PENGASAS jenama fesyen Raeesa, Erny Yusmiarty Erizal tidak tunggu lama dalam membawa jenama batiknya ke mata dunia.
Kurang 10 tahun berkecimpung dalam industri, beliau boleh tersenyum bangga kerana dalam tempoh berkenaan jenamanya sudah mampu menghasilkan kolaborasi bersama jenama tersohor dunia seperti Chopard, Zalora dan Robinsons.
“Nampak senang tetapi banyak kerja keras saya laburkan bagi membolehkan jenama tempatan mengukir nama di pentas dunia,” katanya memulakan bicara bersama Seri.
Wanita hebat ini saya temui di butik tunggalnya di Shah Alam, baru-baru ini. Manis mengenakan busana batik keluarannya, solekan tipis menyerlahkan lagi kejelitanaan ibu kepada empat orang cahaya mata ini.
Raeesa suatu jenama pakaian yang menjurus kepada batik lukisan tangan. Coraknya direka sendiri oleh Erny sebelum dilukis semula oleh artisan menjadikan motif batik eksklusif untuk jenama berkenaan.
Antara kelebihan ditonjolkan jenama ini ialah penggunaan warna pastel dan tona unsur bumi yang berbeza daripada batik tradisional dengan warna menyerlah dan bertenaga.
Ujar Erny, penggunaan warna tersebut menjadi signiturnya kerana dirasakan lebih dekat dengan dirinya.
“Saya suka permainan warna dan saya dapati penggemar batik bercorak dan banyak bunga, juga dalam kalangan pelbagai generasi.
“Saya kira pelanggan tertarik dengan produk kami tawarkan berikutan tona dan motifnya yang lebih kepada batik kontemporari. Saya modenkan coraknya supaya sesuai untuk dipakai semua peringkat umur, budak-budak pun boleh pakai. Kalau tengok batik dulu-dulu, coraknya lebih kepada citarasa warga berusia,” katanya.
MINAT IBU
Ke mana kuah tumpah kalau tidak ke nasi. Minat Erny terhadap seni batik diwarisi daripada ibunya yang juga pencinta batik.
Anak tunggal perempuan daripada tiga beradik ini menjadi ‘kanvas’ untuk ibunya mengekspresikan kecantikan melalui pemakaian batik.
Selain terikut dengan minat yang turun daripada ibu, cintanya terhadap batik turut dipengaruhi jenis fabrik selesa yang digunakan.

“Ibu saya suka batik. Lantaran saya anak tunggal perempuan, sejak kecil ibu memang sudah biasa pakaikan saya batik,” katanya tersenyum mengimbau kenangan.
Beliau sama sekali tidak menyangka perniagaan yang dimulakan sekadar sampingan, mendapat sambutan menggalakkan daripada orang sekeliling sehingga ada yang mencadangkannya pada skala yang lebih besar.
Bermula dengan menjual hanya kepada rakan sekerja, siapa sangka pemasaran daripada mulut ke mulut akhirnya memberikan pendedahan yang tidak disangka.
Begitupun, kongsi Erny, biarpun memiliki latar keluarga yang kebanyakannya menjalankan perniagaan, beliau akui bukan perkara mudah untuk dirinya memulakan perniagaan secara serius.
Lebih-lebih lagi secara peribadi beliau seorang yang sangat pemalu.
“Sukar juga jadi ‘muka hadapan’ perniagaan ini. Walaupun saya mempunyai pengalaman bekerja selama 10 tahun dalam bidang pemasaran, tetapi saya pemalu.
“Dulu masa jual pada kawan sekerja pun saya ‘susah’ sebab tidak biasa nak minta-minta duit pada orang,” katanya.
SOKONGAN ORANG SEKELILING
Sebagai wanita dalam bidang kerjaya yang penuh dengan persaingan, tidak dinafikan mempunyai sistem sokongan yang kuat memberikan kekuatan yang berbeza.
Tidak kira sama ada sokongan itu datang daripada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan mahupun majikan di tempat kerja.
Pembabitannya dalam bidang perniagaan merupakan cadangan daripada kenalan rapat keluarga yang turut menjalankan perniagaan batik.
“Kita memang dah lama kenal pengeluar batik kita. Jadi dialah yang mencetuskan idea untuk saya mula menjual batik secara sambilan.
“Selain sokongan ibu bapa, suami turut menjadi tulang belakang utama dalam kerjaya saya sebagai seorang usahawan wanita,” katanya.
Nyata sokongan dan galakan diberikan suami untuk meneruskan perniagaan itu menjadi tunjang kepada perjalanan kariernya sehingga kini.
“Alhamdulillah suami saya sentiasa sokong saya dalam apa sahaja yang saya lakukan.
“Selepas saya berhenti sekejap untuk kahwin, suami jugalah yang sarankan saya untuk teruskan perniagaan ini,” katanya.

Dikelilingi individu yang sentiasa ada untuk menyokong dalam apa sahaja yang dilakukan adalah momen terindah untuk dirinya.
Bagaimanapun, kesukaran dihadapi selepas kelahiran anak ketiga menjadi titik permulaan yang mengubah dirinya.
Kongsi Erny, dengan perkara yang terjadi pada dirinya pada ketika itu, fokus tidak dapat diberikan kepada segala perkara yang sedang dilakukan.
“Bila banyak sangat benda terjadi, saya tidak boleh fokus dengan semua benda, sama ada kerja atau perniagaan.
“Saya ambil cuti enam bulan tanpa gaji untuk tengok sejauh mana kita boleh pergi. Bila dah dapat sambutan dan tempahan yang semakin meningkat, baharu saya putuskan untuk berhenti kerja dan fokus sepenuhnya pada perniagaan,” katanya.
KOLABORASI BERPRESTIJ
Kekuatan himpunan Raeesa menyebabkan ramai yang lebih mengenai jenama itu daripada pengasasnya.
Itu diakui Erny dan beliau tidak begitu mengambil serius hal berkenaan, yang paling penting buah tanganya diterima ramai.
Selain berjaya mendapat peluang untuk berkolaborasi bersama jenama barang kemas antarabangsa, dalam tempoh setahun menjalankan perniagaan, Raeesa turut menempatkan nama dalam pertunjukan fesyen di New York dan Qatar.
“Setahun selepas saya berhenti kerja untuk fokus pada perniagaan, pencapaian Raeesa adalah kita dapat pergi ke New York dan Qatar untuk pertunjukan fesyen. Kita memang dapat permintaan dari sana.
“Kami juga banyak kolaborasi dengan jenama besar antarabangsa dan korporat seperti jenama barang kemas Habib dan Ritz Carlton Langkawi,” katanya.

Tidak hanya tertumpu pada kerjasama dengan syarikat, Raeesa turut mendapat perhatian orang kenamaan antaranya Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang menjadi pelanggan tetap jenama tersebut.
“Mungkin sebab sasaran kita lebih matang dan cenderung kepada orang yang berkemampuan seperti orang terkenal dan berprofil tinggi,” katanya mengakhiri bicara.










