Angkara sihir, hubungan intim jadi dingin - Utusan Malaysia

Angkara sihir, hubungan intim jadi dingin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap pasangan suami isteri tentu mengharapkan kehidupan rumah tangga yang dibina berjalan dengan baik.

Namun kenyataannya , perkahwinan tidak selamanya selalu harmoni.

Meskipun telah mempersiapkan diri dan memilih pasangan terbaik, ujian rumah tangga pasti ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

Minggu ini saya kongsikan kisah Faten (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa sihir sehingga menyebabkan rumahtangganya bergolak dan kehilangan insan tersayang.

Kisahnya bermula selepas sebulan Faten mendirikan rumah tangga dengan Rizal, (bukan nama sebenar) seorang duda tanpa anak.

Selepas sebulan berkahwin, dia merasakan jiwanya tidak tenang dan jantungnya selalu berdebar-debar.

Semuanya dirasakan tidak kena apabila berat badannya susut mendadak, tidak boleh tidur malam dan juga sering sesak nafas bermula waktu Maghrib sehingga tengah malam.

Sebelum penyakit misteri itu dikesan melalui kaedah rawatan Islam, Faten terlebih dahulu membuat pemeriksaan kesihatan penuh di hospital.

Lebih lima kali dia berulang alik ke hospital untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Setiapkali melakukan pemeriksaan termasuk ujian darah dan imbasan X-ray, jawapan doktor tetap sama, tiada penyakit serius.

Berasa hairan dengan keadaan kesihatannya yang semakin merosot tetapi tidak diketahui puncanya, membuatkan Faten mencuba kaedah rawatan Islam.

Apa yang mengejutkan kerana ustaz yang merawatnya memberitahu apa yang dialami ada kaitan dengan sihir.

Sejak mengetahui perkara itu, Faten pergi berubat dan melakukan pelbagai rawatan.

Namun hasilnya mengecewakan. Ketika itu dia benar-benar putus harapan.

Namun, suami dan ibu bapa banyak memberi Faten semangat dan kekuatan agar tidak mengalah.

Berkat sabar dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah Taala, Faten beransur pulih .

Sejujurnya, Faten tidak pernah menduga akan menjadi mangsa sihir.

Apa yang paling mengejutkan dia disihir oleh bekas isteri suaminya sendiri.

Pun begitu, Faten tidak menyimpan dendam.

Wanita yang pernah hadir dalam hidup suaminya itu didakwa cuba memisahkan Rizal dan Faten.

Lantaran itu, dia tergamak menyihir Faten gara-gara hasad dengki.

Pun begitu, kebahagiaan dinikmati Faten tidak bertahan lama. Rumah tangganya diuji lagi.

Kali ini lebih serius apabila turut melibatkan hubungan antara Faten dan Rizal.

Walaupun jauh disudut hati, wujud perasaan kasih dan sayang, namun setiap kali bertentang mata, perasaan benci timbul dan meluap-luap.

Setiap hari pasangan ini sering bergaduh. Mereka cepat berasa rimas dan panas apabila berada di dalam rumah.

Kedua-duanya juga hilang keinginan untuk melakukan hubungan batin.

Ini kerana sering melihat pasangan masing-masing dalam keadaan diri yang hodoh, buruk dan menakutkan.

Menyedari apa yang berlaku, atas nasihat kedua ibu bapa, Faten dan Rizal segera mendapatkan rawatan daripada seorang ustaz .

Sekali lagi pasangan ini dikejutkan dengan perbuatan sihir yang dilakukan seseorang terhadap mereka.

Selepas pulih, kedua-duanya menjalani kehidupan seperti biasa.

Pasangan ini dilihat sangat bahagia apabila dikhabarkan mereka bakal bergelar ibu dan bapa.

Suami mana yang tidak gembira jika mendapat tahu isterinya hamil apatah lagi anak sulung. Itulah yang dirasai Rizal.

Pun begitu, bahagia hanya seketika cuma.

Suatu hari, Rizal dimasukkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri.

Dia tiba-tiba pengsan di tempat kerja sebelum disyaki diserang jangkitan kuman pada bahagian otak.

Doktor dan pakar perubatan melakukan pelbagai ujian menentukan penyakit sebenar dan ribuan wang telah habis dibelanjakan.

Atas kesepakatan seluruh ahli keluarga, Rizal dibawa pulang ke rumah selepas sedarkan diri.

Namun Rizal bukan lagi seperti dahulu. Dia seperti hilang ingatan dan tidak kenal sesiapapun termasuk isterinya, Faten.

Rizal tidak ubah seperti pesakit lumpuh. Beberapa kali keadaan Rizal bertukar nazak terutama menjelang Maghrib.

Faten yang hamil tiga bulan ketika itu terpaksa menguruskan Rizal sendirian.

Malang tidak berbau. Ketika memandikan suami, Faten jatuh di bilik air dan mengalami keguguran.

Keadaan itu menyebabkan Faten mengalami tekanan. Ia berlarutan berbulan-bulan lamanya.

Namun sokongan daripada seluruh ahli keluarga terutama ibu bapa memberi semangat untuk Faten terus hidup.

Dakwa ustaz berkenaan, Faten dan Rizal masing-masing terkena sihir dan ia dilakukan individu sama atas niat tertentu.

Hampir tiga tahun Rizal menderita akibat penyakit misteri dan pelbagai usaha dilakukan untuk berubat, namun keadaan masih sama.

Sehinggalah pada awal Januari lalu Rizal menghembuskan nafas terakhir.

Faten mengakui amat terkejut dengan pemergian suami dan apa yang meragukan kematiannya berlaku selepas menderita penyakit misteri yang sehingga kini tidak dapat dirungkaikan.

Walaupun sedih, Faten reda dan dia sudah melakukan yang terbaik sepanjang menjaga suaminya yang sakit.

Walaupun hari ini kita berada dalam dunia moden dan serba canggih, tidak dinafikan perbuatan sihir dan khurafat masih berlaku dalam kalangan segelintir individu yang tidak tahu soal halal haram.

Ini termasuk menyimpan dendam terutama melibatkan rumah tangga sebagaimana yang terjadi kepada Faten dan Rizal.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNYa (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah , (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya, ia telah melakukan dosa yang besar.(Surah an-Nisa: 48).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini