'Kuat kerana mama, demi negara'

‘Kuat kerana mama, demi negara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang tidak tahu, ketika beliau sedang berjuang untuk bergelar juara dunia, pemain boling negara ini sebenarnya sedang bergelut dengan perasaan pilu.  

Sebulan sebelum berangkat ke Kejohanan Tenpin Boling Dunia pada tahun lalu di Salmiya, Kuwait, bonda tercintanya, disahkan mengalami kanser pankreas.

Hatinya tidak keruan ketika meninggalkan insan yang dicintainya itu. 

Namun tidak mudah menyerah kalah dan larut dalam perasaan yang tidak menentu, Natasha Mohamed Roslan, 28, tetap memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan berkenaan sehingga berjaya meraih pingat emas.  

“Sebulan sebelum bertanding kejohanan piala dunia itu, kami sekeluarga mendapat berita yang cukup mengejutkan apabila mama yang selama ini nampak sihat, disahkan menghidap kanser pankreas.

“Kalau mental tidak kuat dan tiada semangat, saya tidak rasa saya boleh melaluinya. Tapi saya hendak buktikan kepada mama, dia perlu jadi kuat supaya saya juga boleh menjadi kuat,” katanya kepada Seri. 

Gadis manis ini bergaya santai dalam kemeja dan seluar denim ditemui di lobi Hotel Aloft, KL Sentral, sambil ditemani ibu, adik bongsu dan anak saudaranya. 

Bagi Natasha, semua kemenangan dicapainya dilakukan untuk mamanya, Anita Mohamed Ali.

Jadi, kalau mamanya itu sakit macam manapun, Natasha akan buat yang terbaik untuknya.  

Katanya, tahun ini juga adalah tahun yang cukup mencabar dan menguji kekuatan mentalnya dalam persiapan menyertai beberapa kejohanan. 

Cabaran lain, lebih kepada diri sendiri. Baginya, ketika di gelanggang, segala masalah perlu dilupakan dulu buat sementara kerana ia akan memberikan kesan dalam permainan.  

Pun begitu beliau bersyukur kerana mamanya kini sudah menghabiskan rawatan kemoterapi baru-baru ini dan kesihatannya kian baik.  

“Setiap kali sebelum bertanding, saya akan pastikan menelefon ibu bapa dulu untuk mendapatkan restu daripada mereka. Saya juga pastikan apa yang saya lakukan, niat untuk Allah.  

“Kalau tiada rezeki menang, saya tidak berputus asa atau mengalah begitu saja. Boling macam diri kita dengan pin saja. Tiada orang lain. Tidak peduli dengan orang lain dan persekitaran yang mengganggu mental ketika itu. Kena praktik kawal minda,” katanya.  

Kata Natasha, kekalahan dalam pertandingan adalah satu penbelajaran untuknya.

Kesilapan perlu diperbetulkan. Perasaan kecewa atau tidak puas hati, tidak boleh dipamerkan secara melulu demi menjaga nama baik negara. 

BUNYI PIN TARIK MINAT

Bunyi golekan bola boling yang meluncur laju menjatuhkan deretan pin diikuti dengan gema sorakan ramai, cukup menarik hati Natasha.  

Suasana meriah dan ceria di ruang pusat boling itulah yang menarik minat Olahragawati Kebangsaan 2023 ini untuk menceburi bidang sukan berkenaan sejak kecil lagi.  Sejak berusia tujuh tahun lagi, Natasha terdedah dengan sukan itu apabila sering mengiringi mamanya, antara guru yang menyelia Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN).  

“Bunyi pin jatuh itulah yang awalnya buat saya cukup tertarik untuk membabitkan diri dalam permainan boling. Saya mula terbabit dalam sukan boling sejak berusia tujuh tahun lagi. Jadi, saya cakap dengan mama, saya nak cuba main boling. 

“Mama saya guru bahasa Inggeris dan sekolah terakhirnya di Subang Utama. Dia berikan galakan sepenuhnya kepada saya mencuba sukan ini,” katanya. 

Natasha berkata, berbanding sukan lain, beliau meminati boling kerana ia lebih santai dan tidak perlu berpanas di tengah padang ketika perlawanan.  

Malah mereka sekeluarga turut meminati sukan itu dan biasanya mengisi masa lapang bermain boling bersama sekurang-kurangnya sebulan sekali. 

Berkat kegigihannya menjalani latihan, Natasha berjaya mewakil MSSD pada usia semuda sembilan tahun.  Ramai bertanya kepadanya, bagaimana boleh mengawal bola dengan baik. Natasha mengakui ia sukar tetapi beliau belajar dari kecil dan menjalani latihan sampai pagi. 

“Orang tanya tidak penatkah? Bagi saya tidak kerana minat,” katanya. 

Langkahnya dalam sukan ini semakin panjang apabila berjaya menempatkan diri dalam MSSM, mewakili Selangor pada usia 11 dan 12 tahun.  

Bermain untuk Sukan Malaysia (Sukma) memerlukan Natasha bijak membahagikan masa sekolah dan latihan.  Jadualnya memang padat kerana latihan dijalankan sebulan sebelum pertandingan, setiap pagi dan petang.  

Natasha mula mewakili negara selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2014. 

Natasha yang mengagumi Datuk Shalin Zulkifli berkata, dirinya bertuah kerana berpeluang menjalani latihan di bawah tunjuk ajar Ratu Boling itu ketika mewakili Selangor ke Sukan Malaysia (SUKMA).  

Lebih membanggakannya, apabila berpeluang berada dalam satu pasukan bersama Shalin dalam pasukan boling elit kebangsaan. Atlet lain dikagumi adalah pemain skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.  

KEJAR GELARAN DUNIA 

Banyak perlawanan boling sama ada di dalam dan luar negara yang sudah disertai oleh Natasha.  

Antara kenangan manis tidak dapat dilupakan apabila memenangi gelaran Juara Dunia dalam acara individu Kejohanan Tenpin Boling Dunia pada tahun lalu di Salmiya, Kuwait.  

Kemenangan dalam acara itu juga secara tidak langsung menamatkan kemarau 12 tahun pingat emas untuk negara yang kali terakhir dilakukan Jacqueline Sijore pada 2011 di Hong Kong. 

“Pengiktirafan ini cukup bernilai. Ia bukanlah penutup kerjaya tetapi sebagai permulaan, untuk saya terus melakukan yang terbaik. 

Selepas ini saya akan mengejar gelaran juara di Amerika Syarikat menerusi siri kejohanan anjuran Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA). Fokus utamanya pada musim ini adalah untuk beraksi cemerlang pada Kejohanan Asia di Bangkok, Thailand, September ini.  

“Ada beberapa lagi sasaran untuk dicapai sebelum bersara. Tetapi sukan boling tiada had usia persaraan, selagi badan kuat, seseorang atlet itu masih mampu lagi beraksi di gelanggang,” katanya.  Mengejar impian dan kejayaan memerlukan kerja keras. Itu diakuinya kerana persaingan sememangnya sengit walaupun sesama pasukan.

“Satu pasukan ada 10 ahli. Kalau ada perlawanan, hanya empat atau enam saja daripada 10 terpilih. Kalau tidak terpilih, saya anggap pasti ada rezeki di tempat lain atau pertandingan lain untuk saya,” katanya. 

 

MAUT DI GELANGGANG 

Atlet meninggal dunia secara tiba-tiba di gelanggang ketika sedang berjuang, memang menjadi igauan ngeri setiap ahli sukan. 

“Tragedi terbaharu membabitkan pemain badminton dari China, Zhang Zhijie, perlu diambil perhatian serius. Ketika berlangsung sesuatu kejohanan di mana jadual perlawanan yang padat, sememangnya akan membuatkan atlet keletihan kerana tiada rehat.  

“Ruang berehat amat penting bagi atlet untuk memulihkan tubuh secara fizikal dan mental. Perlawanan yang tiada henti, pasti memenatkan tambahan pula jika memaksa diri,” katanya.  

Sebagai atlet Kebangsaan, Natasha tidak terkecuali daripada menjalani latihan setiap hari kecuali pada hujung minggu. 

Boleh dikatakan sepanjang latihan, beliau perlu membaling bola dua jam tanpa henti.  

Natasha akan memastikan menjalani sesi pemulihan disediakan di Institut Sukan Negara (ISN) dengan menjalani  fisioterapi atau urutan.  

“Selama berkecimpung dalam sukan, saya bersyukur tidak pernah lagi melalui rasa kepenatan melampau. Paling teruk penat pun ketika bertanding di Asian Game tetapi itu pun ada waktu rehat selama dua jam. 

“Dalam kejohanan itu, kami bermain seramai enam orang dalam satu lorong. Jadi, kena berdiri selama lapan jam. Sebab bila bertanding, kami kena beri sokongan pada rakan sepasukan, takkan nak duduk saja,” katanya. 

Ujarnya, setakat ini atlet boling tidak dilindungi insuran untuk tangan atau anggota lain tetapi sekiranya berlaku sebarang kecederaan, kos dan rawatan di bawah tanggungjawab ISN.  

Bagaimanapun, Natasha gembira kerana atlet sepertinya turut diberi peluang mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula tahun ini.  

 

JUAL 800 BALANG BISKUT 

Natasha yang menyambung pengajian di bawah program American Degree Sunway dalam bidang pentadbiran perniagaan berkata, pendidikan akademik tetap penting walaupun kerjaya sebagai atlet semakin bersinar.  

“Bidang pentadbiran perniagaan menjadi pilihan kerana saya minat berniaga. Saya pernah menjual biskut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu secara atas talian.   

“Ramadan lepas saya ada mengambil tempahan biskut. Syukur sambutannya hangat,” katanya yang menyifatkan membuat biskut umpama terapi untuknya. 

 

MEMBESAR GANAS 

Natasha mengakui semasa kecil, dirinya agak kasar seperti budak lelaki kerana membesar dikelilingi tiga abang.  

“Mereka suka ajak main bola, wrestling. Ibu bapa saya tidak kisah asalkan tidak melampau,” katanya. Cara mereka dibesarkan menjadikan Natasha dan adik-beradiknya tabah dan kuat berdepan cabaran mendatang. 

“Saya kagum dengan kegigihan ibu bapa saya. Walaupun sedang melalui saat getir, mereka akan memastikan keperluan kami dipenuhi. Mereka sentiasa ada di belakang kami setiap masa,” katanya

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×