Buat kek jeli 3D, leceh tapi seronok - Utusan Malaysia

Buat kek jeli 3D, leceh tapi seronok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM banyak-banyak kek, ternyata kek jeli tiga dimensi (3D) yang paling leceh untuk dihasilkan.

Proses pembuatannya bukan sahaja memakan masa lama, malah turut menuntut tahap kesabaran tinggi.

Daya imaginasi dan kreativiti turut diperlukan dalam menampilkan hasil kerja memukau.

Manakan tidak, lantaran setiap hiasan kek bukan dibuat pada bahagian permukaan sahaja sebagaimana kek tradisi. Sebaliknya dicorakkan secara terbalik dari bahagian bawahnya.

Kesukaran itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat Nor Zaidah Sabri, 47, dari Bandar Putera 2, Klang untuk terus menghasilkan kek jeli 3D yang diusahakan sejak Ogos 2020.

Sepanjang tempoh tersebut, hampir 1,000 biji kek telah dihasilkan ibu tunggal berkenaan sekali gus membantunya menjana pendapatan lebih RM2,500 sebulan.

Katanya, minat untuk mempelajari cara pembuatan pemanis mulut itu timbul semasa penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Sebagai individu yang mahir membuat kek dan biskut raya, Nor Zaidah tidak melepaskan peluang mengikuti kursus pengajian jarak jauh (PJJ) yang ditawarkan menerusi Facebook komuniti kek jeli.

“Daripada muda saya aktif membuat pelbagai jenis pemanis mulut, tetapi tahap kepuasan yang dinikmati itu berbeza apabila mula menghasilkan kek jeli 3D.

“Walaupun leceh tetapi keseluruhan proses tersebut menyeronokkan kerana dapat berkarya pada struktur jeli yang dipanggil kanvas, seolah-olah seperti pelukis dengan sentuhan penuh artistik.

“Ditambah pula dengan rupanya yang cantik seperti bunga sebenar sekali gus membuatkan saya makin ketagih untuk menghasilkan kek jeli 3D dan melupakan kek-kek lain yang pernah dihasilkan,” katanya ketika ditemui Seri baru-baru ini.

Dua minggu berlatih

Tanpa menunggu lama, Nor Zaidah memberanikan diri menjual kek jeli 3D dengan modal awal sebanyak RM200 selepas hanya dua minggu berlatih.

Katanya, hiasan kek itu lazimnya menampilkan corak bunga-bungaan seperti peony, dahlia, ros dan tahi ayam di samping tulisan selain watak kartun serta animasi.

“Pada peringkat awal, saya cuma jual saiz mini dan selepas berulang kali membuatnya, barulah ada keyakinan untuk membuat kek berukuran enam hingga 10 inci.

“Saya mengambil masa selama setahun untuk betul-betul mahir mewarna kelopak bunga dengan menggunakan alatan khas 3D dan picagari,” katanya sambil mengakui tidak pandai melukis.

Begitupun katanya, bakat dalam bidang lukisan bukan kriteria utama bagi membuat kek itu, kerana yang paling mustahak ialah latihan berterusan untuk memantapkan kemahiran dan daya kreativiti.

Ujarnya, amalan itu sekali gus akan memudahkan seseorang ketika proses mewarna kelopak dan kuntuman bunga yang dimahukan.

Siap dalam lima jam

Jika kek biasa mengambil masa kurang dua jam untuk disediakan, tetapi pemanis mulut ini memerlukan kira-kira lima jam untuk disudahkan secara keseluruhannya.

Tempoh itu termasuk dua jam bagi membuat bahagian kanvas, manakala bakinya ialah untuk mewarna bunga.

Bahan-bahan yang diperlukan ialah serbuk jeli, gula, air, susu dan pewarna tiruan serta semulajadi di samping peralatan 3D serta picagari.

Menurut Nor Zaidah, kanvas yang berwarna jernih atau lutsinar itu boleh dihasilkan dalam lima perisa berbeza seperti laici, mangga, epal, strawberi dan pandan.

Katanya, kanvas perlu dikeraskan dalam peti ais terlebih dahulu dan disusuli dengan menandakan bentuk sebagai panduan sebelum mewarna.

Manakala, jeli susu yang dijadikan sebagai pewarna bunga perlu dipanaskan sentiasa di atas api sebelum disuntik dengan picagari ke dalam kanvas.

“Disebabkan rupa yang cantik, ada pelanggan tidak sampai hati mahu makan kek jeli ini, tetapi selepas satu suapan, mereka tidak boleh berhenti kerana keenakan rasanya berbanding agar-agar mahupun puding,” katanya.

Lebih 20 kek ditempah sebulan

Air tangan indah dan menawan Nor Zaidah, membolehkan kek jeli 3D keluarannya laris dibeli pelanggan pelbagai bangsa.

Menu istimewa itu bukan sekadar untuk sambutan ulang tahun kelahiran atau perkahwinan, sebaliknya dijadikan sebagai hantaran pernikahan atau pertunangan di samping hadiah bagi hari simbolik seperti Hari Ibu atau Bapa.

Malah, katanya, permintaan tinggi turut dicatatkan pada musim perayaan seperti Aidilfitri, Aidiladha dan Krismas selain cuti persekolahan.

“Memandangkan saya buat sendiri tanpa khidmat pembantu, jadi saya tidak boleh ambil terlalu banyak tempahan walaupun hasilnya lumayan.

“Setiap bulan purata kek yang dihasilkan adalah kira-kira 30 biji sahaja kerana sifat kek ini yang tidak boleh disimpan lama,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, kek jeli 3D yang berharga antara RM80 hingga RM180 itu boleh disimpan selama empat hari sebelum dimakan atau bagi kegunaan majlis tertentu.

Selepas tempoh itu, warna bunga mulai berubah dan hidangan tersebut menjadi kurang cantik berbanding ketika baharu disiapkan.

“Namun, selepas majlis selesai, baki kek boleh disimpan sehingga dua minggu dalam peti ais,” katanya.

Teringin kongsi ilmu

Nor Zaidah memanfaatkan platform media sosial bagi mempromosikan produknya kepada pelanggan menerusi akaun Instagram dan Tiktok ida_sweetbakes.

Selain untuk jualan, ibu kepada seorang anak perempuan itu turut berkongsi demonstrasi mewarna hiasan bunga sehingga mencapai lebih sejuta tontonan.

“Tidak sangka video yang dirakam secara suka-suka oleh anak menjadi tular di TikTok hingga ramai mula sedar tentang kewujudan kek jeli 3D yang berasal dari Vietnam itu.

“Ada yang minta saya buat kelas dan saya pun teringin untuk mengajar orang ramai sebagai perancangan di masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×