WAJAHNYA sering terpampang di dada akhbar dan media massa membicarakan mengenai isu-isu membabitkan wanita.
Malah, di sebalik kesibukannya bergelar Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Datuk. Dr. Harlina Halizah Siraj @ Ramli lincah ‘mencuri’ masa untuk menabur bakti kepada masyarakat melalui aktiviti bersama beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dakwah.
Figura ini lantang bersuara mempertahankan mengenai kepentingan pendidikan seksualiti kepada kanak-kanak dan remaja belia sekali gus pemerkasaan wanita melalui platform NGO atas kapasitinya sebagai pakar sakit puan dan aktivis masyarakat.
Baginya, kepakaran dalam bidang itu hadir seiring dengan tanggungjawab besar memberi pendidikan dan pendedahan kepada umum tentang aspek seksualiti dan hak wanita.
Walaupun sudah bersara daripada kerjaya sebagai profesor O&G dan Pendidikan Perubatan di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Jun 2022, anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini, tetap setia membawa perjuangan yang telah dimulakan sejak 25 tahun lalu demi kesejahteraan kaum hawa.
Bukan sekadar tanggungjawab, malah ia juga dianggap sebahagian daripada dakwahnya untuk dikongsikan bersama masyarakat.
“Pengalaman saya selama menceburi bidang ini saya dapati wanita tidak bebas membuat pilihan dalam perkara melibatkan perancangan keluarga.
“Contohnya, ada wanita yang melahirkan hampir setiap tahun. Bila kita minta dia dan suami untuk menjarakkan kehamilan, saya nampak macam perkara itu tidak menjadi keutamaan untuk pasangan tersebut.
“Sedangkan, Islam amat menjaga kesejahteraan wanita selaku isteri dan ibu yang menjadi tunjang kepada keluarga,”katanya kepada Seri.
Tambah graduan lulusan Doktor Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, wanita yang kerap bersalin dengan jarak kehamilan kurang dua tahun berhadapan risiko kesihatan yang tinggi.
Terutamanya, ketika proses melahirkan bagi wanita yang sudah hamil lima kali atau lebih, mereka berisiko untuk mendapatkan komplikasi tumpah darah (postpartum hemorrhage – PPH).
“Jadi, melalui pengetahuan dan pengalaman itu saya gabungkan menjadi satu ‘tapak’ untuk saya membincangkan tentang kebajikan wanita dan akhirnya menjadi satu suara membela nasib wanita.
“Saya mengambil tanggungjawab untuk menjadi ‘doktor’ kepada masyarakat kerana masyarakat itu saya umpamakan seperti tubuh badan yang juga ada ‘sakitnya’, katanya.

BETULKAN PERSEPSI SALAH
Mengulas mengenai pendidikan seksualiti pula, Dr. Harlina yang juga Ahli Lembaga Pengarah Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata, ia tidak boleh terus dianggap topik tabu yang tidak boleh dibincangkan umum terutamanya dalam landskap masyarakat celik teknologi pada hari ini.
Seksualiti ujarnya adalah komponen penting dalam naluri trah manusia. Pendidikan seksualiti holistik perlu diketengahkan sebagai satu usaha mengatasi masalah seksual yang semakin ‘menular’ dalam kalangan masyarakat.
“Pendidikan seksualiti holistik dan sejahtera mestilah disampaikan sesuai dengan usia kematangan kanak-kanak dan remaja, selari dengan pegangan agama dan nilai budaya tempatan serta berdasarkan maklumat yang tepat dan saintifik.
“Saya ambil tanggungjawab untuk beri pendedahan yang sewajarnya. Dalam Maqasid Syariah nasab keturunan termasuk perkara yang mesti dilindungi,” jelasnya.
AKADEMI DR. HAR
Bagi merealisasikan hasratnya membimbing rakyat Malaysia agar mampu menggilap potensi serta ‘celik’ seksualiti, beliau tekad membangunkan Akademi Dr. Har.
Berbekalkan 30 tahun pengalaman dalam bidang perubatan, kepimpinan akademik dan kesukarelawanan, akademi itu merupakan platform umum perkongsian ilmu dan pengalaman berharga yang ditimbanya selama ini.
Bermula awal tahun ini, akademi itu menawarkan bimbingan dan persediaan kepada bakal suami isteri dan pasangan muda yang berhasrat mendirikan rumah tangga.
“Saya rasa bertangggungjawab memberi bimbingan pendidikan asas seksualiti daripada konteks biologi, psikososial dan spiritual kepada wanita bakal berkahwin dan juga pengantin baharu.
“Sesi bimbingan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian atas permintaan peserta, mungkin disebabkan mereka masih merasa janggal sekiranya diadakan secara bersemuka.
“Maklum balas diterima daripada kohort pertama sesi ini, kita dapati memang sangat perlu wujud satu platform sebegini untuk memberi peluang kepada wanita yang ingin berkahwin untuk bertanya dan mendapatkan maklumat tepat tanpa rasa segan dan silu,” jelasnya.
Pendidikan seksualiti khususnya, harus bermula dari rumah bagi memastikan anak-anak mendapat input awal mengenai perkara tersebut.
“Kalau tidak ajar langsung di rumah, itu yang akan menyebabkan anak-anak ini mencari input di luar.
“Namun, pendidikan seksualiti ini haruslah diberikan mengikut kematangan umur anak-anak dan secara holistik melibatkan lima dimensi iaitu fizikal, kognitif, emosi, sosial dan spiritual.
“Sekolah hanya akan memperkukuh pendidikan seksualiti itu dalam konteks interaksi sosial. Sebenarnya ini adalah tanggunggjawab semua orang dan agensi merentas disiplin,” katanya.
Malah, Akademi Dr. Har turut memainkan peranan dalam membetulkan persepsi orang ramai terhadap pendidikan seksualiti.
Pendidikan seksualiti bukan bertujuan untuk menggalakkan aktiviti seksual sebaliknya ia merupakan salah satu kaedah menangani masalah seksual dengan komprehensif.

NIKMATI USIA PENCEN
Suri hati kepada Ustaz Zulkifli Ahmad ini bahagia menikmati usia pencennya.
Ibu kepada empat orang cahaya mata ini banyak meluangkan masa bersama keluarga. Malah, ketika berkunjung ke kediaman beliau di Cheras, baru-baru ini, beliau baru sahaja pulang melawat dua cucu dan anak menantunya yang menetap di United Kingdom (UK).
Sempat juga beliau hidangkan teh cranberry yang dibeli ketika ke UK itu.
Namun, kalau sudah namanya wanita bekerjaya memang tidak boleh duduk diam Aktiviti terhadap pemerkasaan wanita masih tetap diteruskan.
“Saya masih aktif sebagai pakar sakit puan dengan berkhidmat sebagai sebagai pakar perunding O&G pelawat di sebuah hospital swasta.
“Penumpuan lebih kepada perancangan keluarga (family planning), kontrasepsi dan pengendalian masalah psikoseksual wanita,” katanya.
Beliau mengakui, sokongan daripada suami dan anak-anak memberikan lebih semangat untuknya meneruskan kecintaan beliau dalam bidang kesihatan, pemerkasaan wanita serta pembangunan institusi keluarga.
“Bagi saya bersara bukan bermakna kita hentikan semua aktiviti, cuma sudah tidak tertakluk kepada peraturan kerja dan boleh lebih menambahkan ilmu akhirat.
“Cuma ketika saya berusia 30-an saya ada terbaca yang kita perlu ada kerjaya kedua yang lain sedikit daripada kerjaya pertama.
“Sebab itu, selain menjadi pakar sakit puan saya mula menjinakkan diri dalam bidang kesukarelawan.
“Jadinya, selepas berpencen kerjaya pertama, saya boleh teruskan pula dengan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan. Jadi, tidaklah menjadi semakin pasif dan tidak produktif,” katanya.
Lebih daripada itu, katanya, pembabitannya dalam aktiviti kemasyarakatan membolehkan kepakarannya dalam bidang kepakaran klinikal dan pendidikan, disalurkan kepada masyarakat terutamanya dalam memperkasa remaja belia dan wanita.










