Iman, Imani hamster comel dan aktif

Iman, Imani hamster comel dan aktif

puteri Arissa Zainab bersama hamster peliharaannya, Imani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIKI haiwan peliharaan seperti hamster sememangnya sering menjadi pilihan bagi mereka yang ingin menceriakan suasana rumah tanpa membebankan.

Hamster dengan sifatnya yang aktif dan comel mudah menarik perhatian orang ramai khususnya pencinta haiwan untuk membelanya.

Menurut Puteri Arissa Zainab Hismadi Hamlin, 18, tiada yang lebih mencuit hati selain melihat si comel berbulu itu berlari-lari di dalam sangkar sambil memenuhkan kantungnya dengan makanan.

Katanya, Imani dan Iman merupakan dua ekor hamster yang telah berjaya menambat hatinya sejak beberapa bulan yang lalu.

“Saya mula berjinak-jinak untuk memelihara hamster sejak empat bulan yang lalu. Tidak pernah saya sangka mempunyai hamster sebagai peliharaan ternyata cukup membahagiakan.

“Pada awalnya, saya tertarik dengan keletah lucu dan menarik yang dimiliki oleh hamster. Bermain dengan mereka selepas seharian penat ternyata sangat membantu saya untuk lebih tenang.

“Saya tertarik untuk memelihara hamster kerana keunikannya yang mempunyai kantung pipi yang boleh mengembang sehingga ke bahu untuk menyimpan makanan,” katanya kepada Seri.

HAMSTER SYRIAN

Imani dan Iman merupakan dua ekor hamster betina baka Syrian.

Puteri berkata, hamster jenis Syrian terkenal dengan saiznya yang lebih besar berbanding spesies lain dengan saiz dewasa sekitar 15 hingga 18 sentimeter (cm) panjang.

Jelasnya, hamster daripada baka berkenaan bersifat solitari yang bermaksud mereka lebih suka hidup bersendirian.

hAMSTER betina baka Syrian bersaiz lebih besar berbanding hamster jenis lain.

“Pada awalnya, saya hanya membela Imani seekor. Dek kerana kesiankan Imani yang tidak mempunyai kawan, saya beli Iman untuk sesuaikan bersama.

“Ternyata hamster daripada baka Syrian ini boleh menjadi agresif sekiranya ditempatkan di sangkar yang sama dengan hamster lain. Mereka akan bergaduh dan secara tidak langsung ia boleh menjejaskan hidupan itu.

“Namun begitu, hamster adalah haiwan yang sangat jinak dengan manusia sekiranya diberikan penjagaan yang baik dan dilatih sejak kecil,” jelasnya.

Tambahnya, seperti kebanyakan hamster lain, spesies Syrian ini adalah nokturnal iaitu aktif pada waktu malam dan tidur sepanjang siang.

“Menariknya, mereka lebih banyak bergerak pada waktu malam dan sejenis yang tidak boleh duduk diam,” tambahnya.

PENJAGAAN RAPI

Jangka hayat hamster secara umumnya antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada spesis, penjagaan dan persekitaran mereka.

Menurutnya, hamster merupakan haiwan yang mudah dijaga dengan hanya memerlukan sangkar yang luas, roda senaman dan diet seimbang.

Ujarnya, pemakanan yang seimbang memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tahap kesihatan dan jangka hayat hamster.

“Memberikan makanan seperti bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran segar serta palet khas dapat memastikan hamster mendapat nutrien yang mencukupi untuk kekal sihat.

“Kekurangan nutrien atau diet yang tidak seimbang boleh menjejaskan jangka hayat hidupan itu,” ujarnya.

Mengulas mengenai habitat, Puteri berkata, sangkar yang bersih dan ruang yang cukup untuk bergerak membantu mengekalkan kesihatan hamster.

Katanya, sangkar yang terlalu kecil atau kotor boleh menyebabkan tekanan, masalah pernafasan atau penyakit yang boleh mengurangkan jangka hayat mereka.

“Menjaga kebersihan adalah aspek penting dalam memastikan kesihatan hamster kekal terjaga.

“Sangkar perlu dibersihkan secara berkala untuk mengelakkan jangkitan penyakit seperti penyakit ekor basah yang disebabkan oleh bakteria,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×