Kadang kala bosan juga melihat dekorasi kediaman yang statik dan sama sepanjang waktu.
Walaupun rasanya sudah banyak melakukan susun atur dan tata rias, tetap saja rasa ada kelompongan di ruang tersebut.
Jika itu terjadi, lihat semula pada bahagian dinding. Bahagian dinding yang polos atau terlalu kosong, kadangkala akan menjadikan kediaman tampak suram dan kurang berseri.
Banyak pilihan hiasan dinding yang boleh dipilih. Antara yang paling mudah adalah memasang frame atau lukisan pada bahagian dinding.
Tetapi, itu mungkin terlalu biasa. Terkini, ramai yang mula menjadikan alas atau lapik meja makan sebagai hiasan pada bahagian dinding.
Trend gaya klasik, Japandi dan Rumah Ladang banyak mewujudkan alas meja yang diperbuat daripada rotan dengan warna semula jadi.
Oleh itu, selain daripada digunakan sebagai alas meja, ia juga boleh dijadikan sebagai hiasan pada dinding.
Hanya memerlukan sedikit susunan dengan saiz berbeza, sudah mampu memberikan sentuhan berbeza pada dinding terutamanya pada bahagian ruang tamu atau ruang makan.
Lebih menarik, kos yang diperlukan juga sangat minimal memandangkan alas meja tidaklah terlalu mahal.
Tinjauan Seri di platform beli-belah dalam talian mendapati, alas meja cantik berasaskan rotan atau bertemakan estetik ini boleh didapati dengan harga bawah RM10 bagi satu unit.
Tips susun atur
* Gunakan kaedah selang-seli antara bentuk dan saiz supaya hiasan tampak lebih menarik.
* Sebaiknya gunakan material daripada rotan atau berwarna coklat bagi mewujudkan suasana lebih estetik.
* Dinding berwarna putih lebih sesuai dipadankan dengan hiasan ini agar corak dan material lebih menonjol.
* Susun aturlah secara memanjang atau membulat mengikut saiz dinding kediaman.










