Tudung mahal beri pulangan tambahan kepada wanita - Utusan Malaysia

Tudung mahal beri pulangan tambahan kepada wanita

Tudung mahal beri pulangan tambahan kepada wanita. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Trend membeli tudung berjenama popular yang berharga ratusan dan ribuan ringgit menjadi ikutan ramai wanita kini. Ada yang sanggup bersaing di platform e-dagang mahu pun beratur di butik semata-mata untuk mendapatkan apa sahaja rekaan baharu mahu pun edisi istimewa yang dikeluarkan.

Keterujaan wanita memborong tudung mahal membolehkan koleksi mereka bertambah dalam masa singkat. Pendek kata, semakin banyak helaian yang tersusun di rak, maka semakin besar wang yang dihabiskan.

Ada yang melabel hobi ini sebagai membazir, namun hakikatnya ia mampu memberi pulangan tambahan kepada kaum hawa. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azmawani Abd. Rahman ada jawapannya.

1) Jual semula tudung mahal boleh peroleh pendapatan?

Ya. Selain meningkatkan pendapatan, mereka turut berpeluang menambah kenalan dan memperluaskan jaringan perniagaan di media sosial.

2)Ada tudung dijual lebih mahal berbanding harga sebenar terutama bagi koleksi terhad.

Edisi terhad lazimnya bernilai tinggi jika dijual semula. Ada wanita yang sanggup berbelanja besar untuk membeli tudung mahal terpakai kerana rekaan dan kualiti.

3)Kenapa tudung preloved berjenama mendapat sambutan?

Pertama, kebanyakan tudung yang dijual semula itu umpama masih baru, malah ada juga yang belum pernah digunakan pemiliknya.

Kedua, kaedah ini memberi peluang buat wanita untuk memiliki tudung premium pada harga lebih rendah berbanding nilai asal.

Faktor ketiga pula ialah menawarkan pilihan kepada wanita berkerjaya untuk menggayakan tudung berbeza bagi acara atau majlis tertentu.

4)Adakah aktiviti jual beli koleksi peribadi ini menjadi trend wanita di seluruh dunia?

Aktiviti jualan barangan preloved sudah lama wujud misalnya menerusi acara car boot sale dan trend ini bertambah rancak kini dengan kewujudan pelbagai platform digital termasuk di penjualan terus di laman sosial penjual.

5)Kelebihan kerjaya sampingan ini?

Selain menjana pendapatan, ia membantu menjaga alam sekitar kerana setiap barangan yang dijual dapat digunakan semula oleh individu lain yang memerlukan tanpa perlu dibuang. Dari sudut pelanggan pula, pembelian barangan terpakai dapat mengelakkan aliran wang tunai ke luar negara sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil wanita lain.

6)Borong tudung mahal boleh menjejaskan kewangan wanita jika keterlaluan?

Definisi mahal bergantung kepada interpretasi masing-masing kerana selain faktor rekaan, ada juga yang memerlukan tudung premium kerana tuntutan kerjaya. Bagi saya kewangan wanita tidak terjejas jika mereka berbelanja secara berhemah dan sesuai dengan pendapatan.

7)Selain tudung, apa lagi barangan bernilai boleh dijual semula?

Barangan kemas yang ditempah khas, kasut, baju, beg tangan dan buku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN