PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan tahniah kepada Andy Burnham atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baharu selain menyatakan keyakinan hubungan strategik antara Malaysia dan negara itu akan terus diperkukuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersedia kerjasama dengan Burnham bagi membawa Perjanjian Strategik Malaysia-UK ke tahap lebih tinggi.
Katanya, ia termasuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Digital serta memperluaskan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, tenaga bersih dan pertahanan.
“Saya menantikan kerjasama dengan beliau untuk membawa Perkongsian Strategik Malaysia-UK ke tahap seterusnya, daripada memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Digital kepada kerjasama lebih erat dalam AI, pendigitalan, tenaga bersih dan pertahanan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau mengalu-alukan kenyataan positif Burnham terhadap isu Gaza serta gesaannya untuk memberi tekanan lebih besar kepada Israel.
“Saya juga berasa terdorong dengan pengakuan terbaharu Burnham bahawa respons awal Britain terhadap penderitaan rakyat di Gaza tidak memadai, serta gesaan beliau supaya tekanan yang lebih besar dikenakan terhadap rejim Israel.
“Ketika ramai pihak di Barat bergelut untuk menunjukkan kejelasan moral yang dituntut dalam krisis ini, pengiktirafan tersebut merupakan satu langkah awal yang penting dan amat dialu-alukan,” katanya.
Anwar berkata, ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan UK yang akan disambut tahun depan menjadi peluang terbaik untuk memperbaharui komitmen terhadap hubungan dua hala serta membentuk lembaran baharu kerjasama antara kedua-dua negara.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Keir Starmer atas sumbangan beliau dalam memperkukuh hubungan Malaysia–United Kingdom sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri.
“Saya mendoakan beliau terus berjaya dalam apa jua usaha yang bakal diceburi pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










