Anak Malaysia pembuat kek tunggal di England - Utusan Malaysia

Anak Malaysia pembuat kek tunggal di England

Syabira Yusoff bergambar dengan menu Nasi lemak smorgastarta, antara menu yang dihasilkan dalam pertandingan Great British Bake Off (GBBO) 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG mengikuti perkembangan cef Dr. Syabira Yusoff di Instagram, hati sentiasa terdetik untuk menemubual wanita berasal dari Melaka itu.

Selain kisah kejayaannya dalam Great British Bake Off (GBBO) 2022, mungkin tidak ramai yang tahu beliau merupakan satu-satunya anak Malaysia pembuat kek di England, ketika ini.

Malah, pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) Genetik dan Biologi Genom dari University of Leicester itu turut membuat penampilan dalam pelbagai festival makanan termasuk di St. Albans di samping anjuran National Geographic Traveller pada 15 Julai lalu.

Sejarah turut tercipta apabila Syabira mengendalikan acara Minum Teh Malaysia, yang julung kali diadakan di London bagi mendekatkan masyarakat British dengan menu citarasa tanah air.

Tanpa berlengah, langkah mula diatur pada 16 Julai lalu dengan meninggalkan pesanan di ruangan mesej Instagram dan salam perkenalan itu disambut dengan penuh kemesraan.

Melihat kerjasama yang dihulurkan Syabira, membuatkan saya terlupa perbezaan jarak lebih 10,000 kilometer antara kami berdua.

Terkini, beliau sedang bekerjasama dengan pengusaha di London bagi menjayakan projek mengadaptasikan pemanis mulut Malaysia kepada makanan British.

Group Photo of Bakers in the Tent (L to R (back) Sandro, William, Abdul, Carol, Maisam, Syabira, Maxy (front) James Rebs Janusz, Dawn, Kevin)

Eksperimentasinya itu mendapat sambutan positif dalam kalangan penduduk di negara berkenaan.

“Orang British sangat terbuka untuk mencuba makanan baharu tetapi proses itu perlu dilakukan secara perlahan-lahan dan bermula dengan menu yang biasa dinikmati mereka.

“Setakat ini, saya sudah olah rendang ayam kepada pie dan menu itu menjadi sangat popular kerana keunikan ramuan gabungan barat dengan aura Malaysia.

“Saya turut memperkenalkan roti jala, karipap pusing, epok sayur, nasi lemak dan lontong,” katanya kepada Seri.

Impi buka patisserie England-Malaysia

Fokus utama Syabira buat masa ini adalah mahu bergelar cef.

Sehubungan itu, beliau terpaksa berehat seketika daripada kerjaya hakiki sebagai penyelidik di King’s College London demi mencapai impian dan minatnya.

Bagaimanapun, pengorbanan itu hanya bersifat sementara kerana percaya laluan berkenaan merupakan pilihan tepat bagi pengembangan kerjayanya.

“Saya letak tepi dahulu bidang penyelidikan kerana ketika ini saya merupakan satu-satunya pembuat kek di England, jadi saya perlu memanfaatkan peluang itu sebaiknya.

“Saya akan kembali semula kepada bidang berkenaan apabila semua misi dalam dunia kulinari berjaya dicapai,” katanya yang memasang impian untuk memiliki patisserie England-Malaysia pada masa depan.

Idea unik itu secara tidak langsung mampu meletakkan nama Malaysia di mata dunia.

“Saya kini dalam perbincangan untuk membuka sudut patisserie di salah sebuah hotel popular di London.

“Jika semuanya berjalan lancar, insya Allah impian itu boleh direalisasikan akhir tahun ini,” katanya.

Masak, buat kek kerana homesick

Inspirasi Syabira untuk memasak dan membuat kek tercetus secara semulajadi ketika berada di perantauan pada 2013.

Semuanya kerana kerinduan atau homesick terhadap kampung halaman terutama keluarga dan sahabat handai.

“Ada satu hari tiba-tiba perut mengidam mahu kek baldu merah, hanya kerana teringatkan nostalgia ketika makan bersama kawan-kawan di Malaysia.

“Saya cari kek itu di merata bakeri di London, namun rasanya sangat manis dan bukan seperti yang diinginkan.

“Selepas membuat penyelidikan mengenai resipi dan peranan setiap elemen, saya mula membuat pemanis mulut itu dan siapa sangka berterusan hingga memasuki GBBO dan kini bergelar cef,” katanya.

Tambahnya, merantau bersendirian di luar negara menuntut kekuatan fizikal dan mental kerana berjauhan dengan insan tersayang.

Justeru, katanya, rutin membuat kek menjadi penyelamatnya untuk kekal kental di tempat orang.

“Ia terapi saya untuk menyalurkan stres dan berhenti memikirkan hal-hal kerja mahupun rasa homesick.

“Pengalaman hidup mengajar saya untuk tidak terlalu fokus kepada perkara sedih, sebaliknya menggembirakan diri termasuk melalui membuat kek,” katanya.

Inspirasi resipi daripada makanan kegemaran

Antara resipi unik pernah dihasilkan Syabira ialah kek lapis dengan sentuhan rasa tembikai.

Katanya, penghasilan resipi lazimnya diinspirasikan daripada menu yang dekat di hatinya terutama makanan kegemaran dan unik di Malaysia.

Ujarnya, pendekatan tersebut sekali gus meningkatkan rasa bangganya kerana dilahirkan sebagai anak Malaysia.

“Saya cuba sebaik mungkin mencurahkan rasa cinta kepada makanan Malaysia kerana di situlah tempat saya membesar.

“Kadangkala, kita mudah lupa dan taking for granted apa yang ada di sekeliling,” katanya.

Selain pemanis mulut, wanita ini menggemari nasi lemak, roti canai, nasi impit dan sambal tumis.

Sebagai perancangan masa depan, Syabira turut berhasrat mengeluarkan buku resipi dan ketika ini sudah ada 40 menu menarik dalam senarainya.
Mahu sertai GBBO sejak 2020.

Walaupun sudah 10 bulan GBBO berakhir, namun kenangan manis terlibat dalam program realiti memasak itu masih segar dalam ingatan Syabira.

Kerja kerasnya berlatih selama beberapa tahun membuahkan hasil apabila terpilih menjadi antara 12 peserta untuk edisi tahun lalu.

Bahkan, kreativiti ditunjukkan dalam program itu turut membolehkannya muncul pemenang mingguan atau star baker sebanyak tiga kali.

“Sebenarnya saya mahu sertai GBBO sejak 2020 lagi dan platform berkenaan memberi pengalaman berharga dalam meningkatkan keyakinan diri dan menonjolkan kelebihan dimiliki.

“Menjadi juara adalah sesuatu yang tidak disangka, semuanya lahir daripada keyakinan diri dan mentaliti positif,” katanya.

Antara menu paling susah tetapi seronok dihasilkan sepanjang GBBO ialah kek tradisi Sweeden iaitu krokan kerana mengetengahkan bentuk yang cukup unik iaitu asid deoksiribonukleik (DNA).

Ujarnya, percubaan sebanyak empat kali dilakukan untuk membuat stuktur DNA helix yang kukuh.

“Cabarannya kerana saya tidak boleh meletakkan rod besi sebagai struktur, sebaliknya hanya perlu menggunakan biskut sahaja,” katanya.

Acara minum teh Malaysia

Penganjuran acara minum teh Malaysia pada bulan lalu merupakan antara pendekatan Syabira untuk mempromosi dan menonjolkan sajian Malaysia kepada masyarakat British.

Walaupun ada yang skeptikal dengan percubaannya itu, namun beliau berjaya membuktikan penganjuran Malaysian Afternoon Tea adalah unik dan berbeza berbanding tradisi di England.

“Semua pinggan licin dan itu bermaksud setiap menu yang dihidangkan kepada tetamu sedap.

“Saya turut dijemput melakukan demonstrasi membuat kek di Food Festivals di seluruh England dan ia menjadi medan terbaik untuk memperkenalkan air tangan saya,” katanya.

Tidak salah berangan

Tidak salah untuk seseorang berangan jika disusuli dengan kesungguhan dan kerja keras.

Angan-angan membuatkan mata, hati dan fizikal individu celik setiap hari.

Prinsipnya, wanita perlu membina kerjaya dan menstabilkan diri supaya mampu berada di rumah membesarkan anak dan masak untuk keluarga.

“Salah satunya adalah dengan be my own boss. Apa jua yang diinginkan, just go for it. Kita tak mahu situasi yang lagi 10 tahun timbul penyesalan kenapa dahulu tidak buat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×