Wanita pelarian Ukraine cari rezeki menjahit di UK - Utusan Malaysia

Wanita pelarian Ukraine cari rezeki menjahit di UK

PENGASAS projek Made My Wardrobe, Lydia Higginson. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WANITA Ukraine yang menjadi pelarian akibat pencerobohan Russia di negara itu, kini gigih berdikari mencari rezeki dalam bidang jahitan di United Kingdom (UK).

Masa depan golongan wanita itu semakin cerah selepas sebuah syarikat berpangkalan di Bristol tampil menawarkan sokongan bagi membantu meringankan beban pelarian tersebut.

Menerusi projek dikenali sebagai Made My Wardrobe, syarikat itu berjaya membantu kira-kira 10 pelarian wanita dengan mengajar mereka teknik menjahit di bengkel secara bulanan.

Pengasas projek, Lydia Higginson berkata, projek itu mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan pelarian berkenaan.

Bagaimanapun, Higginson mengakui mesin jahit merupakan ‘alat mewah’ yang mustahil diperoleh oleh kebanyakan wanita pelarian tersebut.

Pun begitu, projek ini membantu mengubah kehidupan sehingga mereka mampu menjalankan perniagaan sendiri.

Menurut Higginson, dia bertemu dengan kumpulan wanita itu ketika mereka sedang mengikuti kelas bahasa di bahagian atas bangunan menempatkan bengkel jahitannya.

“Saya masih ingat, ketika itu, wanita tersebut ingin mencuba mesin jahit terdapat di bengkel kami selepas ternampak ketika berjalan melepasi premis.

“Saya dapati ramai wanita pelarian itu merupakan tukang jahit yang hebat, malah ada juga pernah memiliki perniagaan sendiri di Ukraine, namun malangnya mereka tidak dapat membawa mesin jahit bersama ketika meninggalkan negara.

“Pada awal kursus, kesemua wanita itu mempunyai tahap kemahiran berbeza, namun kini mereka benar-benar yakin serta mempunyai banyak idea kreatif,” katanya.

Higginson turut berbangga dengan usaha pelarian bernama Tetyana Ustich yang bekerja keras meningkatkan perniagaannya.

Katanya, kursus bengkel yang ditawarkan untuk orang awam itu, sudah pun membiayai latihan wanita pelarian berkenaan.

“Kami sedang berusaha mendapatkan dana tambahan agar boleh menawarkan latihan sedemikian lagi kerana buat masa ini semuanya dilakukan secara percuma,” katanya.

Dalam pada itu, Ustich mengakui berjaya menubuhkan perniagaan sendiri sejak menyertai kursus jahitan di bengkel berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada Higginson kerana memberikan sokongan kepada kami termasuk menawarkan maklumat untuk mendapatkan mesin dan peralatan menjahit.

“Ketika berada di Ukraine, saya menjalankan perniagaan sendiri menjual pakaian dan kelengkapan bayi.

“Kini, saya berjaya membuka perniagaan di sini yang dikenali sebagai Twinkle Leo menerusi hasil bantuan projek ini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya