20 tahun merantau, Malaysia utuh di hati

20 tahun merantau, Malaysia utuh di hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGANDUNG dan berpantang anak bongsu sendirian, di samping membesarkan tiga anak kecil di perantauan antara pengalaman tidak dapat dilupakannya.

Noor Azida Azmi,54, berkata, tugas suami sebagai diplomat membuatkan beliau sentiasa sibuk dan sering tidak sempat menemaninya termasuk ketika menjalani pemeriksaan antenatal.

Walaupun pernah mengalami mabuk teruk ketika hamil dan mengalami dehidrasi kerana musim panas, beliau perlu cekal dan memahami tugas suami.

“Masa saya hamil anak ke empat, kami di New York. Dua minggu lepas bersalin, saya sudah bangun untuk memasak. Saya bersalin bulan Julai iaitu musim panas dan suami sibuk ketika itu
kerana ada perhimpunan umum,” katanya.

Setia mengamalkan tradisi berpantang seperti berurut, ujarnya mujurlah ada orang Malaysia yang boleh menawarkan khidmat urut lepas bersalin.

“Lebih 20 tahun hidup merantau mengikut suami bertugas sejak 2003 hingga kini, pengalamannya penuh suka dan duka,” katanya.

Suaminya ditugaskan di New York, Amerika Syarikat (AS) dari 2003 hingga 2007, Brussels, Belgium (2010 – 2013), Washington DC, AS (2013 – 2015), Islamabad, Pakistan (2018 – 2021) dan Vienna, Austria (2021 hingga kini).

Pertemuan bersama Seri diatur sewaktu beliau pulang bercuti ke tanah air baru-baru ini pada majlis pertemuan semula rakanrakan yang pernah ditugaskan di New York suatu ketika dulu.

Beliau tampil anggun berbaju kurung songket Terengganu dilengkapi selendang. Noor Azida menetap di Vienna sejak September 2021, berikutan perlantikan suaminya, Ikram
Mohd. Ibrahim sebagai Duta Besar Malaysia ke Austria.

Suaminya juga, secara serentak, menjawat jawatan sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Vienna.

Kepulangannya hampir sebulan ke tanah air, bertujuan menjalankan pemeriksaan kesihatan tahunan di samping bercuti untuk bertemu keluarga, rakan dan anak sulung yang bekerja di Kuala Lumpur.

Noor Azida tampil anggun berbaju kurung songket Terengganu dilengkapi selendang

PIKUL TANGGUNGJAWAB BERAT

Bergelar isteri kepada Duta Besar mungkin nampak hebat di mata orang lain namun hakikatnya, Noor Azida memikul tanggung jawab berat.

“Peranan paling besar sebagai isteri kepada Duta Besar, adalah dengan memberikan sokongan padu dan kerjasama yang baik kepada suami dalam menjalankan tugas dengan sempurna.

“Kami bekerja satu pasukan. Saya umpama ‘setiausaha’ suami. Membaca dan menambahkan ilmu pengetahuan serta pengalaman untuk lebih bijak membawa diri di negara orang,” katanya.

Beliau juga sering memastikan membaca pelbagai isu terutama yang membabitkan kedua-dua negara untuk dikongsikan dengan suaminya.

Noor Azida mahu memastikan suaminya sentiasa peka dengan perkembangan semasa yang akan membantu beliau dalam menjalankan tugas dengan sempurna.

“Kepantasan menyesuaikan diri di tempat baharu ditugaskan, dapat memberikan keselesaan dan keutamaan kepada suami antara perkara yang selalu berlegar dalam minda.

“Semua ini bagi memastikan suami lebih fokus dalam tugasnya berbakti kepada tanah air tercinta,” katanya.

Kata Noor Azida, sebelum ditugaskan di mana-mana negara, beliau akan membuat kajian terlebih dahulu berkaitan negara berkenaan bagi memahami budaya setempat.

“Apa yang perlu dielakkan dan sebaiknya dijauhi, perlu diketahui melalui bacaan dan juga kajian. Proses asimilasi untuk masuk ke dalam komuniti baru amat penting, bak kata pepatah melayu, masuk kandang kambing, mengembek, masuk kandang harimau, mengaum.

“Menyesuaikan diri dengan tempat tinggal untuk tiga atau empat tahun akan datang sangat penting.

“Jika tidak, kita tidak akan dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya,” katanya.

Status isteri kepada Duta Besar, melayakkannya diangkat sebagai Pengerusi Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) di negara yang ditugaskan. Duta Besar adalah Penasihat kepada PERWAKILAN.

“Persatuan didaftarkan pada tahun 1978 ini adalah persatuan wanita pertama yang ditubuhkan dalam sektor awam.

“Ia bertujuan menjadi wadah kepada isteri diplomat dan diplomat wanita dalam memperkenalkan budaya dan adat resam Malaysia di negara asing serta beberapa lagi objektif penting lain,” katanya.

CABARAN BESARKAN ANAK

Setiap kali berpindah ke negara ditugaskan, Noor Azida perlu memastikan pembelajaran anakanak tidak terganggu. Proses pemindahan juga adalah satu cabaran dan setiap kali berpindah, segala dokumen dan barangan penting perlu dibawa bersama.

Ibu kepada empat anak lelaki ini turut mengakui membesarkan empat orang anak di luar negara terutama negara barat, merupakan cabaran besar berikutan budaya dan pegangan agama yang berbeza.

Beliau dan suami akan sentiasa memastikan semua anaknya diberikan didikan agama dan adab sebagai orang Melayu walaupun dikelilingi orang asing dengan pelbagai ragam.

“Sebaiknya kita kena didik anak supaya kekal dengan jati diri sebagai warga Malaysia dan juga seorang Islam supaya tidak mudah menyerap budaya asing yang bertentangan dengan budaya kita.

“Bagaimanapun, pada masa sama, saya menggalakkan anakanak untuk mengaut pengalaman dan ilmu dari luar sebanyak yang boleh supaya dijadikan bekalan dan panduan di masa hadapan,” katanya.

Antaranya mempelajari sedikit sebanyak asas bahasa negara didiami bagi membolehkan mereka berurusan dengan penduduk tempatan.

Sebagai contoh, di Vienna tidak semua orang boleh berbahasa Inggeris.

Malah mereka lebih suka bercakap dalam bahasa Jerman walaupun boleh berbahasa Inggeris.

“Ketika saya di Brussels, pasarnya ramai penjual ayam halal kerana kebanyakan mereka adalah orang Maghribi. Namun mereka gemar bercakap dalam bahasa Perancis.

“Mula-mula kami bercakap macam ayam dengan itik, lama kelamaan, saya sedar perlu juga tahu sekurang-kurangnya satu atau dua perkataan asas seperti nama-nama barang dan sebagainya,” katanya.

Islamabad antara bandar digemarinya dan banyak kenangan manis kerana bukan saja makanannya enak tetapi orang di sana juga baik-baik selain pemandangan yang indah.

GAMBAR ketika menyambut Aidilfitri lalu bersama anak-anak. (Dari kiri) Izzul Hakimi Azram, Izzul Hatimi Azram, Izzul Hasifi Azram, suami dan Izzul Hazimi Azram.

DULU PEGUAM, MAJISTRET

Pernah bergelar majistret dan peguam, Noor Azida mengakui pada awalnya kekok bergelar suri rumah apabila berada di luar negara.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai peguam, berjumpa macam-macam orang. Bila ikut suami ke luar negara, tiba-tiba kena duduk rumah jaga tiga anak. Anak bongsu iaitu yang ketiga pada masa itu baru berusia lapan bulan.

“Saya memang tidak begitu pandai memasak selama ini. Tapi perlu belajar demi anak-anak. Tambahan pula suami gemar menjamu tetamu. Mujur ada Harris, kawan yang banyak membantu dalam menyediakan masakan,” katanya.

Beliau yang turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah di Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara, pernah bergelar seorang majistret.

Bapanya seorang guru, mahu melihat Noor Azida bekerja dengan kerajaan sebagai jaminan masa depan tambahan pula ketika itu sedang berlaku kemelesetan ekonomi.

Bagaimanapun, jawatan itu dipegang tidak lama kerana jiwa Noor Azida lebih kepada bidang peguam kerana sifatnya yang suka bercakap.

“Saya buat chambering atau latihan dalam kamar selama sembilan bulan dan bertugas sebagai peguam di Kedah. Selepas berkahwin, saya ikut suami ke Melaka. Bila suami menyertai Pegawai Tadbir dan Diplomatik, kami pindah ke Kuala Lumpur pada 1996.

“Ketika bertugas sebagai majistret di Jalan Raja Kuala Lumpur, saya kena banyak mendengar dan membuat keputusan.

“Sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan, saya terpaksa banyak berfikir sehingga terbawa-bawa selepas waktu bekerja,” katanya.

Beliau juga cukup takut sekiranya membuat keputusan yang salah kerana tidak mahu menjejaskan masa depan orang lain.

Noor Azida bersyukur kerana semuanya berjalan lancar malah lega tidak mengadili kes jenayah, sebaliknya lebih kepada kes sivil seperti pinjaman persendirian yang membabitkan kegagalan pembayaran dan sebagainya.

Minatnya dalam bidang undang-undang, berbeza dengan kebanyakan ahli keluarganya yang menceburi bidang perguruan.

Selain bapanya, ibunya juga seorang guru agama.

“Ramai dalam kalangan orang kampung tersalah anggap, yang anggap saya juga seorang guru.

“Masa bertugas sebagai peguam di Kedah, awal pagi saya sudah keluar rumah dengan membawa beg dan fail. Selalunya saya menaiki bas ke tempat kerja atau teksi jika ke kawasan pedalaman.

“Apabila orang di kampung tengok saya bawa beg dan fail, mereka fikir saya bekerja sebagai guru seperti keluarga saya. Mereka tidak terfikir pun saya sebenarnya seorang peguam,” katanya sambil ketawa.

Antara pengalaman menarik bergelar peguam, ialah banyak belajar mengenai bidang guaman dengan peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Bagi Noor Azida, MuhammadShafee sememangnya seorang peguam yang bijak dan sentiasa bersedia dari semua sudut dan segala kemungkinan.

Walaupun terpaksa meninggalkan kerjaya yang dicintainya, Noor Azida tetap gembira kerana berpeluang membesarkan anak-anaknya sendiri di depan mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN