seni bunga kering

Seni bunga daripada tumbuhan, barang terpakai

Fauzi bersama seni bunga hasilannya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEINDAHAN bahan semula jadi, menimbulkan minat Fauzi Abd. Majid mencipta bunga hiasan daripada bahan-bahan tersebut.

Usahawan dan juga peminat seni itu kreatif dalam mentransformasikan tumbuh-tumbuhan dan juga beberapa barangan terpakai sebagai bunga hiasan bagi dekorasi kediaman.

Kata Fauzi, antara bahan-bahan yang menarik minatnya untuk menghasilkan karya seni berkenaan adalah buah pinang puteri, kelopak bunga telisia dan juga buah petola sarang.

“Saya sentiasa yakin bahawa setiap ciptaan Tuhan itu pasti ada keunikannya yang tersendiri.

“Buah pinang dan petola contohnya, ada urat kasar dan ada urat halus menjadikannya sangat unik untuk digunakan sebagai hiasan dalaman kediaman,” katanya kepada Seri.

Tidak menolak bahawa bakat itu kemungkinan diwarisi oleh ayahnya yang merupakan seorang tukang kayu, katanya dia juga ‘menukang’ menghasilkan bunga-bunga seni yang diberi nama tersendiri.

“Daripada kelopak telisia saya panggil Ibodie Flower, daripada pinang puteri saya namakan Paradise Flower dan daripada buah petola saya panggil Presiden flower.

“Setiap satu bahan ini saya olah semula mengikut kreativiti tersendiri menjadi sekuntum bunga mekar dan kemudiannya diwarnakan semula dengan warna-warna yang sesuai,” katanya yang mendapatkan bahan-bahan berkenaan daripada masyarakat orang asli dan di sekitar kampung.

Pemilihan warna bagi bunga-bunga tersebut juga dibuat dengan teliti bagi membangkitkan konsep kontemporari yang sesuai untuk trend terkini.

Ia sangat sesuai bagi pemilik kediaman yang gemarkan keindahan alam semula jadi dan ingat menyelitkan bungaan kering unik dalam susun atur kediaman.

“Memandangkan ia adalah sejenis hiasan bunga kering, maka ia tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rumit.

“Hanya vakum sahaja sekiranya terdapat habuk pada bunga. Saya menghasilkan seni ini sejak 20 tahun lepas dan pelanggan pertama saya pada ketika itu masih memiliki bunga ini hingga sekarang.

“Maksudnya, ia memang tahan lama,” jelasnya yang turut aktif mempromosikan seni bunga berkenaan di laman Facebook Apa Art.

Mengulas mengenai aspek harga, kata Fauzi yang mesra disapa sebagai Benji, harga sekuntum bunga sekitar RM1.50 hingga RM45.00, bergantung kepada bahan dan rekaan bunga.

“Penghasilan adalah terhad dan tidak terlalu banyak kerana ia adalah seni buatan tangan,” katanya yang menjalankan perniagaan berkenaan di Hulu Langat, Selangor.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN