'Modal niaga ketuhar lama, RM80’ - Utusan Malaysia

‘Modal niaga ketuhar lama, RM80’

MINAT berniaga menjadi kunci kejayaan Risha.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada tahun 2018, Sugarie dimulakan di sebuah rumah di Subang dengan berbekalkan sebuah ketuhar gelombang mikro lama serta wang RM80.

Tujuan utama tidak lain tidak bukan adalah untuk menjana pendapatan sampingan bagi membiayai yuran pengajiannya sendiri.

“Mak saya ibu tunggal dan kami bukan daripada keluarga orang senang. Walaupun dapat bantuan pinjaman pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun ia tidak mencukupi untuk menampung kos pengajian.

“Banyak benda yang perlu dibayar, jadi saya fikir lebih baik saya cari pendapatan sampingan sendiri untuk tidak menyusahkan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Sejak berusia 15 tahun lagi, anak kedua daripada tiga beradik ini sudah mempunyai minat dalam membuat kek dan biskut.

Kek-kek yang dihasilkan secara suka-suka itu kemudiannya dijual kepada rakan-rakan di sekolah.

Pengalaman menjual kek itu seterusnya digunakan ketika meneruskan pengajian di menara gading bagi menampung yuran pengajiannya.

Tambah graduan jurusan Medical Laboratory Technology dari Ramsay Sime Darby Healthcare College itu, rezeki memihak kepada dirinya apabila buat pertama kalinya dia mendapat tempahan sebanyak 100 kotak bronis daripada syarikat korporat.

“Ketika itu saya memang bergelut untuk siapkan tempahan kerana waktu itu adalah sehari sebelum peperiksaan akhir.

“Sambil menyiapkan bronis dengan bantuan keluarga, saya juga menelaah pelajaran dalam masa yang sama. Memang susah tetapi saya tahu saya kena lakukan dan boleh lakukan,” jelasnya.

Pertama di Malaysia

Jerih payah anak kedua daripada tiga beradik itu akhirnya membuahkan hasil yang manis apabila berjaya mencuri perhatian orang ramai dengan penghasilan biskut pertamanya, Nutella Stuffed Cookies.

“Pada waktu itu, kami merupakan jenama pertama dari Malaysia yang menghasilkan biskut sedemikian sehingga berjaya menarik perhatian komuniti di Subang Jaya.

“Bermula dari situ kami mula meraih populariti dan bermulalah empayar Sugarie daripada sebuah rumah ke sebuah kedai,” ujarnya lagi.

Dia juga bersyukur apabila perniagaan yang diuruskan bersama rakan kongsi yang dikenali sebagai Zidane itu sehingga kini berjaya mencipta lebih 30 jenis perisa biskut termasuk biskut s’mores yang menjadi antara jualan paling laris.

Wujud Keraguan

Memulakan perniagaan di usia yang begitu muda sudah pasti mendapat perspektif berbeza daripada orang sekeliling.

“Ramai yang tanya saya awak tidak mahu bekerja kah? Sebab saya muda lagi.

“Tapi saya pula berfikir, sebab saya masih mudalah saya patut mencuba. Kalau gagal sekali pun saya tidak rugi apa-apa,” katanya.

Tekad dalam diri wanita berusia 24 tahun itu sedikit sebanyak membantu dirinya untuk kekal relevan sehingga kini.

Tidak pernah putus asa dan sentiasa memikirkan perkara-perkara baharu dalam perniagaan yang diusahakan, menjadikan dirinya sentiasa berada di hadapan.

“Memulakan perniagaan itu tidaklah susah, tetapi mengekalkan perniagaan itu yang susah kerana sampai satu tahap ia akan berada di garisan mendatar.

“Sampai satu tahap saya duduk bersendirian dan memikirkan apa lagi yang perlu dilakukan untuk merancakkan kembali perniagaan sehingga timbulnya idea untuk menghasilkan kotak rekaan sendiri,” jelasnya.

Kotak cantik antara tarikan Sugarie.

Kotak rekaannya itu akhirnya membantu jenamanya untuk bangkit semula sebagai satu jenama yang premium.

Kehadiran kotak comel itu membantu menjadikan bungkusan biskut menjadi lebih cantik dan sesuai untuk dijadikan hadiah.

“Selepas itu saya perasan beberapa jenama biskut juga muncul dengan kotak sendiri. Sebelum itu tidak ada.

“Sebab itu saya selalu tekankan rupa dan penjenamaan produk supaya mendapat tempat di hati pelanggan dan berada di tahapnya tersendiri,” katanya yang kini mampu menjual 120 kotak biskut sehari.

Cari motivasi

Selain sentiasa menjadi kreatif dalam menghasilkan perisa biskut baharu, Risha juga sering mencari motivasi diri supaya terus kekal positif dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan.

Katanya, biarpun kadangkala keletihan, namun minat dalam dunia berkenaan adalah kunci kejayaannya.

“Bila saya berada di tahap terendah pada diri saya, saya sentiasa mendapatkan nasihat daripada abang saya yang juga seorang usahawan.

“Ibu juga sering memberikan kata-kata semangat untuk saya terus maju sehingga sejauh ini. Kata ibu takkan saya hendak berhenti apabila saya sudah pun berada di tahap sekarang ini,” kongsinya lagi.

Belajar tanpa henti

Dalam perniagaan, pemasaran adalah yang paling utama. Sebab itu, Risha tidak pernah berhenti belajar cara untuk mempromosikan jenamanya.

Biarpun sudah bergelar pemilik bakeri, namun dia masih sahaja bekerja sebagai pegawai pemasaran media sosial di sebuah syarikat swasta.

Katanya, ilmu dipelajari di sana dalam masa yang sama dapat dimanfaatkan dalam perniagaannya.

“Bagi saya, belajar daripada pengalaman adalah yang terbaik, sebab itu saya tidak pernah berhenti belajar untuk memajukan perniagaan yang dimulakan sejak lima tahun lalu.

“Selain itu, saya turut menggunakan media sosial sepenuhnya untuk menjalankan promosi.

“Kejayaan kami pada hari ini juga adalah atas sokongan daripada pelanggan yang setia menyokong kami daripada mula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya