Tema Japandi yang merupakan gabungan Japan dan Scandinavian semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta dekorasi kediaman ketika ini.
Gaya santai dengan penggunaan material serta warna berasaskan kayu dan alam semula jadi itu memberikan efek tenang dan damai pada satu-satu ruang.
Terbaharu, syarikat penyedia kelengkapan bilik tidur, Sonno memperkenalkan rekaan rangka katil kayu keluarannya yang pertama diinspirasikan daripada reka bentuk Japandi.
Penampilan utuh dengan warna kayu cerah, rangka katil berkenaan diperbuat daripada 100 peratus kayu getah asli Malaysia dan tidak mempunyai komponen logam.
Material rangka katil itu secara tidak langsung dapat membangkitkan suasana Japandi di dalam kamar.
Cukup dengan menghiasinya dengan tilam tebal dan cadar daripada warna lembut, kamar tidur pasti akan menjadi satu tempat yang menenangkan untuk beristirehat.
Tidak hanya itu, rangka katil berkenaan juga dilengkapi dengan slot peranti khusus yang sesuai dengan keperluan generasi digital pada hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fabio Micelli berkata, pemilihaan material kayu getah bertepatan dengan misi untuk memberikan dekorasi lebih semulajadi pada ruang kamar.
“Kami teruja apabila akhirnya berjaya memperkenalkan rangka katil yang cantik kepada pasaran yang mewakili tiga nilai jenama kami iaitu berkualiti tinggi, kesederhaan dan reka bentuk luar biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pelancaran rangka katil berkenaan juga bersempena pembukaan kedai fizikal pertama jenama berkenaan di Publika Shopping Gallery.










