Melangkah sahaja masuk bulan Ogos, seluruh masyarakat berbilang kaum di negara bersemangat untuk menyambut Hari Kemerdekaan dengan mengibarkan bendera Malaysia serta menyediakan pakaian beragam merdeka untuk seluruh ahli keluarga.
Bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan, Mohd. Noor Zikry Abdul Muin, 31 menghasilkan beberapa rekaan khusus untuk anak perempuan yang menggabungkan konsep tradisional dan warna Jalur Gemilang.
Beliau banyak bermain dengan warna-warna utama bendera Malaysia seperti biru, merah, kuning dan hijau dalam penggunaan fabrik double face yang lembut dan selesa untuk pemakai.
“Saya menggunakan warna bendera kerana warna-warna keceriaan ini akan menaikkan lagi semangat patriotik dalam diri kanak-kanak yang menggayakan busana tersebut,” ujarnya.
Sepanjang Ogos, pereka kelahiran Kedah ini menerima tempahan yang menggalakkan untuk busana Merdeka kanak-kanak tetapi dia mengakui ramai ibu bapa kini lebih gemar membeli pakaian siap.
Ini kerana kos pakaian siap lebih murah daripada yang ditempah atau dijahit.
INSPIRASI REKAAN
Mengangkat konsep asal Putri Perak dan Cik Siti Wan Kembang sebagai inspirasi rekaan, kata jejaka ini srikandi berkenaan merupakan pahlawan wanita dan lagenda yang perlu diingati kerana karisma, ketangkasan dan keberanian mereka.
“Unsur ini diterapkan kepada kanak-kanak khususnya perempuan agar dapat menaikkan semangat mereka pada peringkat awal tentang erti kemerdekaan,” katanya yang turut menghasilkan pakaian berkonsep jalur gemilang.
Bagi mengelakkan kesilapan pada rekaan atau salah faham pada rekaannya, Mohd. Noor Zikry tidak menggunakan motif bulan dan bintang lantaran ia mempunyai maksud yang tersendiri, jadi kedudukannya pada corak baju perlu betul dan dihormati.
“Tidak salah kalau kita nak buat rekaan yang unik. Sebagai pereka, kita masih boleh mereka dan meletakkan bulan bintang itu pada tempatnya yang betul,” ujarnya.










