RAMAI dalam kalangan ibu bapa yang suka menyuakan telefon bila anak meragam atau merengek.
Sepatutnya tanganilah kerenah anak yang berada dalam keadaan tidak selesa itu menerusi komunikasi dua hala, bukannya sehala.
Bila anak semakin besar dan lebih rapat dengan telefon daripada ibu dan ayah sendiri, pandai pula ibu bapa melahirkan rasa marah dan pelik.
Dia lupa agaknya, yang dia yang terlebih dahulu mengajar ‘siapa yang memujuk anaknya itu sewaktu anak itu kecil’.
Luahan kegusaran ibu bapa ini saya perhatikan banyak dikongsi di media-media sosial. Betapa ibu bapa dan nenek serta datuk, yang teras hati bila anak dan cucunya lebih akrab dengan telefon.
Siapa yang keluarkan modal membeli telefon untuk ditatap anakanak kalau bukan ibu bapa sendiri?.
Hari ini saya tengok ramai ibu bapa yang tanpa segan silu dan rasa bersalah, membenarkan anak-anak menatap gajet sewaktu berada di meja makan.
Isu ini sudah saya sentuh sebelum ini tetapi hari ini saya rasakan kian kronik sebab bayi yang masih dalam dukungan pun sudah diajar bermain dengan telefon.
Saya tertarik membawakan isu ini sebab baru-baru ini Tinjauan Kebangsaaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 (NHMS 2022): Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) oleh Institut Kesihatan Umum mendedahkan bahawa trend remaja Malaysia cenderung membunuh diri meningkat dalam tempoh 10 tahun apabila 7.9 peratus remaja yang dicatatkan pada 2012 naik kepada 13.1 peratus atau bersamaan kira-kira lebih 4,000 remaja pada 2022.
Trend bagi remaja yang cuba membunuh diri juga meningkat daripada 6.8 peratus pada 2012 kepada 9.5 peratus atau lebih 3,000 remaja pada 2022.
Kajian itu yang meliputi 239 sekolah yang dipilih secara rawak di seluruh Malaysia melibatkan seramai 33,523 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun itu turut mendapati sebanyak 26.1 peratus (lebih 8,000) pernah ter kir membunuh diri manakala 19.1 peratus (lebih 6,000) pula pernah cuba membunuh diri pada tahun lalu.
Bukan itu sahaja, perbandingan beberapa kategori kesihatan mental turut menunjukkan peningkatan dalam tempoh 10 tahun antaranya remaja yang rasa sunyi, murung dan membunuh diri turun menunjukkan peningkatan.
Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, peningkatan itu berlaku disebabkan pelbagai tekanan termasuklah media sosial.
Masalah tidak selesai, beban tekanan kian bertambah, mewujudkan situasi bom tidak dijangka. Sebab itu ramai remaja alami kemurungan dan masalah mental kerana mereka sepatutnya dapat menjalani kehidupan normal tanpa diganggu dengan emosi yang berpunca daripada gajet ini.
Barangkali dek kerana disuakan telefon masa kecil akibat negatifnya sudah terpapar dalam laporan NHMS 2022 itu? Kenapa kita tidak mahu belajar daripada kelalaian sendiri? – UTUSAN
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia










