Konsep 8-8-8 jadi amalan Dr. Affa - Utusan Malaysia

Konsep 8-8-8 jadi amalan Dr. Affa

Sharifah Nur’ Insyirah menyarankan orang ramai melakukan amalan pemakanan sihat dengan menyediakan sendiri hidangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBANYAK 70 peratus kes kemurungan dan keresahan direkodkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tahun lalu.

Peratusan itu merupakan yang tertinggi di seluruh negara diikuti Johor (44 peratus), Labuan (33 peratus) dan Sabah (23 peratus).

Kos sara hidup tinggi, miskin bandar, masalah perhubungan dengan ibu bapa dan rakan sebaya, antara faktor penyumbang kepada gejala tersebut.

Bimbang dengan situasi itu, Datin Dr. Sharifah Nur’ Insyirah Saifuddin Shah, 30, mahu semua pihak memberi perhatian serius terhadap peningkatan kes berkenaan.

Malah beliau percaya, masalah itu boleh diatasi jika individu mempunyai masa untuk diri sendiri sekali pun dihimpit kesibukan tugasan harian.

“Wanita berhak ada hobi, aktiviti diminati atau meluangkan masa bersama rakan-rakan sekurang-kurangnya sekali seminggu atau sebulan sekali bagi tujuan self healing.

“Saya pun tidak terkecuali terdedah kepada tekanan kerana beban kerja tinggi dan waktu tugasan yang panjang.

“Namun, dalam kesesakan itu, saya tetap akan meluangkan sedikit masa bersenam atau menonton wayang kerana aktiviti tersebut dapat mengalihkan rutin lazim dan tugas serta tanggungjawab di tempat kerja,” katanya kepada Seri di pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tanggungjawab seorang doktor bukan sekadar mengendalikan pesakit, sebaliknya perlu berurusan dengan waris di samping pihak atasan di hospital.

Sehubungan itu, pengurusan masa yang bijak amat penting bagi membolehkan wanita lari seketika daripada tekanan dan dapat melakukan self healing.

Katanya, konsep 8-8-8 mula dijadikan sahabat karib sejak mengikuti latihan klinikal di Kota Kinabalu, Sabah hingga memasuki alam pekerjaan dan berumahtangga kini.

Menerusi konsep itu, lapan jam diperuntukkan untuk rehat dan tidur manakala lapan jam lagi untuk bekerja.

“Bakinya saya bahagikan untuk melakukan hobi atau keluar bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Kawan-kawan pelik bagaimana saya boleh mengambil lesen selam skuba ketika bergelar doktor pelatih kerana mereka tahu bidang tugasan kami mencabar dan berdepan dengan pelbagai tugas,” katanya yang turut memiliki Sijil Estetik Malaysia (MAC).

Tenang bila bersukan

Isteri kepada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah itu berkata, bersukan membantu memberikannya ketenangan dan kelegaan.

Antara aktiviti rutin dilakukan ialah berjoging lima kilometer setiap pagi sebelum ke tempat kerja di samping aktif berbasikal, mendaki dan berlari dalam hutan pada hujung minggu.

“Pada saya setiap aktiviti memberikan ketenangan, malah bersukan bagus untuk kesihatan mental kita.

“Hasil bersukan juga jelas dilihat apabila diri makin sihat dan dapat mencapai keseimbangan kerja-hidup yang diidamkan,” katanya.

Kesihatan pelaburan hari tua

Wanita kacukan Pakistan, Arab dan India di sebelah bapa manakala Melayu, Cina Belanda di sebelah ibu itu berkata, menjaga kesihatan merupakan pelaburan hari tua seseorang.

Hatinya sering tersentuh melihat pesakit dengan pelbagai kondisi kesihatan dan terpanggil untuk mengambil tanggungjawab mendidik masyarakat, memupuk kesedaran di samping berkongsi ilmu untuk kebaikan bersama.

“Saya mahu kita semua masih boleh beraktiviti pada usia 40 tahun di samping mampu mendukung cucu ketika mencecah 50 tahun dan masih boleh bersolat dengan sempurna di umur 60 atau 70 tahun.

“Untuk mendapatkan semua itu, penjagaan kesihatan perlu bermula daripada sekarang demi pelaburan hari tua kita.

“Ini termasuklah menjalani saringan pencegahan kanser serviks atau pangkal rahim, pap smear dan mamogram,” katanya yang pernah berpengalaman mengalami masalah berat badan.

Ziarah Sihat rakyat Paya Besar

Bagi memudahkan masyarakat mendapat perkhidmatan kesihatan, beliau turut menyediakan pemeriksaan secara percuma buat rakyat di Parlimen Paya Besar.

Sehingga kini bertambah ramai penduduk mendapat manfaat menerusi program Ziarah Sihat yang dirintis di bawah inisiatif Ziarah Kasih cetusan idea suaminya.

“Program ini ibarat serampang dua mata bagi membantu golongan sasar dari segi bantuan kebajikan di samping kesihatan mereka.

“Sejak kecil saya berminat menjadi doktor kerana mahu menolong orang dan memberi nasihat. Menerusi platform ini, saya dapat meluaskan lagi khidmat bakti kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Makan sihat, bawa bekal

Sharifah Nur’ Insyirah turut menyarankan masyarakat untuk melakukan amalan pemakanan sihat dengan menyediakan sendiri hidangan.

Langkah itu katanya, membantu seseorang mengawal saiz makanan dan pengambilan kalori.

“Apabila suami balik kawasan, kami dapat banyak jemputan program dan dihidangkan dengan pelbagai makanan kadang-kadang sampai 10 kali makan dalam sehari.

“Jadi di rumah kita biasanya buat proses detoks tubuh dan kawal kembali pemakanan. Saya akan bekalkan makanan sihat seperti overnight oats, wrap ayam atau quinoa dan lauk, untuk suami bawa ke pejabat,” katanya.

Ada masanya sajian bekal makanan turut diberikan kepada kakitangan suami, jika dimasak dalam kuantiti banyak.

Buka klinik estetik

Wanita tinggi lampai ini turut berkongsi hasrat, membuka klinik sendiri pada tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, lokasi masih belum ditentukan sama ada di Putrajaya, Cyberjaya atau Kuantan.

“Buka klinik tidak mudah tetapi saya sedang bergerak ke arah itu.

“Sejak bulan lalu, saya tidak lagi berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan dan berada di bidang estetik serta membuat lokum,” katanya.

Estetik antara bidang diminati selain perubatan am.

Terjun bungee, udara

Di sebalik wajah jelita dan kelembutannya, percaya atau tidak beliau berani melakukan aktiviti mencabar adrenalin.

Pada usia semuda 23 tahun, Sharifah Nur’ Insyirah pernah membuat terjunan bungee ketika melancong ke New Zealand bersama keluarganya.

“Saya seorang yang sukakan cabaran dan alam semulajadi. Bagi sesetengah orang percutian mereka mungkin beristirehat tetapi berbeza dengan saya dan suami yang melakukan aktiviti lasak seperti meneroka gua dan selam skuba.

“Sayalah memujuk suami untuk bersama-sama melakukan terjunan udara di samping menawan Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×