flora fauna bercirikan laut, tumbuhan berasaskan warna-warna cerah.

Sementara itu, masa berbaki turut diluangkan dengan mengunjungi Kampung Sunda Balong Dalem di mana rombongan didedahkan dengan cara pembuatan angklung yang merupakan alat muzik tradisional popular di sini.

Demonstrasi bermain angklung juga amat mengujakan apatah lagi apabila menyedari biarpun alat muzik yang dibuat menggunakan buluh hitam ini memiliki bentuk yang hampir sama, namun bunyian yang dihasilkan berbeza-beza.

Pembuatan angklung, alat muzik tradisional popular yang berasal dari Jawa Barat.

Tidak cukup dengan itu, rombongan Ciremai Festival yang turut dikunjungi mempamerkan pelbagai aktiviti sekali gus membuktikan platform itu berjaya meraikan kepelbagaian etnik dan budaya dalam kalangan masyarakat setempat.

Lokasi terakhir yang dikunjungi ialah Ciboer Pass di Majalengka yang bukan sahaja menghidangkan pemandangan sawah padi indah terbentang sekali lalu menjadi salah satu tarikan utama pelancong tempatan dan antarabangsa.

Keindahan pemandangan yang disajikan mampu menenggelamkan segala masalah di minda.

Ketenangan yang dirasai menyuntik pengalaman berbeza serta terhindar daripada suasana hiruk-pikuk kota.

Sepanjang tempoh jelajah Jawa Barat ini, penulis menyedari bahawa terdapat banyak lagi destinasi yang boleh diterokai selain Bandung.

Suasana yang nyaman, tarikan warisan sejarah diikuti layanan mesra warga setempat selain keenakan pelbagai hidangan menjadi alasan kukuh buat penulis yang berjanji mahu kembali ke sini suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×