MENAIKI belon udara panas seawal usia lima tahun, namun tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bergelar juruterbang kenderaan itu.
Bagi Nur Izzati Khairudin, 37, waktu itu, cukuplah sekadar menjadi penumpang dan bukan sebagai pengemudi.
Namun pada 2015, takdir merubah segala-galanya apabila dirinya nekad mahu bergelar juruterbang belon udara panas.
Anak jati Kuala Lumpur ini sanggup ‘terbang’ sehingga ke Sepanyol bersama adiknya, Nur Atiqah, 35, bagi bersama-sama mengambil lesen berkenaan.
Impian itu akhirnya berjaya direalisasikan apabila mereka diiktiraf sebagai juruterbang belon udara panas wanita pertama negara.
Malah, Nur Izzati turut meneruskan penganjuran acara tradisi tahunan, Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang dirintis arwah bapanya, Khairudin Abdul Rani sejak 2009.
Sehingga kini, beliau sudah menerbangkan belon udara panas ke 15 negara antaranya Amerika Syarikat (AS), Belanda, Thailand, Jepun, India, Taiwan dan Vietnam.
Katanya, dorongan kuat untuk meneroka bidang penerbangan itu bagi menyambung dan mengukuhkan lagi legasi bapanya yang merupakan individu pertama memperkenalkan perkhidmatan belon udara panas di negara ini.
“Sebagai anak sulung, saya rasa bertanggungjawab mengambilalih urusan pentadbiran syarikat selepas pemergian bapa pada 2012.
“Ketika itu saya terfikir, bagaimana mahu menerajui perniagaan itu dengan baik jika tiada ilmu teknikal
tentang belon dan tidak tahu mengemudinya,” katanya kepada Seri.
Mengumpamakan seorang pemilik restoran tetapi tidak tahu memasak dan cetek ilmu tentang rasa serta makanan.
Bertahun-tahun Nur Izzati memikirkan perkara itu, sebelum akhirnya nekad mengambil lesen penerbangan sebagai nilai tambah dalam memajukan lagi perniagaan keluarga.
Untuk memiliki lesen, seseorang perlu menjalani latihan intensif dan ketat di samping terbang selama 16 jam, manakala tempoh selama 50 jam pula perlu dilengkapkan bagi penerbangan komersial.
“Sekembali ke tanah air, saya dan adik memulakan ekspedisi, Life on Air ke sembilan negeri di
Semenanjung bagi memenuhi syarat jam penerbangan di
samping menjalankan bengkel di sekolah-sekolah terpilih.
“Ketika ini, rekod penerbangan sudah pun melebihi 300 jam dan layak menerbangkan sehingga 10 penumpang,” katanya mengimbau pembabitan awal dalam bidang berkenaan sembilan tahun lalu.
Nyata, keputusan mengambil lesen juruterbang itu sememangnya tepat bagi membantunya memahami dengan lebih terperinci tentang dunia perkhidmatan itu dan pengembaraannya.
“Masa ayah masih ada saya membantunya menguruskan perniagaan. Bila arwah meninggal, saya tidaklah terkial-kial meneruskan legasinya,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.
TENANG DI UDARA
Pengalaman menaiki belon udara panas berbeza berbanding berada dalam perut pesawat, kapal terbang atau helikopter.
Walaupun kesemuanya membawa diri terbang ke langit biru tetapi momen istimewa hanya boleh dinikmati ketika di dalam bakul.
“Ramai kawan-kawan cemburu dengan ‘pejabat’ saya yang tinggi di udara kerana suasananya yang tenang.
“Dengan belon udara panas, anda lebih dekat dengan alam dan dapat merasai serta menikmati seluruh panorama indah di sekeliling secara tenang dan sunyi, yang tentunya tidak dapat dilihat menerusi penerbangan lain.
“Saya pernah membuat terjunan udara, tetapi tidak berpeluang untuk ‘menangkap’ kesemua landskap kerana aktiviti itu lebih kepada mencabar adrenalin. Masa amat terhad juga menyebabkan kita tidak sempat menikmati pemandangan,” katanya.
Menceritakan pengalamannya ‘terbang’ di luar negara, kata Nur Izzati, Sepanyol merupakan destinasi terbaik kerana negara itu menawarkan pelbagai panorama termasuk kawasan bersalji dan padang pasir.
Namun katanya Malaysia tidak terkecuali memiliki panorama memukau.
“Kita ada banyak lokasi indah untuk dinikmati antaranya di Serdang diikuti Perlis, Kedah dan Kelantan.
“Bulan lalu saya turut berkesempatan menerbangkan belon di Perlis dan pemandangannya cukup
mengagumkan dengan padi yang menghijau,” katanya.
HUJAN, MENDARAT CEMAS
Ibu kepada seorang anak perempuan berusia lima tahun ini berkata, asas penting bagi pengendalian kenderaan itu ialah arah angin, cuaca dan kawasan lapang untuk menerbangkan serta menurunkan belon udara panas.
Penerbangan akan dibatalkan jika keadaan cuaca tidak mengizinkan bagi mengelak sebarang risiko kepada penumpang.
Nur Izzati juga pernah berdepan detik cemas sehingga terpaksa membuat pendaratan secara tiba-tiba akibat hujan lebat.
“Ketika kejadian itu, radar melaporkan keadaan angin dan cuaca baik, tetapi di pertengahan penerbangan tiba-tiba sahaja hujan sangat lebat.
“Paling cemas apabila belon berada betul-betul di atas tasik di Cyberjaya dan hampir lima minit saya serta penumpang kebasahan bagi mencari lokasi sesuai untuk mendarat.
“Sebenarnya tidak mudah mendarat dalam hujan kerana angin kuat dan perlu memilih lokasi sesuai untuk menampung impak pendaratan. Mujur tiada insiden lain berlaku dan kami
selamat,” katanya.

MEDIUM PERCINTAAN
Belon udara panas kini semakin menjadi pilihan bagi meraikan pasangan sama ada untuk sambutan hari lahir, ulang tahun percintaan dan perkahwinan di samping melamar kekasih.
Antara yang pernah menggunakan perkhidmatan itu ialah selebriti Janna Nick dan suaminya, Dini Schatzmann diikuti Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Segala urusan kejutan termasuk kain rentang atau sepanduk lamaran turut disediakan mereka di lokasi ditetapkan di samping hiasan meja atau bakul belon udara panas.
“Sayalah juruterbang yang menyaksikan momen indah lamaran selebriti itu.
“Banyak kisah lucu yang dialami sepanjang mengemudi pelanggan yang mahu melamar, antaranya kekasih moody kerana terpaksa bangun awal pagi, mesej cinta panjang berjela, malah ada yang nak bermain ukelele untuk lebih romantis.
“Risau juga tiba-tiba penerbangan batal kerana mood pasangan yang kurang baik atau insiden-insiden lain tetapi Alhamdulillah, sehingga kini semua kejutan menjadi seperti diaturkan.
“Paling manis, apabila seorang pelanggan yang mahu meraikan ulang tahun percintaan membuat kejutan dengan melamar teman wanitanya. Rupa-rupanya wanita itu turut membawa cincin untuk lelaki berkenaan,” katanya.
RUGI SEBAB COVID-19
Biarpun perniagaan dibangunkan itu hampir tiada persaingan, tetapi Nur Izzati mengakui ia berdepan cabaran daripada segi kos operasi yang tinggi dan permintaan yang bermusim.
“Penganjuran Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya sudah sebati dengan keluarga saya.
“Namun saya fobia menghidupkan semula acara tradisi tahunan terbesar sejak 2009 itu kerana kerugian
ditanggung akibat pandemik Covid-19.
“Sepatutnya, acara itu dibuat pada 19 Mac 2020 tetapi sehari sebelumnya negara mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Segala persiapan sudah dibuat dan kita turut membawa sehingga 25 belon daripada negara-negara jiran di samping juruterbang tetapi hasrat tidak kesampaian,” katanya.
Kos penganjuran fiesta yang mencecah RM1 juta, memaksanya membuat pinjaman peribadi untuk melangsaikan hutang.
“Saya rindu tetapi saya masih fobia. Lainlah jika ada pihak yang mahu menyuntik dana bagi
penganjurannya,” katanya yang turut menyasarkan mengembangkan perniagaan, AKA Balloon Sdn. Bhd. ke Borneo.
Beliau berimpian untuk menerbangkan belon udara panas di Kota Kinabalu sambil menyaksikan panorama matahari terbit yang indah.










