fbpx

Demi anak, Salina pilih jalan berdamai

anak
Puncanya kerana campur tangan ibu mentua.

Dalam kehidupan rumah tangga, tidak selalunya berjalan dengan baik dan lancar. Terkadang ada batu kerikil dan onak duri yang menghadang. Ada masalah menerpa.

Demikian juga dengan perceraian. Ia bukanlah sesuatu yang mudah diterima dan dilalui. Ia memberi kesan kepada sesebuah institusi kekeluargaan , lebih-lebih lagi anak-anak.

Perceraian ibu bapa kadang kala membawa kepada perebutan hak penjagaan anak mengakibatkan gangguan emosi kepada anak-anak.

Alangkah baiknya, jika selepas berlaku perceraian ibu dan bapa kandung kepada anak tersebut boleh berbincang berkenaan hak jagaan, nafkah dan perkara melibatkan kebajikan dan kepentingan anak secara bersama.

Namun realitinya tidak semudah itu. Masih ada pasangan yang menyimpan ego dan dendam sehingga mengetepikan kepentingan anak-anak.

Lebih memburukkan keadaan, pertelingkahan itu turut melibatkan ibu dan bapa mentua.

Masing-masing mahu menegakkan hak untuk mendapatkan penjagaan.

Namun tanpa mereka sedari, perebutan dan pertengkaran tersebut juga akan memberi tekanan kepada emosi dan fizikal si anak.

Minggu ini saya kongsikan kisah Salina (bukan nama sebenar) bekas isteri yang berebut hak penjagaan anak dengan bekas ibu mentua.

Kisah Salina diceritakan rakan baiknya Annie (bukan nama sebenar) dalam satu pertemuan dengan saya baru-baru ini.

Biarpun mahkamah memutuskan hak penjagaan anak iaitu Fiza (bukan nama sebenar) diserahkan kepada Salina, namun dalam masa sama bekas ibu mentuanya tidak berputus asa untuk mencari isu yang boleh menyebabkan dia kehilangan hak penjagaan anak.

Ini termasuk cuba memfitnah Salina mengabai dan menganiayai cucunya.

Paling tidak dilupakan, bekas ibu mentuanya sanggup mengupah seorang lelaki dengan tujuan memerangkap Salina.

Namun percubaan itu tidak berjaya apabila Annie kebetulan berada bersama Salina ketika itu.

Tidak cukup itu, Salina turut ditawarkan wang ratusan ribu ringgit dengan syarat menyerahkan hak penjagaan anak kepada Kamal.

Pun begitu, ia tidak pernah sedikitpun membuatkan hati dan perasaan Salina goyah.

Menyingkap kisah pasangan ini, keduanya merupakan sahabat baik kepada Annie semasa mereka sama-sama menuntut di sebuah universiti tempatan.

Mereka bercinta dari zaman universiti.

Pada masa inilah mereka mengambil peluang untuk mengenal hati budi dan berkenalan bagi mempersiapkan diri menuju ke alam perkahwinan.

Walaupun hubungan mereka mendapat tentangan daripada keluarga Kamal, perkahwinan tetap diteruskan.

Awal perkahwinan memang bahagia, tetapi dugaan juga tersedia.

Memasuki tahun kedua, rumahtangga mereka mula berantakan.

Puncanya kerana campur tangan ibu mentua.

Disebabkan Salina bukan menantu pilihan, ada sahaja yang tidak kena di mata.

Kamal yang merupakan ‘anak emak’ juga sering berat sebelah dan melebihkan si ibu.

Semasa bercinta, Salina sudah nampak sikapnya yang begitu mengambil berat tentang ibunya, tetapi tidak begitu ketara.

Namun selepas beberapa bulan berkahwin baru dia tahu suami terlalu manja dan segala-gala bergantung kepada ibunya.

Setiap perbualan dan keputusan memerlukan tindakan dan penglibatan ibu dan semua keputusan adalah keputusan ibunya.

Ini termasuk keputusan untuk mereka tinggal bersama di rumah ibu mertua selepas berkahwin.

Salina berasa tidak selesa, lebih-lebih lagi selepas melahirkan Fiza, yang merupakan cucu sulung dalam keluarga Kamal.

Ibu mentua semakin mengongkong kebebasannya sebagai isteri dan ibu.

Selepas pelbagai ikhtiar mempertahankan rumah tangga, akhirnya Salina dan Kamal mengambil keputusan untuk berpisah.

Walaupun pada awalnya hak penjagaan diberikan kepada Salina, bekas ibu mentuaya tidak pernah berpuas hati.

Wanita itu sering mengapi-apikan Kamal agar mengambil Fiza untuk dijaga oleh mereka.

Kononnya Salina tidak mampu menjaga Fiza sebaik mereka.

Enggan memberi tekanan emosi kepada Fiza yang semakin membesar, Salina pilih jalan berdamai dengan bekas suami dan ibu mentuanya.

Dia dan bekas suami setuju untuk menyelesaikan isu penjagaan anak melalui sistem pengiliran tanpa perlu turun naik mahkamah sekali lagi.

Walaupun sikap ibu mentua masih tidak berubah dan tetap memandang rendah terhadapnya, Salina mengambil pendekatan bertenang dan memaafkan.

Dia tidak pernah menyimpan dendam.

Apa yang dilakukan hanya mahu memastikan Fiza terjaga dan dilindungi sebaiknya.

Salina mahu Fiza membesar dengan penuh kasih sayang seorang ibu dan bapa walau pada hakikatnya mereka tidak lagi tinggal sebumbung.

Perkongsian daripada Annie tentang Salina menyedarkan saya, bahawa seorang wanita itu tidak hanya melahirkan tetapi juga memberi kehidupan kepada anak.

Ibu bukan hanya menyediakan segala sesuatu keperluan anak, bahkan sampai menghilangkan ego dan keinginannya demi anak. Kerana itulah ibu sangat dimuliakan dan harus dihormati.

Dalam Islam, ibu lebih berhak berbanding bapa dalam penjagaan anak mereka kerana keupayaannya yang lebih sabar serta kasih sayangnya mengasuh dan mendidik anak.

Sesuatu yang sangat didambakan anak pada usia tersebut.

Dalilnya, berdasarkan hadis Rasulullah SAW, bermaksud: Seorang wanita berkata, wahai Rasulullah, sesunggunya anakku ini, perutkulah yang mengandungkannya, susukulah yang diminumnya dan pangkuankulah yang menjadi tempat sandarannya. Bapanya sudah menceraikanku dan ingin mengambil anak ini dari sisiku.Lalu Rasulullah SAW bersabda, Engkau lebih berhak ke atas anak itu selagi kamu tidak berkahwin lagi. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN