“Aku ingatkan kisah aku saja macam ni, rupanya ramai yang berdepan masalah sama macam aku. Anak aku, tidak pernah kekal dengan satu majikan.
Paling lama setahun. Arahan bos tidak mahu ikut, semua mahu ikut kepala dia sendiri saja. Bagi duit buat berniaga pun habis digunakan ke arah yang tidak berfaedah,”.
Rintihan itu saya dengari jelas daripada mulut seorang wanita hampir seabad yang duduk di meja sebelah tempat saya makan tengahari baru-baru ini.
Berat mendengar rintihan itu, dia bercerita sembil tersenyum kelat. Wanita itu memberitahu yang dia terpaksa menanggung belanja harian lantaran tiada sumber pendapatan selepas kematian suami tahun lepas.
Tambah ralat apabila anak-anaknya yang berusia lewat 40-an, menganggur lantas tidak ada sumber pendapatan.
Pada angka usia 76, dia seharusnya bersenang-senang berada di rumah anak cucu, belajar agama dan melakukan aktiviti yang digemari tanpa terikat dengan komitmen.
Ramai sebenarnya berdepan masalah anak dewasa yang malas bekerja, sebaliknya lebih rela melepak dan membuang masa tanpa berbuat apa-apa.
Sukar untuk dibayangkan andai negara dipenuhi anak muda rapuh yang mengharapkan tulang empat kerat ibu dan ayah.
Semua tanggungjawab diserahkan kepada orang tua tanpa ambil peduli pun yang tenaga ibu bapanya itu, merosot sejajar pertambahan usia.
Dengan tenaga yang tidak seberapa, adakah majikan mahu mengambil pekerja dalam kalangan warga emas dan kalau ada pun sampai bila sangatlah mereka sanggup.
Negara kita nama saja bakal berdepan negara menua menjelang 2030, namun Ketua Laboratori Gerontologi Perubatan dan Geronteknologi di Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hayati Kadir @ Shahar mendedahkan Malaysia masih belum bersedia untuk menjadi negara menua.
Antara cabaran besar, menyediakan perkhidmatan dan kemudahan memenuhi keperluan mereka. Bagi anak yang liat keluar bekerja dan mengharapkan ibu bapa sebagai penyedia sumber kewangan, agaknya mereka tidak cakna dengan keadaan semasa.
Tidak mudah untuk menjadi seorang pekerja pada usia senja. Lihat sekeliling, berapa kerat sahaja warga berusia lingkungan 70-an berulang ke pejabat?
Kalau ada yang berusia aktif bekerja, kita pula yang suka memperli seperti ‘Cukup-cukuplah, dah tua-tua pun masih bekerja ke?’
Sedangkan, kita tidak tahu masalah mereka hadapi.
Begitupun, jangan tersalah sangka maksud yang saya cuba sampaikan.
Pada saya sampai sahaja tahap pencen, warga emas masih boleh bekerja tetapi atas kerelaan sendirilah bukannya kewajiban hingga menyebabkan yang muda memilih untuk goyang kaki sahaja.
Yang muda wajib dan tolonglah keluar rumah mencari sumber pendapatan. Bantu dan ringankan beban yang tua. Bagi mereka pilihan menyenangkan, sementara mereka masih bernafas.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana Utusan Malaysia







