MEMINATI buaya sejak kecil dan mengikuti rancangan Crocodile Hunter di televisyen membuatkan bekas jururawat, Khairul Johari Mohd. Denie,38, bagaikan mendapat lesen besar membela enam ekor buaya jenis Caiman di rumahnya di Kajang, Selangor.
Kongsi Khairul, dia bukanlah suka-suka membela haiwan reptilia itu tanpa sebarang pengetahuan, sebaliknya banyak mempelajari dan mengkaji dengan individu yang mahir mengendalikan buaya.
“Ketika saya kecil, saya suka menonton rancangan popular Crocodile Hunter yang dihoskan oleh Steve Irwin iaitu seorang penjaga zoo Australia. Rancangan itu popular antara 1996 dan 2007.
“Saya minat dia kerana banyak memberi pendedahan, ilmu pengetahuan dan bercerita berkenaan haiwan malah paling banyak tentang buaya kesayangannya. Itu yang membuatkan saya berkobar-kobar dan teruja memiliki buaya peliharaan sendiri,” ujarnya kepada Seri.
Minat itu turut mendorong Khairul memasang impian membuka zoo mini percuma pada suatu hari nanti agar dapat memberikan pendidikan mengenai haiwan-haiwan dalam kalangan kanak-kanak bagi membolehkan mereka mengenal, menyayangi dan melindungi haiwan.
BUAYA CAIMAN TIDAK GANAS, MESRA
Kata bapa tiga anak ini, dia mula memelihara buaya Caiman sebanyak enam ekor sejak hujung 2017 dengan membeli daripada seorang penjual haiwan yang berdaftar dengan perhilitan.
“Kelebihan buaya adalah ia mempunyai daya tahan yang kuat pada penyakit. Kos penjagaan yang mudah, kos makanan murah dan tidak memerlukan perhatian untuk bermain dengan kerap.
“Malah buaya jenis ini tidaklah seganas buaya lain terdapat di Malaysia. Buaya jenis ini banyak dijadikan haiwan peliharaan di luar negara disebabkan sifatnya yang mudah mesra dengan penjaga atau pemiliknya,” jelas Khairul.
Namun ujar tenaga pengajar usahawan ini, buaya sebenarnya bukanlah haiwan yang popular untuk dibela atau dipelihara oleh kebanyakan peminat reptilia.
Ia berikutan buaya adalah haiwan dilindungi di bawah Akta 716 yang mana hanya zoo atau taman buaya sahaja dibenarkan.
“Tetapi untuk buaya jenis Caiman iaitu sejenis buaya mini atau kerdil dan comel ini, ia dibenarkan dibela oleh perhilitan tetapi wajib memohon lesen menyimpan dan sumber haiwan yang sah,” katanya.
Sepanjang pelihara buaya, tidak pernah lagi berlaku apa-apa kecelakaan kerana dijaga dengan betul.
Tambah Khairul, buaya jenis Smooth-fronted caiman (Paleosuchus Trigonatus) boleh membesar kira-kira 1.2 hingga 1.6 meter dan memiliki berat sekitar 10 hingga 20 kilogram sahaja.
“Kekurangan buaya ini adalah daripada segi saiz yang mana buaya ini di negara asalnya di Amerika Selatan, sumber makanan utama adalah manusia, serta haiwan besar seperti jaguar dan anakonda,” katanya.
KOS MAKANAN PERCUMA
Khairul tidak mengeluarkan sebarang kos atau wang untuk makanan buayanya kerana ia boleh didapati secara percuma atau diambil di pasar mahupun kedai runcit.
“Menjaga buaya adalah hampir tiada kos tinggi kerana buaya akan makan apa sahaja yang diberi seperti kepala, kaki, hati dan lain-lain bahagian ayam dua kali seminggu. Bahagian ini saya akan ambil secara percuma di kedai runcit dan pasar berdekatan,” katanya.
Mengulas mengenai aspek kebersihan, Khairul akan menukar air kolam dua minggu sekali atau jika perlu sahaja sebab buaya tidak selesa jika air kolam kerap ditukar.
SEKELUARGA SAYANG HAIWAN
Isteri Khairul, Nurlyana Nazmi Mohd. Nazir, 31 dan tiga anaknya berusia antara tiga bulan hingga lapan tahun turut suka buaya, sekaligus memudahkan impian Khairul untuk memelihara buaya.
“Buaya sama seperti haiwan reptilia lain yang sukakan perhatian.
“Tips bela haiwan reptilia adalah perlu buat kajian terlebih dahulu termasuk daripada segi kos dan perubatan. Sebabnya setiap haiwan mempunyai cara penjagaan yang berbeza,” akhirinya.
TULAR MAKAN TELUR BUAYA
Khairul sebelum ini pernah tular di TikTok apabila merakam video memakan telur buaya goreng dimasak isterinya sehingga menerima komen negatif namun dia kemudian menjelaskan bahawa ia sekadar gurauan untuk melihat reaksi orang ramai.
Sebaliknya dia mengetahui bahawa telur buaya tidak boleh dimakan.
“Bagi saya, perkara sebegini dapat memberi kesedaran dan ilmu baharu kepada orang ramai tentang buaya atau haiwan reptilia,” katanya.










