Suami lebih suka dengar cakap kawan, berbanding isteri? - Utusan Malaysia

Suami lebih suka dengar cakap kawan, berbanding isteri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suami isteri selayaknya berperanan sebagai aur dengan tebing yang sangat berkasih-kasihan serta mempunyai perhubungan yang sangat akrab.

Namun, dalam konteks perkongsian masalah, dapat diihat suami lebih mengutamakan rakan atau orang lain daripada isteri sendiri.

Sedangkan, bukankah isteri adalah orang yang paling rapat dan berkongsi ‘sebantal’ bersama suami?

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Kluster Pembangunan Profesional Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr. Rusni A. Ghani berkata, perkara sedemikian berlaku disebabkan oleh beberapa isu dalam hubungan intim yakni hubungan suami isteri.

Perkara utama yang menjurus kepada permasalahan itu adalah berkaitan dengan isu egocentrism.

Ia bermaksud kebanyakan lelaki tidak membuka pekung di dada atau permasalahan kepada isteri disebabkan oleh mereka ingin melindungi ego diri mereka.

“Mereka takut sekiranya mereka menceritakan permasalahan itu, ego yang merujuk diri mereka itu hilang.

“Selain itu, ada juga pasangan yang bimbang mereka akan kehilangan identiti jika berbual terlalu banyak dengan pasangan,” katanya kepada Seri.

Mengulas lanjut, Rusni berkata, perkongsian masalah atau apa sahaja isu sememangnya akan memberikan impak komunikasi yang lebih baik dalam satu-satu perhubungan.

Selain mengeratkan perhubungan, ia juga akan menjadikan suami atau isteri merasa lebih dihargai.

Justeru katanya, bagi isteri yang berdepan dengan masalah berkaitan suami sering meluahkan permasalahan dengan orang luar boleh menggunakan beberapa tips yang dikongsikan.

Antaranya, menggunakan penyataan saya agar dapat membina komunikasi yang efektif bersama pasangan.

Katanya, ia adalah salah satu kaedah yang baik dalam menyampaikan hasrat hati tanpa rasa insecure.

“Penyataan saya adalah berkisarkan tentang perasaan diri sendiri. Bercakap mengenai apa yang anda rasa.

“Misalnya, isteri geram suami sering berkongsi masalah dengan orang lain sahaja. Jadi, isteri boleh meluahkan perasaan dengan mengatakan dia rasa sedih atau rasa tidak dihargai bila suami berbuat demikian.

“Berbanding jika komunikasi biasa di mana isteri bertanya kenapa suami bersikap sedemikian, adakah sebab tidak hargai dan sebagainya akan menjurus kepada situasi menuduh dan akhirnya berlakunya salah faham,” jelasnya.

Tambahnya, komunikasi tidak efektif itu akan menimbulkan situasi tuduh-menuduh yang akhirnya menyebabkan suami menjadi lebih marah apabila egocentrism mereka terjejas.
Dalam pada itu, penting juga untuk melihat kepada petunjuk hubungan yang sihat antara suami dan isteri.

Hubungan meningkatkan interaksi antara pasangan.

“Antara prinsip dalam hubungan yang sihat adalah kepercayaan, kebersamaan dan sukarela.

“Kalau ada elemen-elemen ini pasangan selalunya lebih terbuka untuk bercerita dan berkongsi sesama sendiri. Jika tiada itu yang menyebabkan pasangan lebih suka bercerita dengan orang lain,” kongsinya.

Tidak mahu dilihat lemah

Penceramah Motivasi, Fadzli Aziz berkata, kebanyakan lelaki tidak berkongsi masalah dengan pasangan kerana tidak mahu dilihat sebagai seorang yang lemah.

Selain itu, mereka juga bimbang sekiranya isteri akan berfikir secara berlebihan mengenai masalah yang dihadapi.

“Suami kalau boleh memang dia nak cerita dekat isteri, sanggup berkongsi sisi yang lemah.

“Cuma mereka mahukan isteri untuk percaya kepada mereka sebagai ketua keluarga,” jelasnya.

Mengenai kemungkinan perlakuan sedemikian boleh melukakan hati isteri, katanya, ia bergantung kepada isteri untuk mentafsirkannya.

Sebaiknya, bagi mengelakkan perasaan negatif, isteri harus mengambil langkah berfikir secara lebih rasional.

“Kalau isteri lihat suami macam lebih suka bercerita dengan orang luar, kita berfikir sejenak, mungkin suami tidak mahu kita berfikir berlebihan.

“Yakin bahawa tidak semua perkara yang disembunyikan itu negatif. Daripada sudut pandang saya sebagai lelaki, lelaki kebiasannya bercerita kepada orang yang dia yakin boleh memberikan solusi,” jelasnya lagi.

Tambahnya, isteri juga boleh memulakan slow talk atau mewujudkan suasana yang memudahkan suami untuk bercerita sekiranya mahu suami mula berkongsikan permasalahan atau meminta pendapat.

“Bila isteri wujudkan suasana yang mudahkan suami untuk bercerita, tidak mustahil pada masa akan datang suami akan lebih terbuka unutk berkongsi,” jelasnya lagi.
Tegasnya, kadangkala karakter seorang isteri memberi kesan kepada ego seorang suami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya