Usah gaduh bab resipi, kaedah memasak - Utusan Malaysia

Usah gaduh bab resipi, kaedah memasak

GOLONGAN wanita bergotong-royong memasak makanan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pandan di Parit Raja, Batu Pahat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang kawan saya berasal dari sebuah negeri (tidak perlu saya dedahkan), sanggup balik kampung pada pagi raya daripada balik awal, bagi membantu melakukan tugasan memasak.

Kalau ada keperluan membantu, dia memilih membuat kerja lain seperti seperti membersihkan laman rumah atau memasang langsir.

Katanya dia tak tahan berada di dapur bergotong royong dengan ipar duai memasak sambil diketuai ibu mentuanya yang bertindak sebagai ketua cef.

“Mak mentua aku, bukan saja salah potong bawang, dia bising, ‘skip’ kaedah memasak pun, boleh dia mengungkit berhari-hari. Nasiblah merendang setahun sekali, pada Hari Raya. Kalau hari-hari, maunya aku kemurungan. Dah tua-tua ni, aku tak suka kena bebel,” katanya yang mengakui tersinggung dengan teguran ibu mentuanya itu kepada saya.

Bukan membenci tetapi dia cuma berkongsi apa yang dirasakan.

Lagipun apa yang diperkatakan itu bukanlah rahsia. Hampir setiap tahun bila berbicara mengenai Aidilfitri, pasti ungkapan sama diulangnya.

Cumanya sekarang agak berbeza. Ibu mentuanya yang menjangkau usia 60 tahun itu tidak lagi sihat, selepas diserang angin ahmar akibat tekanan darah tinggi tidak terkawal tiga tahun lalu.

Terlantar dan tidak lagi mampu bertindak sebagai ketua cef.

Atas sebab itu kawan saya tidak punyai pilihan, melainkan menyingsing lengan turun ke dapur dan memasak. Dia juga tidak lagi rungsing bila berbicara soal memasak rendang di Aidilfitri. Sedap atau tidak bukan persoalannya yang penting meraikan Aidilfitri.

Tidak dinafikan ada segelintir wanita yang begitu menjaga tertib dalam kaedah memasak khususnya dalam menyediakan juadah sentimental di hari penuh bererti seperti Hari Raya. Kalau resipi kata A, A lah dia, tak sanggup derhaka kepada resipi.

Saya sukakan pendekatan yang praktikal. Kalau tiada buah kelapa untuk diperah santannya, pakai sahaja santan kotak. Tak adalah saya nak kemurungan dan bermasam muka dengan suami hanya kerana gagal mencari kelapa.

Isu resipi ini turut menarik perhatian bila baru-baru ini tular Pakar Kesihatan, Dr. Rafidah Abdullah memuat naik ciapan pempengaruh media sosial, Khairul Aming untuk mengurangkan penggunaan minyak masak dan memperbanyakkan resipi masakan sihat sekali gus peka dengan masalah rakyat Malaysia.

Khairul Aming menerima teguran itu dengan hati terbuka, sambil menjelaskan kaedah ditunjukkan dalam video masakan adalah realiti sebenar cara penyediaan sesuatu makanan dan terpulanglah kepada penonton untuk mencuba, mengubah atau mengurangkan penggunaan bahan tertentu mengikut citarasa masing-masing.

Biarpun jumlah penghidap diabetes di negara ini tinggi, tetapi saya kira ramai lagi yang sudah ada kesedaran mengenai pemakanan sihat. Janganlah kerana nak ikut resipi asal, kita lupa menjaga hati orang lain. Makanan tak pernah salah, yang salah adalah individu.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya