Abah ajar jadi lasak, suka meneroka

Abah ajar jadi lasak, suka meneroka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA pernah hidupkan enjin kereta abah dan masuk gear satu, tekan minyak sampai melambung kereta sehingga kereta tegak di pokok. Lepas itu lari, petang baru balik,” cerita penjelajah polar, Dr. Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, 59.

Anak keempat daripada enam beradik itu mengakui dirinya agak nakal ketika remaja, suka melakukan benda yang mencabar dan pelbagai benda baharu di samping tidak mudah serik dengan kegagalan.

Namun begitu, dalam kenakalannya, Sharifah Mazlina tetap dididik oleh kedua orang tuanya terutama bapa, supaya sentiasa berjiwa kental, berdikari dan yakin dengan keupayaan diri sendiri.

“Abah ajar saya jadi lasak, berani dan gemar meneroka. Berbeza dengan tiga kakak yang bersifat lemah-lembut. Mungkin masa itu, tiada abang atau adik lelaki, jadi abah layan saya seperti anak lelaki. Lepas 10 tahun, baru adik lelaki saya dilahirkan.

“Abah dulu kerja kastam dan seorang yang kreatif serta sukakan pertukangan. Dia tengok saja satu benda itu, sudah boleh buat sendiri.

“Waktu malam bila abah bertukang, kalau tidak cukup barang yang perlu digunakan, dia minta saya ambil di stor. Masa itu, umur saya tiga atau empat tahun. Bila saya pergi, kakak saya takut-takutkan ada hantu. Abah jentik kakak supaya tak takutkan saya.

“Saya juga mengikut bakat abah yang pandai bermain gitar, aktif dalam hoki, malah menyertai sukan lasak seperti taekwando dan silat,” katanya sewaktu ditemui di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam baru-baru ini.

Ketika usianya 11 tahun, Sharifah Mazlina sudah mewakili sekolah dalam kejohanan olahraga dan diteruskan ke peringkat menengah di samping menjadi pengawas dan pengerusi pelbagai persatuan.

“Sejak kecil, saya lebih berdikari berbanding kakak-kakak. Apabila mereka masuk universiti, abah hantar dan ajar turun naik bas. Bila kakak dapat kerja pula, abah lakukan perkara sama.

“Berbeza dengan saya, bila terpilih menyertai Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), setakat salam abah di rumah saja. Saya pergilah sendiri. Abah tidak hantar pun sebab dia tahu saya boleh berdikari,” katanya.

Semangat yang tidak mudah mengalah itu juga diwarisi daripada ibunya, Sharifah Mariam Syed Mohammad yang tabah melawan kanser tanpa sedikitpun menunjukkan kesakitan atau penderitaan sehingga ke hujung nafasnya.

Setiap kali sambutan Pink Oktober, Sharifah Mazlina pasti terkenangkan arwah ibunya.

Beliau menyifatkan ibunya sangat positif, sehingga mereka adik-beradik tidak tahu tentang penyakit itu kerana tidak pernah nampak ibunya itu menderita sakit kesan rawatan kemoterapi.

“Bila sudah tahap empat, baru ummi cakap yang dia perlu menjalani pembedahan membuang payudara.

“Selepas pembedahan dijalankan, ummi minta doktor meletakkan payudaranya ke dalam balang dan meminta anak-anak lihat untuk dijadikan pengajaran, memang mengerikan,” katanya.

Ibunya meninggal dunia pada 2007 dan ketika itu Sharifah Mazlina sibuk membuat persiapan untuk ke kutub utara.

Tiga bulan sebelum berangkat, arwah turut meminta jaket rona hitam kegemarannya dan tuala untuk dipakai setiap hari.

“Arwah juga minta saya meneruskan perjuangan demi negara dan jangan berpatah ke belakang. Sehari sebelum ummi meninggal, saya ada ceramah di Terengganu.

“Selepas mandi, tuala hotel yang tebal boleh terkoyak dua. Hati mula tidak sedap dan terus balik ke Johor Bahru. Saya dapat rasa, ia petanda sama seperti arwah abah hampir meninggal dunia, di mana selipar yang hendak dipakai oleh ummi terputus sedangkan ia baru dibeli dua hari sebelum itu oleh abah,” katanya.

Kulit muka digunting
Idea ke Antartika timbul ketika Sharifah Mazlina melanjutkan pengajian peringkat sarjana psikologi di UniversityMcGill di Montreal, Kanada.

Beliau mencipta formula kekuatan mental, emosi, fizikal, sosial dan spiritual (konsep MEPS) dalam menangani cabaran hidup serta apa juga pengembaraan.

Penyelia akademiknya yang bergelar profesor kanan kemudian mencabar wanita ini untuk membuktikan keberkesana MEPS.

Sharifah Mazlina memilih untuk ke tempat yang sangat ekstrim dengan bantuan yang paling minimum.

“Saya buat kertas kerja ke Antartika dan orang pertama yang mendengar pembentangannya adalah ummi saya. Saya bawa dia keluar makan, saya cerita semua risiko. Mata ummi bergenang dan dia yakin saya boleh buat.

“Keyakinannya menguatkan lagi semangat saya untuk mengembara ke benua itu. Konsep MEPS mengubah perkara yang mustahil menjadi realiti. Ia menjadi panduan ketika menempuh cabaran sepanjang pengembaraan itu,” katanya.

Tidak serik dengan dugaan cuaca melampau di Antartika, Sharifah Mazlina seakan ‘kecanduan’ untuk menempuh cabaran cuaca luar biasa itu dengan mengembara ke Artik atau Kutub Utara pula pada 2007. Mental yang kuat menjadikan Sharifah Mazlina seakan ‘kebal’ dengan kesakitan apabila kulit mukanya tersiat akibat frozen bite dan pelbagai lagi kecederaan yang dialami.

Kejadian berlaku ketika beliau baru sampai di paksi bumi Antartika menaiki kederaan ski-doo selepas menempuh perjalanan sejauh 100 kilometer dalam masa empat jam berterusan.

Walaupun pukul 2 pagi, cuaca terang-benderang seperti waktu tengahari dengan suhu -55 darjah celcius.

Ketika cuba membuka helmet full face yang dipakainya, ia agak sukar dan melekat. Beliau meminta bantuan petugas kem untuk menarik helmet berkenaan. Namun, kulit muka tersiat mengikut helmet yang ditarik.

“Sakitnya tidak terperi ketika sekeping kulit muka bergulung naik ke atas mengikut helmet yang dibuka, bunyinya umpama kertas yang terkoyak.

“Mujur juga muka sedang kebas kerana suhu yang sejuk menyebabkan tiada darah keluar. Lebih pedih apabila lebihan kulit muka yang terjuntai terpaksa digunting, dicuci sebelum disapu ubat dan ditampal dengan plaster oleh petugas berkenaan.

“Petugas itu hanya mendapatkan bantuan cara merawat daripada doktor yang berada 1,200 kilometer jauh di Patroit Hills Camp 1. Esoknya sebaik bangun dari tidur, mata bengkak dan penglihatannya gelap. Tiga hari saya tidak nampak dan berehat di dalam khemah kerana mata tidak boleh dibuka, sehingga merasakan sudah buta,” katanya.

Setiap kali pengembaraan, beliau pasti akan mengalami frozen bite. Jarinya akan pecah seperti kelopak bunga sehingga ada kuku yang terpaksa dicabut. Namun semua itu tidak melunturkan semangatnya untuk terus menjelajah lagi ke Greenland pula pada 2011.

Pada 2019, beliau menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), All Women Empowerment to Accelerate (AWETA) untuk mencari tiga protege wanita bagi menyertai pengembaraannya merentasi

Antartika pada jarak 110 kilometer atau The Last Degree to South Pole.

“Sebelum ke Antartika, saya dilatih dengan pelbagai kemahiran bagi memastikan dapat bertahan di sana. Ini termasuk latihan menembak tepat, berenang dan menyelam, membaik pulih peralatan, sistem wayar, pertukangan termasuk hal-hal berkaitan perubatan dan ubat-ubatan.

“Sikap berdikari sejak kecil, menjadikan saya mampu menyelesaikan masalah sendiri. Antaranya, memperbaiki sebarang kerosakan di dalam dan di luar rumah seperti paip atau sinki tersumbat, pintu, membuat plaster siling dan mengecat,” katanya.

Tingkat kesedaran isu pemanasan global
Melihat dengan mata sendiri kesan pemanasan global ke atas Antartika, Kutub Utara dan Greenland, timbul keinginannya untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan memelihara alam semulajadi menerusi Tiktok, Kiamat Iklim.

“Sepanjang berada di Antartika, saya dapati ais mula mencair sehingga penguin pun makin pupus manakala di Kutub Utara pula, beruang kutub terjejas kerana sukar mencari makanan.

“Ramai tanya macam mana Antartika boleh cair? Antartika adalah benua air batu yang terbesar di dunia. besarnya dua kali saiz Australia tetapi tebal aisnya kini tinggal 1.6 kilometer berbanding 2.4 kilometer pada 2004.

“Lapisan ozon di Antartika sudah bocor seluas 24 juta kilometer, sedangkan lebar Antartika baru 14 juta kilometer,” katanya.

Susulan itu, pada 7 Mac 2022, Sharifah Mazlina dijemput oleh Sir Robert Swan sebagai tetamu khas misi Climate Force 2041 Pelayaran ke Antartika untuk melihat kesan pemanasan global di seluruh kawasan barat Antartika.

“Saya menjelaskan kepada orang ramai, apa yang bakal menimpa bumi dan manusia kesan daripada pemanasan global dan ais yang cair di Kutub Utara dan Selatan.

“Bukan untuk menakutkan orang ramai tetapi bagi menghadapi musibah seperti banjir besar, banjir kilat, tanah runtuh, tanah mendap, rebut taufan dan petir dan sebagainya.

“Jabatan Meteorologi Malaysia juga sudah mengumumkan kita akan melalui cuaca panas, hujan dan tengkujuh bermula Oktober lalu sehingga Mac tahun depan.

“Dalam tempoh itu akan berlaku bencana seperti tanah runtuh dan mendap, banjir kilat dan ombak besar, jadi, kita harus bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN