Ramai isteri ‘angkat kaki’ bila suami tak setia? - Utusan Malaysia

Ramai isteri ‘angkat kaki’ bila suami tak setia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Cubalah untuk setia’ nyanyian penyanyi Indonesia, Krisdayanti mungkin sekadar halwa telinga kepada yang mendengarnya. Bagaimanapun, ada isteri mahupun suami yang sedang melaung dan merintih penuh makna kepada pasangan masing-masing demi mempertahankan sebuah perkahwinan.

Suami tidak lagi bertang­gungjawab menyediakan nafkah zahir dan batin, memberi layanan yang baik, menghormati serta mendidik isteri. Manakala bagi pihak isteri pula tidak mentaati, melayan malah hilang hormat terhadap suami.

Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Azhani Arshad, setiap perkahwinan mempunyai cerita suka dan duka masing-masing.
Banyak usaha dilakukan setiap pasangan dalam memastikan perkahwinan itu kekal.

Sebab itu, suami atau isteri yang berdepan dengan masalah akan bertanya, ‘selama mana saya harus bersabar?’ Ada juga yang menyatakan bahawa sabar ada hadnya, persoalannya apakah had kesabaran atau kayu ukurnya?

“Apabila sesuatu perkara yang berlaku ke atasnya melebihi had kesabaran, maka dia berpendapat adalah wajar untuk bertindak balas. Kita tidak tahu setakat mana had sabar kerana ia bergantung kepada situasi dan keupayaan individu. Sabar itu letak di hati, jadi tepuk dada tanya hati masing-masing.

“Yang pasti semua perkahwinan dan pasangan pernah melalui dilema untuk kekal setia dan sabar mengharungi ujian demi ujian dalam perkahwinan. Tidak setia dalam perkahwinan selalunya merujuk kepada curang oleh mana-mana pihak sama ada pihak suami atau isteri,” katanya kepada Seri.

ISTERI ANGKAT KAKI BILA SUAMI CURANG

Ada pelbagai sebab pasangan mempertahankan perkahwinannya sungguhpun kadangkala sudah tiada hati.

Usaha itu ada baik dan buruknya kerana masing-masing mempunyai alasan tertentu, namun biasanya tidak akan bertahan lama kerana had kesabaran yang menipis.

“Pasangan boleh meletakkan kesetiaan dan kesabaran tertakluk kepada matlamat perkahwinan. Apabila tiada lagi perasaan tenteram dan kasih sayang dalam perkahwinan tersebut, ia mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi akan mengakibatkan berlakunya kemudaratan meliputi penderaan psikologi dan emosi.

“Sebab itu, wanita lebih cenderung untuk membawa diri atau dalam erti kata lain tidak mahu meneruskan perkahwinan sekiranya suami curang atau tidak setia kerana jiwanya sudah kacau bilau dan tidak aman,” katanya.

Beliau merujuk kepada Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2016 yang melaporkan sebanyak 11.8 peratus lelaki manakala 20.5 peratus wanita mahukan perceraian kerana pasangan mereka curang.

MENOKTAHKAN KESETIAAN

Azhani berkata, dalam sesuatu perkahwinan atau perhubungan, kesetiaan dan kesabaran perlu diletakkan titik noktah apabila tujuan suatu perkahwinan sudah tidak lagi mencapai matlamat asal tuntutannya dalam Islam.

Lebih malang lagi, apabila perkahwinan tidak lagi berfungsi untuk mencapai matlamat sehingga sampai satu tahap memudaratkan pihak lain terutama anak-anak dan ahli keluarga maka ini jelas bertentangan dengan matlamat asas pensyariatan sesuatu hukum.

“Setiap urusan agama dibina demi menjamin kemaslahatan dan menolak keburukan. Oleh yang demikian, kemudaratan atau darar syarie yang berbentuk penganiayaan atau menyakiti atau menyeksa khususnya terhadap lima asas manusia yang telah digariskan oleh syarak iaitu agama, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau keturunan dan harta benda perlu dihindari.

“Lebih bahaya adalah apabila suami seorang yang sering curang dan bertukar pasangan atau mengamalkan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam serta boleh memberi mudarat kepada kesihatan fizikal dan emosi isteri.

“Maka adalah lebih baik untuk meninggalkannya atau meletakkan titik noktah dalam perhubungan. Ini kerana menjaga kepentingan diri adalah tanggungjawab individu kepada diri sendiri serta mengatasi segalanya. Sebab itu, perceraian disyariatkan walaupun amat dibenci oleh Allah SWT namun ia adalah jalan terbaik untuk menghindari daripada kemudaratan yang lebih besar,” katanya.

Tambah beliau, suami mahupun isteri harus berpegang pada janji setia dan bersabarlah selagi mana mampu melakukannya kerana perkahwinan adalah suatu perbuatan yang dianjurkan oleh agama Islam serta dianggap sebagai ibadat.

“Mempertahankan perkahwinan dengan kesetiaan dan kesabaran adalah suatu ibadat. Bagaimanapun, kesetiaan biar bertempat. Andai kesetiaan tidak lagi dihargai dan selari dengan kehendak Allah maka langkah terbaik adalah dengan mengundur diri menurut syariat yang telah dianjurkan,” katanya.

USAH PENDAM RASA

Kaunselor Berdaftar dan Pengarah Eksekutif di Nuur Counselling and Training Centre (Nuur Centre), Mahirah A. Rashid berpendapat, pasangan suami isteri perlu bersabar dalam mengharungi onak duri rumah tangga.

Kadangkala hanya dengan alasan yang tidak munasabah pun menyebabkan perkahwinan yang dibina, runtuh. Sementelah lagi jika seseorang membelakangkan kesetiaan pasangannya.

Katanya, dalam memperteguh dan mempertahankan hubungan perkahwinan ini, kedua-dua suami dan isteri perlu mempunyai sifat sabar.

“Sabar bukan bererti tidak berbuat apa-apa, sebaliknya kuat menghadapi keperihan yang dialaminya dan tidak terburu-buru dalam tindakannya.

“Contohnya kalau pasangan mengetahui sebuah kecurangan, mereka perlu terlebih dahulu menentukan kebenarannya.

“Selidik punca dan cari penyelesaiannya. Ini termasuklah berusaha memperbaiki kelemahan diri dan berinteraksi dengan pasangan dalam mencari solusi.

“Sesuaikan diri dengan sebarang perubahan termasuk ke arah pembubaran perkahwinan sekiranya perlu,” katanya.

Tambah beliau, sekadar memendam rasa dan membiarkan keadaan berlalu tidak sedikit pun akan memberi manfaat kepada perkahwinan dan diri sendiri.

“Sekiranya pasangan merasakan berhadapan dengan masalah untuk berinteraksi antara satu sama lain dengan baik, ambillah jalan berjumpa dengan kaunselor bagi mencari solusi bersama untuk mengatasi isu yang berlaku.

“Komunikasi efektif merupakan elemen penting dalam keharmoniaan rumah tangga. Sekiranya terjejas, ia boleh membawa kepada keadaan yang lebih buruk yang mungkin boleh membawa hingga ke tahap menzalimi diri sendiri mahupun pasangan seperti berlaku curang,” katanya.

Mahirah berkata sekiranya kecurangan berlaku, beberapa langkah perlu diambil.

“Pertama, mesti berterus-terang dengan pasangan supaya kedua-dua mengetahui dan bersedia dengan risiko yang dihadapi sekali gus tidak mendatangkan mudarat kepada pasangannya itu.

“Kedua, perlu membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk merawat atau mencegah penularan Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan penyakit kelamin lain. Ketiga, meningkatkan penjagaan kebersihan terutamanya sebelum dan selepas melakukan hubungan seks. Keempat, menggunakan kondom semasa berhubungan seks.

“Namun, paling utama ialah segera bertaubat kepada Allah SWT dengan meninggalkan dosa besar itu dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya lagi.

“Mohonlah kemaafan daripada pasangan. Semoga rumah tangga dibina dirahmati dan diberkati Allah SWT,” katanya.

Bagi pasangan yang dikurniakan dengan suami atau isteri setia, mereka perlu bersyukurlah dan belajar untuk saling menghargai.

Namun sekiranya diuji, bantulah diri dan pasangan untuk mencari jalan bagi merealisasikan matlamat berumah tangga. Selebihnya, berserahlah kepada Allah SWT agar ditakdirkan yang terbaik untuk semuanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya