TIADA terang tanpa redup. Tiada mekar tanpa kuncup. Tumbuh itu mekar dari proses yang sunyi.
Kesunyian yang melahirkan titis peluh dan air mata.
Minggu ini, saya sangat teruja untuk memperkenalkan koleksi dari jenama tempatan ANAABU yang menampilkan rekaan kebaya.
Koleksi ini dinamakan Terus Tumbuh, yang bagi saya begitu puitis untuk menggambarkan ketelusan dan siluet yang bersatu.
Salah satu kegemaran saya dari koleksi ini adalah Mekar Loose Kebaya.
Rekaan ini memperkenalkan sentuhan kontemporari kepada kebaya tradisional yang dikenali dengan keanggunannya.
Kelonggaran dalam reka bentuk ini membolehkan dirimu bergerak bebas. Perincian sulaman Mekar yang menonjol diletakkan di bahagian lengan dan hem, menjadi titik fokus yang simbolik kepada perkembangan peribadi, pertumbuhan dan intipati identiti wanita Melayu.
Setiap kali mengenakan Mekar Loose Kebaya, dirimu pasti akan merasakan yang gayamu itu menzahirkan keanggunan klasik.
Mekar Loose Kebaya dibuat daripada kain kapas 100 peratus yang lembut dan selesa, dengan sulaman hem yang istimewa menambah sentuhan elegan.
Reka bentuk bodice berbentuk kotak dengan potongan oversized dan gussets (kekek) untuk menambah keluasan, menjadikannya
sesuai untuk pelbagai bentuk badan.
Bahu yang jatuh, kolar depan yang boleh ditanggalkan, poket sisi tersembunyi dan lengan tiga suku memberikan kebaya ini kesempurnaan dalam kesederhanaan.
Sulaman TT yang ikonik di sisi lengan menambah keunikan kepada reka bentuk ini untuk digayakan.
Untuk gaya yang lebih menarik, cubalah untuk layering Mekar Loose Kebaya di atas tank top atau blaus tanpa lengan dan padankan dengan
Mekar Wrapped Sarung yang sepadan.

Ini akan menambahkan dimensi dan sentuhan kesederhanaan kepada gayamu. Dirimu juga boleh mencipta gabungan gaya moden dengan suai padan kebaya ini dengan jeans denim yang berpotongan kemas.
Pilihan penggayaan ini pasti membuatkan dirimu kelihatan muda.
Bagi wanita dengan bentuk badan yang berbeza, terdapat banyak cara untuk menggayakan kebaya ini.
Bagi mereka dengan potongan badan curvy, cuba untuk suaipadankan kebaya ini dengan skirt atau kain sarung yang berpotongan A untuk
mencipta keseimbangan dan menonjolkan bahagian pinggang.
Jika dirimu mempunyai potongan bahagian atas yang lebih curvy, pilihlah seluar palazzo atau seluar yang longgar di bahagian bawah
untuk mengimbangi tubuh bahagian atas yang lebih besar.
Bagi yang mempunyai potongan badan lurus, pilih lapisan yang lebih tebal di bawah kebaya seperti blaus berlengan panjang dan padankan dengan skirt atau kain sarung yang beralun untuk mencipta siluet yang lebih penuh dan menarik.
Pakailah dengan bangga dan biarkan gayamu melambangkan kekuatan, ketelusan dan kecantikan dirimu.
Terus tumbuh dan berkembang, menghargai setiap langkah dalam perjalanan gaya peribadimu dengan kebaya yang mencerminkan kisah hidupmu yang penuh inspirasi.










