Anak tidak digalakkan tidur sebilik dengan ibu bapa, lebih-lebih yang menjangkau usia lebih tiga tahun. Namun ada yang tidak sampai hati membiarkan si manja tidur di bilik berasingan atas sebab usia masih terlalu kecil.
Bagaimanapun mengasingkan bilik tidur antara mak ayah dengan anak itu memang perlu.
Tapi apabila rumah yang didiami itu hanya ada satu atau dua bilik sahaja pasti ia menjadi masalah untuk berbuat demikian.
Menurut Pakar Kepimpinan Diri Keluarga dan Organisasi, Dr. Azuraida Shahadan, ibu bapa boleh mengajar anak-anak tidur asing seawal usia tiga tahun secara berperingkat sehinggalah mereka mencapai usia 10 tahun.
“Maksud pengasingan tempat tidur untuk rumah kos rendah atau tak banyak bilik, adalah melalui pengasingan tilam. Dua cara sama ada untuk setiap anak satu tilam atau kedua-duanya setilam tetapi berpisah dan tidak bersentuhan. Cumanya mengasingkan terus bilik tidur adalah lebih baik dan dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada Seri.
Tambah beliau, antara kesilapan dilakukan oleh ibu bapa yang membantutkan usaha ini adalah telah membiasakan anak untuk tidur sekali walaupun usianya menjangkau lebih tiga tahun dan telah memasuki tadika dan alam persekolahan.
“Bukan sahaja tempat tidur perlu berasingan, ada tiga waktu mengikut Islam, ibu bapa perlu mengajar anak-anak supaya minta izin sebelum masuk bilik sebelum Subuh, selepas solat Isyak dan waktu tengahari sebelum solat Zohor.
“Ajar anak tidur sendiri agar ada ruang privasi. Setelah memasuki usia lima hingga enam tahun, ibu ayah sudah boleh menyediakan sebuah bilik untuk anak. Ini kerana mereka mampu berdikari, mandi dan mengenakan pakaian sendiri. Sekiranya tidak mampu menyediakan sebuah bilik khas untuk anak, sekurang-kurangnya dia ada ruang privasi untuk bermain, menukar baju dan melakukan kerja sekolah. Biarkan anak tahu bahawa mereka memiliki ruang privasi,” ujarnya.
Tambar Azuraida, pada umur 7 tahun, si manja sepatutnya sudah boleh tidur di biliknya sendiri dan penting sekiranya anak-anak sudah baligh antara adik-beradik lelaki dan perempuan.
“Kalau ibu bapa mahu mengasingkan bilik seawal usia bayi, pastikan anak-anak ada peneman. Maksud peneman di sini adalah lampu tidur yang dinyalakan atau boleh juga pasang teman terapi tidur anak yang mempunyai alunan zikir dan al-Quran supaya mereka tidak berasa sunyi,” katanya.










