MENJADI ketua pegawai eksekutif (CEO) dan usahawan makanan cilik pada usia 13 tahun, bukan tanggungjawab yang mudah tetapi perlu didepani dalam membina perniagaan dan mencorak masa depannya.
Imejnya dituduh tidak selari dengan rangkaian produk kesihatan dan kecantikan yang dikeluarkan ibunya yang juga usahawan sensasi, Datuk Seri Vida pada masa itu.
Akibat beban yang tidak tertanggung, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin atau Cik B, 19, mengakui pernah putus asa untuk terlibat dalam dunia perniagaan.
“Sebenarnya sejak zaman kanak-kanak lagi, saya sudah menjadi mangsa ejekan masyarakat di seluruh negara gara-gara bertubuh gempal dan berkulit hitam manis.
“Tetapi atas dorongan dan semangat ibu, saya menyahut cabaran untuk menjadi usahawan makanan cilik, hanya ketika usia saya 13 tahun,” katanya penuh bersemangat kepada Seri barubaru ini.
Kesemua produk yang dikeluarkan laris hingga kini terutama kerepek kulit salmon telur masin yang mencecah ratusan ribu pengeluaran.
Mengimbau memori silam itu, katanya, cabaran terbesar yang terpaksa dilalui sebagai usahawan muda adalah kecaman yang tidak henti-henti datang daripada masyarakat.
Tambahan pula, dirinya yang masih dibayangi aura kuat ibu dalam apa jua perkara dilakukan.
“Ada segelintir yang merendah-rendahkan saya hanya kerana guna modal emak untuk berbisnes hingga dicop tidak kenal erti susah-payah.
“Tetapi, disebabkan sudah kena teruk sejak kecil, sekarang saya lali dan kalis dengan sebarang kutukan atau hinaan.
“Saya anggap komen-komen negatif di media sosial itu sebagai bahan jenaka sahaja dan tiada guna bersedih sedangkan ada ribuan lain yang menyokong kerja keras saya,” katanya.
ADA DUA ORANG SAHAJA KAWAN
Di sebalik gaya maskulin dan bersahaja ketika sesi penggambaran lewat petang itu, Cik B yang menyarung busana serba hitam memberitahu dirinya seorang yang sangat pemalu dan introvert.
Ironinya, sifat itu boleh hilang serta-merta apabila bekerja, tidak kiralah ketika mengetuai urusan perniagaan atau berkaitan acara hiburan.
“Kawan saya hanya ada dua orang dan itu sudah cukup untuk membayangkan sifat introvert dalam diri. Tetapi kalau berterusan malu, macam mana saya nak berniaga atau buat benda-benda lain, pasti semua akan terhalang,” katanya.
Lantaran itu, Cik B menyeru golongan sebayanya untuk membuang rasa malu jika mahu serius dalam apa jua bidang diceburi termasuk perniagaan.

Ujarnya, malu berlebihan boleh menyebabkan seseorang takut dengan pandangan orang ramai hingga jadi rendah diri dan tidak berani untuk menonjolkan kemampuan sebenar.
“Dulu, saya pun takut kawankawan sekolah akan menilai jika mereka tahu saya berniaga dan saya faham perasaan peniaga muda lain.
“Bagi yang aktif menjana pendapatan secara affliate di TikTok, teruskan usaha itu dan abaikan rakan-rakan terdekat yang melabel anda sebagai syok sendiri atau tidak ramai pengikut,” sarannya.
BUKAN SEMUA KECAMAN MEMBUNUH
Bukan semua kecaman boleh membunuh usahawan, sebaliknya di sisi lain, ia boleh menjadi landasan terbaik untuk mempromosikan produk dan perniagaan seseorang.
Cik B tidak menafikan yang keadaan itu sedikit sebanyak membantu mencuri perhatian ramai terhadap jenama keluarannya.
“Contohnya, dalam isu emak saya nak kahwin dulu, walaupun dikecam ramai tetapi, di sudut positifnya menaikkan kembali nama kerepek kulit salmon.
“Ada pro serta kontranya cuma kalau dalam hal-hal berkaitan skandal peribadi yang terpalit dengan selebriti mungkin impaknya lebih ke arah negatif,” katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu selesa berkecimpung dalam sektor makanan dan minuman (F&B), serta tidak berhasrat untuk
mencuba cabang perniagaan baharu semata-mata untuk meraih untung segera.
Sambil tertawa kecil, gadis ini tidak sanggup mahu membayangkan dirinya tiba-tiba mengeluarkan barangan kosmetik seperti kebanyakan remaja lain.
“Fizikal saya sinonim dikaitkan dengan makanan, oleh itu saya akan kekal jual produk F&B sampai bila-bila kerana digemari pelbagai peringkat usia dan hasilnya pun lumayan.
“Paling terkejut apabila jemaah Indonesia yang ditemui ketika menunaikan umrah pada Ramadan lalu turut kenal produk saya kerana viral di sana,” katanya yang berhasrat meluaskan sayap ke negara jiran pada tahun ini.
MAMA HERO SAYA
Tanpa didikan ibu, tidak mungkin dirinya boleh berjaya dalam bidang keusahawanan.
Pesanan ibu untuk merebut peluang perniagaan di depan mata hingga bergelar multi jutawan, sentiasa dijadikan azimat dan pegangan.
“Mama banyak pengalaman dan dialah guru yang mengajar selok-belok bisnes. Saya bertuah memiliki ibu sehebatnya.
“Selamat hari ibu dan terima kasih kerana menjadi mama yang terbaik serta menyempurnakan hidup saya dan adik,” jawabnya sebak.
Walaupun berstatus ibu tunggal tetapi wanita itu cekal melakukan pelbagai kerja hingga mampu mengubah taraf kehidupan mereka.
Antara pengorbanan lain ibunya ialah membelikan pakaian berjenama di samping produk penjagaan wajah.
“Saya tidak reti sangat jaga muka dan setiap malam, mama datang pakaikan macam-macam krim supaya kulit anaknya bersih,” katanya.
Bagi menghargai jasa insan tersayangnya, Cik B tidak lokek menghadiahkan ibunya kenderaan, pada ulang tahun kelahiran tahun lalu.
“Ramai ingat gaya hidup saya mewah, tetapi saya pun ada pakai barangan murah contohnya cincin yang dibeli dalam talian berharga RM3.
“Sebahagian besar perbelanjaan saya setiap bulan adalah pada khidmat pesanan makanan,” katanya.
FOKUS PADA DIRI
Dengan populariti dan kekayaan dimiliki, tidak mustahil jika ada jejaka yang ingin menagih cintanya.
Namun, sila lupakan sahaja hasrat itu kerana Cik B tidak berminat untuk menjalinkan hubungan dengan sesiapa.
Mengakui masih single, keutamaanya kini hanya pada kerjaya dan kehidupan.
“Buat masa ini saya tidak terfikir untuk ada kekasih dan mahu fokus pada diri sendiri. Perancangan saya untuk berkahwin di umur 25 tahun, nanti bila sudah dekat ke arah itu, barulah saya cari pasangan,” katanya.
Ujar Cik B, percintaan di usia muda kadangkala mampu membuatkan remaja leka hingga hilang motivasi serta fokus untuk maju dalam pelajaran mahupun kerja.
Dalam pada itu, beliau tidak merahsiakan empat ciri lelaki idaman untuk bergelar suaminya.
“Saya bukanlah orang yang bercitarasa sangat tinggi tetapi kita kenalah ada standard dalam memilih pasangan hidup.
“Saya mahukan yang sama kaya, setia, baik dan boleh membantu saya berbisnes, itu sahaja,” katanya mengakui belum ada calon seumpama itu dalam kalangan rakan-rakan.
SUKA ADUN BAHAN PELIK
Selain berniaga, anak sulung ini turut dianugerahkan bakat memasak dan air tangannya sering mendapat pujian keluargaserta rakan-rakan.
Berkongsi rahsianya, Cik B mengamalkan teknik campakcampak dan gemar mengadunkan bahan-bahan pelik seperti Milo serta kepingan keju sebagai penyedap rasa makanan.
Antara sajian yang dihasilkan menggunakan minuman malt coklat itu ialah mi segera untuk ibu tersayang.
“Mama berkali-kali puji sedap dan selepas habis makan, barulah saya beritahu ada letak Milo.
“Berilah apa sahaja bahan, saya boleh mengubahnya menjadi menu yang terenak pernah anda nikmati,” katanya yang memasak sejak usia lapan tahun.
Cik B berkata, bakat beraksi di dapur itu mungkin terbentuk secara semula jadi kerana dirinya memiliki deria rasa tinggi terhadap makanan.
Tambahan pula, sudah terbiasa makan campuran menu berbeza-beza seperti yang menjadi amalan masyarakat Kelantan.
“Siapa tahu mungkin satu hari nanti saya akan kongsikan video-video masakan dengan peminat,” katanya.










