SUDAH lama rasanya tidak menghadiri majlis kenduri saudara-mara mahupun sahabat gara-gara kesibukan kerja.
Tiba-tiba tekak pula mengidam nasi tomato dengan ayam masak merah dan acar, tetapi bukan senang mahu mencari menu itu pada hari-hari biasa.
Apa kata hujung minggu ini dimanfaatkan dengan memasak hidangan tersebut.
Resipinya mudah sahaja dan pasti dapat menambat selera setiap ahli keluarga.
Bahan-bahan untuk menumis:
4 sudu besar minyak sapi
2 biji setiap satu empat sekawan (buah pelaga, kulit kayu manis, bunga lawang dan cengkih)
1 helai daun pandan
3 ulas bawang merah (dimayang)
3 ulas bawang putih (dimayang)
2 sentimeter halia (dimayang)
1 biji tomato (dipotong empat)
3 sudu besar puri tomato
3/4 cawan susu cair
7 cawan beras basmati (dicuci bersih dan ditoskan)
7 cawan air
Garam dan bahan perasa secukupnya
Bahan-bahan hiasan:
50 gram (g) kismis
100 g gajus bakar
50 g daun pudina
50 g bawang goreng
Cara penyediaan:
1. Tumiskan 4 sekawan dan daun pandan dalam minyak sapi yang telah dipanaskan sehingga naik bau.
2. Masukkan bahan hirisan dan tomato, ditumis sehingga warna kuning keemasan dan naik bau.
3. Masukkan puri tomato, susu cair, garam dan bahan perasa secukupnya.
4. Masukkan beras dan air, kemudian tanak sehingga nasi masak. Prosesnya seperti memasak nasi putih biasa.
5. Gemburkan nasi setelah air kering dan taburkan bahan hiasan sebelum dihidangkan.
6. Sedia untuk dimakan bersama lauk-pauk seperti ayam masak merah, acar timun dan papadom.










