PEMANDANGAN kita sentiasa dihiasi dengan perokok. Tidak kira lelaki atau perempuan mahupun budak dalam seragam sekolah.
Rokok, pod, vape atau apa saja panggilan untuk perbuatan berkenaan, semuanya membawa implikasi buruk kepada kesihatan pelaku dan orang sekelilingnya yang dipanggil perokok pasif.
Dalam kalangan perokok tegar, pandangan saya ini tentunya tidak digemari sebab terkena batang hidung sendiri, namun saya menegur bersebab dan mewakili suara perokok pasif.
Bagaikan sudah menjadi tanggungjawab, saya tetap akan menegurnya. Manalah tahu teguran saya di kolum kecil ini boleh membuka minda insan-insan terpilih ini untuk menghentikan tabiat berkenaan.
Baru-baru ini saya bertemu rakan lama dan dia menyuarakan harapannya untuk saya menulis mengenai isu rokok supaya semua orang menjauhinya sebab impaknya pun tiada yang menyeronokkan, lebih-lebih lagi kepada wanita.
Saiz tubuh yang lebih kecil dan perlu hamil, mendatangkan lebih banyak mudarat. Bahaya narkotin boleh mempengaruhi tahap kecerdasan bayi yang dikandungnya.
Ciri fizikal wanita itu jugalah yang membuka lebih ruang kepada mereka dihinggapi pelbagai penyakit termasuk kanser pay dara dan pelbagai jenis kanser yang lain lagi.
Berbalik kepada kawan saya tadi, dia merokok sejak sekolah rendah lagi secara suka-suka sebab terikut-ikut dengan rakan sebaya.
Kalau dihitung, lebih 30 tahun dia merokok dan sudah tidak terkira berapa kosnya. Dia mengakui menyesal sebab pakar sakit puan ditemui menjelaskan perbuatan itulah antara menyebabkan dia susah ‘lekat’.
Lebih 10 tahun berkahwin dan melalui pelbagai rawatan semuanya gagal. Biarpun tahu segala-galanya suratan takdir dan ketentuanNYA, jauh di sudut hatinya, dia tetap berharap.
Dia jugalah yang selalu mengingatkan untuk tulis kisah buruk merokok sebagai tauladan kepada semua.
Kata saya, mahu ke orang baca, sudah selalu sangat tulis nanti orang bukan takut tapi meluat dan kata wartawan tiada idea baharu. Macam ada satu lawak di media sosial yang berbunyi, ‘Lepas baca mengenai implikasi buruk merokok, saya berhenti membaca’ dan kami tertawa bersama. Baginya kalau boleh biarlah dia sahaja merasai derita merokok di usia muda dan tidak oleh orang lain.
Memperlihatkan semakin galak anak remaja merokok tidak kira tempat, saya perlu tulis. Hari ini budak sekolah di pusat beli belah taman permainan malah di luar pintu pagar sekolah, asap berkepul-kepul keluar daripada mulut tanpa rasa hormat dengan baju sekolah yang dipakainya. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2021 mendedahkan perokok dalam kalangan wanita Malaysia mengatasi perokok wanita di 16 buah negara lain.
Sebanyak 1.4 peratus daripada 15.92 juta wanita Malaysia merupakan perokok, sama ada jenis tegar atau ringan.
Sebenarnya isu ini bukan kecil sebaliknya membabitkan isu moral dan kesihatan. Tak perlu jauh, lihat keluarga kita dan tanya diri, apa peranan kita dalam memerangi rokok?










