Hati berdebar-debar ketika mendekati susuk tubuh kurus tinggi ini. Pertemuan dengan beliau di satu majlis di Petaling Jaya baru-baru ini pun, memang tidak dirancang sama sekali.
Kebetulan penganjur memaklumkan kehadirannya dan mempelawa untuk mengambil peluang itu bagi menemuramah doktor wanita yang cukup terkenal dengan ketegasannya terutama dalam isu membabitkan penjagaan kesihatan.
Suaranya menerusi ciapan di akaun Twitter dan Facebook sememangnya lantang, tapi bukan sebarangan kerana semuanya bagi memperjuangkan hak dan kesedaran khususnya dalam kalangan pesakit buah pinggang.
Seringkali kelantangan Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Dr. Rafidah Abdullah dalam menegur sesuatu perkara, mencetuskan kontroversi. Malah kata-kata tegasnya menjadi perhatian pengamal media dan menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen.
Dr. Rafidah tidak pernah jemu menangkis setiap dakwaan yang dianggap boleh mengancam kesihatan pesakit. Tanpa berselindung di sebalik kata-kata manis, tegurannya garang tepat menuju sasaran.
“Saya tak garanglah tetapi tidak teragak-agak memberikan pandangan daripada sudut kesihatan kalau perkara itu ternyata boleh mengancam kesihatan orang ramai. Nak terima atau tidak, terpulanglah. Saya tidak kisah kalau orang tidak suka apa yang saya cakap dan tegur,” katanya kepada Seri.
Ujarnya, sudah berbuih mulutnya mengingatkan orang ramai, terutama pesakit supaya tidak termakan dakwaan melampau dibuat sesetengah pengeluar produk makanan dan minuman kesihatan.
Lantaran kebanyakan produk makanan kesihatan tidak mempunyai bukti berkesan seperti apa yang didakwa mampu mengurangkan masalah penyakit.
Apa yang membimbangkan kandungan produk terbabit boleh mengancam kesihatan individu yang mengambilnya. Lebih menyedihkan, ia memburukkan lagi penyakit sedia ada terutama dalam kalangan pesakit kronik seperti kencing manis dan kegagalan buah pinggang.
IBU PENDORONG LAWAN MITOS
Di sebalik ketegasannya dalam isu penjagaan kesihatan, pemergian ibu tersayang jadi pendorong lawan mitos penyakit buah pinggang.

“Saya menyimpan kisah duka. Di mana mak saya berdepan dengan kegagalan buah pinggang dan meninggal dunia selepas beberapa tahun berjuang melawan penyakit itu. Arwah pergi ketika dunia berdepan pandemik Covid-19. Ketika itu, saya turut bersama barisan hadapan di Hospital Putrajaya untuk merawat pesakit.
“Apa yang menyedihkan, saya tidak dapat pulang menjenguknya ketika sakit kerana tidak berani mengambil risiko menjangkitkan virus itu kepada keluarga apatah lagi ibu saya. Memang sepanjang tempoh pandemik, kebanyakan masa barisan hadapan di hospital,” katanya.
Pengalaman kehilangan ibu akibat penyakit itu, membuatkan Dr. Rafidah terus bertekad untuk terus berjuang bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit kegagalan buah pinggang.
“Biarlah orang nak kata saya garang asalkan apa yang saya cakap itu benar. Saya tak sanggup tengok pesakit terus ‘ditipu’ terutama golongan warga emas sehingga keadaan buah pinggang mereka semakin tidak terkawal. Akibat percaya dengan iklan produk makanan tambahan, bertambah sakit.
DALAMI PALIATIF
Bagi kebanyakan orang, sudah cukup berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Namun bagi Dr. Rafidah, biarpun sudah bergelar pakar perubatan nefrologi, ia bukan penghalang untuk beliau mempelajari cabang ilmu perubatan lain.
Dalam kesibukannya dengan tugas hakiki, Dr. Rafidah memperuntukkan masa mendalami bidang rawatan paliatif iaitu bidang penjagaan untuk pesakit kronik seperti kegagalan organ, kanser, jantung dan sebagainya.
Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang berkenaan dan menerima Ijazah sarjana (MSc) Perubatan Paliatif daripada King’s College London pada tahun 2019.
“Semuanya didorong oleh semangat ibu. Saya melihat bagaimana arwah berjuang dengan penyakitnya. Ini menimbulkan keinginan kepada saya untuk mendalami bidang ini. Paliatif adalah untuk menambahbaik kualiti hidup pesakit yang menderita penyakit kronik.
“Menerusi penjagaan paliatif ini, ia membantu pesakit menjalani hidup lebih selesa dengan penyediaan sokongan fizikal, mental dan semangat kepada mereka dalam berdepan penyakit yang mereka alami setiap hari. Mereka mungkin tidak boleh sembuh sepenuhnya tetapi mereka boleh hidup selesa dengan penjagaan yang lebih baik,” katanya.
JOGGING SETIAP PETANG
“Kalau hendak sihat, kenalah jalani gaya hidup sihat. Pastikan bersenam dan makan makanan disarankan pakar pemakanan. Mencegah penyakit itu lebih baik daripada mengubatinya. Namun, kalau dah sakit, perlu dirawat dengan sewajarnya,” katanya.
Di sebalik kesibukannya merawat pesakit dan pelbagai aktiviti lain, Dr. Rafidah tidak lupa menjaga kesihatan diri sendiri dengan mengamalkan senaman setiap petang dengan berjogging. Jadi, tidak hairanlah badannya kekal ramping dalam usia mencecah angka lima siri.
“Putrajaya banyak taman yang hijau dan sesuai untuk beriadah selepas balik dari kerja. Walaupun sibuk dengan kerja di hospital dan pelbagai aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) lain, saya pastikan ada masa terluang untuk berjogging setiap petang lepas habis bekerja,” katanya.
Sedari awal sudah diingatkan perbualan tidak boleh menyentuh hal peribadi. Sememangnya Dr. Rafidah tidak berapa gemar bercakap mengenai suami atau anak-anak. Kalau boleh beliau hanya ingin bercakap mengenai apa yang dilakukannya dalam dunia perubatan.
“Cukuplah kalau saya seorang saja yang jadi mangsa kecaman netizen atau sesiapa saja yang tidak berpuas hati dengan saya. Saya tidak mahu keluarga terseret sama. Saya tidak mahu apa yang berlaku pada teman saya, menimpa keluarga saya.
“Kadang-kadang ada saja yang tidak kena bagi pandangan orang luar. Lebih mengecewakan mereka sanggup mengata sesuatu yang tidak patut mengenai anak kecil, seakan diri mereka terlalu sempurna berbanding orang lain. Jadi, saya lebih suka tidak mendedahkan mereka,” katanya.
Tambahnya beliau bersyukur kerana kebanyakan ahli keluarganya memahami kerjayanya yang sentiasa sibuk.
Malah mereka tidak pernah mempertikaikan sekiranya beliau sering tidak dapat bersama mereka dalam majlis-majlis keluarga.










