BELA seekor kucing juga kadangkala boleh mendatangkan kerisauan kepada para pemilik kucing.
Perkara itu buat mereka terfikir, tidak cukup lagi ke ribuan ringgit yang sudah dihabiskan untuk berulang-alik ke klinik haiwan saban bulan?
Berkongsi pengalamannya, Muhammad Akmal Hafizuddin Azmal Hizam berkata, sebagai pemilik yang hanya mempunyai seekor kucing sebagai peliharaan, persoalan tersebut sering timbul di dalam fikirannya.
Katanya, walaupun hanya memiliki seekor kucing yang diambil dari jalanan, tetapi kos yang perlu ditanggung adalah tinggi.
“Kucing saya ini memilih. Keperluan nutrisi dia sahaja boleh mencecah hampir RM200 ringgit.
“Itu belum kira kena beli water fountain khas untuk kucing kerana dia (kucing) lebih gemar air yang mengalir, benda itu tidak murah,” katanya kepada Seri.
Hiburan juga merupakan antara keperluan perlu dipenuhi bagi mengelakkan tekanan kerana haiwan seperti kucing adalah pemangsa yang memerlukan stimulasi dalam aktiviti seharian.
Antara keperluan lain yang diperlukan adalah permainan seperti laser, bola dan kotak pencakar.

Akmal berkata, bagi mengekalkan tahap kecergasan kucing, beliau perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk bermain dengannya.
Disebabkan kucingnya gemar dengan aktiviti fizikal, dia juga perlu ada stamina tinggi untuk melayan karenah kucingnya itu. “Semasa saya kerja, kucing selalunya akan dibiarkan bebas berkeliaran sebab tidak biasa terkurung di dalam rumah.
“Kalau saya balik kerja itu barulah dia muncul untuk masuk rumah dan makan. Selepas itu saya kena layan dia bermain pula,” katanya tersenyum.
KOS RAWATAN
Sebagai pencinta haiwan, perkara paling tidak diingini berlaku adalah kucing dihinggapi penyakit.
Namun, perkara itu tidak dapat dielak sepenuhnya lebih-lebih lagi apabila haiwan tersebut terdedah dengan pelbagai risiko dari luar.

Akmal berkata, ‘kebebasan’ diberikan kepada kucingnya itu bagaimanapun turut mengundang masalah jangkitan kutu dan cacing.
“Untuk kucing saya, setiap bulan saya kena pergi hantar ke klinik haiwan untuk dapatkan perlindungan daripada jangkitan kutu dan cacing.
“Itu memang sudah menjadi rutin bulanan saya kerana risiko pendedahan yang diterima kucing sepanjang berada di luar,” katanya.
TAHAN KENCING
Akmal turut berkongsi pengalaman kucingnya yang menghidap masalah pundi kencing.
Katanya, perkara itu diketahui semasa membawa kucingnya untuk mendapatkan pemeriksaan tahunan di klinik.
“Terkejut saya semasa doktor memberitahu yang kucing saya mempunyai masalah pundi kencing.
“Lebih mengejutkan bila jangkitan itu berlaku disebabkan kucing saya suka tahan kencing.
“Penyakit itu bukan sahaja memerlukan pemeriksaan lanjut dari klinik, malah turut perlu menukar diet khas mengikut cadangan doktor.
“Makanan tersebut juga hanya boleh didapatkan di klinik haiwan kerana diet terkawal dengan harga yang mahal. Nasib baik sayang, maka saya ketepikan soal kos,” katanya berkongsi pengalaman.










