Tidak serik jatuh, diseret kuda

Tidak serik jatuh, diseret kuda

memanah berkuda menjadi terapi buat Jalilah Awang Kenit sekaligus mendorong dirinya menyuburkan sukan sunnah itu di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKALI-kali jatuh termasuk diseret di jalan bertar, merupakan antara pengalaman yang dilalui bekas atlet silat kebangsaan ini sepanjang empat tahun terlibat dalam hobi berkuda.

Namun, Jalijah Awang Kenit, 41, dari Bukit Beruntung, Rawang, tidak pernah serik untuk meneruskan sukan sunnah berkenaan.

Bagi ibu kepada empat anak ini, berkuda merupakan terapi dalam mengatasi stres di samping menceriakan lagi kehidupannya.

Dalam masa sama, hobi itu turut membentuk dirinya menjadi insan yang lebih berdisiplin terutama dalam menguruskan dua anak autistik yang masing-masing berusia 16 dan 18 tahun.

“Sebelum ini, saya seorang yang hyper tetapi dengan berkuda, saya mula belajar untuk bertenang dalam setiap urusan.

“Hidup pun jadi lebih teratur dan berdisiplin kerana aktiviti ini menuntut kita kekal fokus serta sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling,” katanya kepada Seri.

Jalijah berkata, penglibatannya dalam hobi itu bermula tanpa dirancang setelah mengasaskan Pertubuhan Darul Jariyah bagi melatih kanak-kanak dan remaja berkuda secara percuma.

kelas menunggang kuda secara percuma turut ditawarkan kepada remaja yang berminat.

Walaupun sesi latihan dilakukan setiap hari, namun prestasinya agak lambat dan terpaksa mengambil masa selama tiga bulan untuk menguasai teknik menunggang.

Keadaan itu berkemungkinan disebabkan tahap kesihatannya yang kurang cergas setelah berkahwin dan melalui empat kali pembedahan caesarean.

Namun, kesungguhan dan keazaman wanita ini berbaloi apabila mampu memiliki sijil pengurusan kuda, O Level daripada Majlis Ekuin Malaysia.

“Saya sangat sukakan aktiviti ekstrem dan sudah beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) dari usia 13 hingga 18 tahun sebelum melangkah ke peringkat kebangsaan.

“Walaupun berkali-kali jatuh kuda tetapi saya anggap seperti ‘alah bisa, tegal biasa’ dan hanya mengalami luka kecil sedangkan semasa menjadi atlet silat dulu, saya lebih banyak cedera dengan tiga kali patah kaki dan tangan,” katanya.

REZEKI sekali lagi berpihak kepadanya apabila muncul juara dalam Liga Memanah Berkuda Indonesia, baru-baru ini.

Justeru, Jalijah menepis persepsi kononnya aktiviti berkuda paling bahaya dan tidak sesuai diceburi pelbagai lapisan masyarakat.

Jelasnya, risiko kecederaan atau kemalangan boleh dikurangkan dengan latihan intensif, teknik tepat dan kawalan rasa takut.

Bahkan, usia dan fizikal juga bukan penghalang untuk seseorang akrab dengan kuda selagi ada kemahuan.

“Kalau dilihat pada badan saya seberat 80 kilogram ini, mungkin ada yang tidak percaya saya mampu menunggang kuda.

“Paling penting kena kawal rasa takut kerana jatuh itu adalah normal dalam berkuda,” katanya.

24 jam bersama kuda

Keakraban Jalijah dengan kuda terserlah apabila hampir setiap hari dihabiskan dengan kuda-kuda tersayang.

Ia terdiri daripada empat bekas kuda lumba dari baka Thouroughbred dan bakinya, baka tempatan.

Tambahan pula, kandang haiwan itu ditempatkan bersebelahan dengan kediamannya.

“Kuda-kuda ini tidak dibeli tetapi hasil sumbangan orang perseorangan bagi dijadikan sebagai medium untuk mengajar anak-anak menunggang secara percuma.

“Rutin harian saya banyak di kandang bagi menguruskan kuda seperti Joy, Qismi, Sabahan dan Justice,” katanya.

Menurut Jalijah, kebanyakan kuda peliharaannya berisiko diserang penyakit kolik dan mati mengejut disebabkan perubahan cuaca serta makanan.

Hal itu disebabkan faktor kecederaan dan usia tua haiwan import berkenaan.

“Sebenarnya, kebanyakan kuda itu perlu dilupuskan tetapi saya terima bagi tujuan mahu mengajar budak-budak,” katanya.

Kembang kemahiran

Bagi menyuburkan sukan sunnah, Jalijah meluaskan kemahirannya pada aktiviti memanah berkuda pula, sejak dua tahun lalu.

Katanya, memanah berkuda lebih menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang.

Nasihatnya, mana-mana individu yang mahu menceburi hobi itu perlu mahir berkuda terlebih dahulu dan memperkemaskan segala aspek yang diperlukan ketika menunggang haiwan berkenaan.

“Cabarannya berganda kerana tali kuda dilepaskan dan kedua-dua tangan perlu memegang busur,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, terdapat dua teknik memanah yang lazim digunakan iaitu tiga jari dan ibu jari.

Teknik tiga jari merujuk pada jari telunjuk, hantu dan manis yang digunakan untuk menarik tali busur.

“Kebiasaannya orang yang baharu berjinak-jinak dalam hobi ini lebih selesa dengan kaedah tiga jari.

“Tetapi teknik ibu jari lebih disarankan apabila di atas kuda kerana ia lebih kemas dan dapat ‘mengunci’ tangan,” katanya yang memiliki sijil Kejurulatihan Memanah Tradisional Tahap 1.
Wanita ini turut mengungguli pelbagai kejohanan antarabangsa antaranya Liga Memanah Berkuda Indonesia (LMBI).

Latih 18 remaja

Kemahiran dan kepakarannya dalam hobi memanah berkuda dimanfaatkan bagi mengasah bakat baharu dalam kalangan generasi muda.

Sehingga kini, Jalijah sudah melahirkan 18 atlet dalam kanak-kanak dan remaja yang berusia 11 hingga 17 tahun.

Kesemua mereka turut berpeluang bertanding dalam kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Kebanyakannya merupakan pelumba basikal lajak dan mat rempit tetapi dengan pendedahan yang diberikan, mereka kini dapat menjadi atlet berbakat.

“Jika di luar, kos belajar kuda mahal dan dianggarkan RM100 untuk satu kelas tetapi di sini percuma sahaja asalkan ada minat serta kesungguhan.

“Saya pernah melalui kisah sedih tidak dapat menyertai latihan silat disebabkan masalah kewangan, jadi saya mahu memberikan sepenuh peluang kepada anak-anak untuk menyertai sukan sunnah,” katanya.

Impian Jalijah adalah untuk menawarkan kemahiran renang pula di masa depan sekali gus melengkapkan ketiga-tiga sukan sunnah di institusinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN